KUALA LUMPUR, 31 Dis: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) menyelar
tindakan Umno Barisan Nasional dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO)
yang bertindak membuat laporan polis bagi membantah 'Kempen Bebas Anwar
901' dan menyifatkannya sebagai tidak berasas.
Beliau yang
dihubungi Harakahdaily menjelaskan penangkapan yang berlaku di Kelantan
semalam ekoran mengedarkan risalah berkaitan dengan kempen tersebut
juga menunjukkan kerajaan serta pihak polis tidak pernah berlaku adil
serta bertindak di luar prinsip demokrasi.
"Saya melihat tidak
ada satu kesalahan langsung di dalam kempen tersebut, yang mana bagi
saya ia adalah satu usaha yang dilakukan oleh rakyat bagi menuntut
perbicaraan yang adil kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar
Ibrahim.
"Jika Anwar telah diberikan keadilan yang sewajarnya di
mahkamah maka kempen tersebut sudah tentu tidak akan berlaku, tetapi apa
yang kita lihat adalah sebaliknya dan atas tidak mendapat ketidak
adilan itulah rakyat bangkit melakukan kempen," jelasnya.
Ahli
Parlimen Pokok Sena itu juga menyatakan kesabaran rakyat dalam campur
tangan kerajaan dalam soal perundangan terutamanya kes Anwar sebenarnya
sudah berada pada tahap yang tidak boleh dibendung lagi.
Malah
beliau memberitahu, jika sesuatu perkara yang dituntut terutama prinsip
perbicaraan yang adil di mahkamah tidak diatasi dengan sewajarnya,
maka tindakan itulah cara terbaik yang dilakukan oleh mereka dengan
hasrat kerajaan akan membuka mata bahawa kerajaan perlu akur dengan
tuntutan rakyat.
"Rakyat sudah mula muak dengan permainan yang
dilakukan oleh kerajaan terutama dalam isu fitnah Anwar, cara terbaik
adalah melakukan kempen agar kerajaan membuka mata dan dengar hasrat
mereka.
"Kerajaan harus memberi ruang kepada rakyat untuk
menyatakan hasrat mereka bukannya menghalang kebebasan bersuara mereka,
malah menggunakan pihak berkuasa untuk menyekat kempen tersebut juga
satu yang tidak sewajarnya.
"Pihak Polis boleh memantau tetapi
tidak menggunakan kekerasan dan kita juga tidak mahu perkara yang
sebaliknya berlaku jika polis bertindak diluar batasan kemanusiaan,"
jelasnya lagi.
Ketika ditanya mengenai dakwaan mengatakan kempen
tersebut sebagai menghina keputusan mahkamah, beliau mempersoalkan di
mana tindakan tersebut dilihat menghina mahkamah.
"Kuasa
keputusan adalah hak mahkamah, apa yang dilakukan adalah sebagai kempen
bebas Anwar bukan memcaci keputusan yang dibuat oleh mahkamah.
"Kempen
desakan perlu dilakukan dan ia sebagai isyarat bahawa kita mahukan
pengadilan mahkamah kali ini berlaku dengan adil tanpa campur tangan
pihak tertentu," katanya lagi.
Tambahnya lagi, secara
simboliknya kempen itu bertujuan agar mahkamah yang akan memutuskan
keputusan pada 9 Januari nanti dilakukan atas keadilan yang telus bukan
dorongan mahupun desakan oleh pihak tertentu.
Sebelum itu
sebanyak 77 laporan polis dibuat di seluruh negara hari ini meminta
pihak berkuasa menyiasat serta mengambil tindakan undang-undang
terhadap pihak yang cuba melancarkan perhimpunan haram menerusi ‘Kempen
Bebaskan Anwar 901’.
Laporan dibuat oleh Umno dan beberapa parti
komponen Barisan Nasional dan juga Perkasa, Persatuan Jawa Kuala
Langat, Persatuan Bugis, Kelab Motosikal Berkuasa Tinggi Jugra dan
Pertubuhan Perkumpulan Wanita Kuala Langat. |
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.