Politik tanpa percaturan strategi yang bijak bisa membinasakan, apatah
lagi seandainya terikut-ikut diheret rentak musuh, secara sedar atau
tidak. Sesungguhnya, idealisme sering menemui batasnya dalam struktur
politik yang mencengkam ini, namun mangsa sistem ini semestinya bukan
pembangkang sahaja. Dari satu segi, pemerintah memerangkap sendiri
dalam pelusuk sehingga gagal terkeluar untuk menerokai dunia baru
seiring dengan arus perubahan.
Dalam satu wawancara bersama MerdekaReview
pada 15 Disember 2011, Setiausaha Biro Antarabangsa DAP Liew Chin Tong
(gambar kiri) mengenalpasti kekuatan Pakatan Rakyat (PR), mengupas
kecenderungan pengundi berdasarkan laporan tinjauan soal-selidik, malah
mencari jalan untuk mengharungi kekangan yang ada dalam senario politik
terkini.
Liew Chin Tong menggolongkan isu-isu yang dihadapi
kepada tiga kategori, iaitu pendemokrasian politik, pendemokrasian
ekonomi dan isu budaya yang melibatkan isu identiti, agama, etnik dan
sebagainya. Beliau berkata, PR perlu mengenalpasti, sejauh manakah
muafakat dicapai dalam kategori isu tersebut, dan permuafakatan kategori
manakah yang menjadi keutamaan rakyat ketika mengundi?
Menurut
Liew Chin Tong, PR mencapai muafakat hampir 95% dalam isu
pendemokrasian politik, dari isu reformasi parlimen, kehakiman, sistem
pilihan raya, hinggalah pemansuhan akta zalim seperti ISA; sambil beliau
mengakui bahawa mungkin wujud sedikit perbezaan pandangan dalam isu
pilihan raya tempatan lantaran pertimbangan faktor perkauman.
Dalam
kategori isu pendemokrasian ekonomi pula, Liew Chin Tong mendakwa
bahawa PR mencapai muafakat sekurang-kurangnya 80% hingga 90%, termasuk
menumbangkan kroni yang sedia ada; membuka sektor yang kini dimonopoli
dan sebagainya, meskipun masing-masing mempunyai sebilangan kecil orang
"kiri" dan "kanan" dalam parti.
"15%" penentu kerajaan
Beliau
mengetepikan sejenak kategori isu budaya, yang diakui ada kesulitannya -
mengajak wartawan untuk meneliti tinjauan soal selidik yang dilakukan Merdeka Center sebelum ini. Liew Chin Tong berkata, hasil tinjauan sebelum ini memperlihatkan trend yang
berulangan, iaitu kira-kira 60% ke atas Melayu menyedari bahawa UMNO
adalah sebuah parti yang korup dan haprak. Pada masa yang sama, hanya
45% Melayu pada paras tertinggi, bersedia untuk menyokong PR ke arah
pembentukan kerajaan baru.
"Dengan kata lain, 60% Melayu benci
pada UMNO, tetapi hanya 45% bersedia mengundi kami (PR). Saya
menganggap 'vakum 15%' itu adalah cabaran kepada kita," kata ahli
parlimen Bukit Bendera ini.
Liew
Chin Tong berkata, UMNO-BN memilih untuk membesar-besarkan isu dalam
kategori ketiga, yang mungkin mencetuskan keresahan sehingga menambat
langkah "15%" Melayu ini daripada menyokong PR. Beliau mengakui bahawa
selama ini UMNO-BN berkuasa untuk mendominasi ruang wacana, sehingga PR
terheret dan terpaksa menjawab setiap serangan yang dilontarkan.
Situasai hanya diterbalikkan apabila muncul isu BERSIH 2.0, yang memberi
tekanan kepada UMNO-BN.
Menurut analisa Liew Chin Tong, senario
terkini memperlihatkan majoriti bukan Melayu menyokong PR, malah beliau
dengan yakin menjangkakan keadaan 50-50 dalam masyarakat India, meskipun
dikatakan pengundi India telah kembali ke pangkuan BN setelah gelombang
HINDRAF menyurut. Liew Chin Tong mengingatkan, sokongan itu sukar
dikembalikan seandainya peralihan undi (dari BN ke pembangkang) itu
disebabkan "kesedaran".
Dalam situasi sedemikian, Liew Chin Tong
menganggap seandainya PR mampu meyakinkan "15% Melayu" di atas, maka
pertukaran kerajaan peringkat persekutuan boleh berlaku. Justeru itu,
persoalannya bukan sama ada DAP mampu menang kerusi di kawasan majoriti
Melayu dalam PRU 13, tetapi adakah lebih 50% masyarakat Melayu menerima
DAP sebagai komponen dalam kerajaan baru, sebagaimana masyarakat Cina
menerima PAS sebagai komponen dalam kerajaan baru?
Melayu bukan "kampung" sahaja
Keyakinan
Liew Chin Tong disokong dengan statistik berikut. Pada tahun 1957,
hanya 11% populasi rakyat tinggal di bandar; angka ini melonjak kepada
35% pada tahun 1980; dan kini, 70% daripada populasi rakyat menduduki
kawasan bandar. Chin Tong berkata, sesungguhnya 65% kerusi parlimen
berada dalam kawasan kampung, namun hakikat di sebaliknya, tidak begitu
ramai yang tinggal di kawasan perkampungan.
"Di
Semenanjung (Malaysia), tiada lagi kampung yang tulen," katanya, sambil
mendefinasikan "kampung" sebagai kawasan yang jauh dari bandar, jauh
dari sistem kapitalisme yang berdagang dengan wang tunai. Komuniti yang
mampu membela binatang ternakan, berkebun untuk memenuhi keperluan
makanan diri sebegini hampir lenyap di Semenanjung Malaysia, katanya.
Malah
Chin Tong menambah, jurang antara "kampung" dengan "bandar" semakin
menyempit, tidak lagi terasing sebagaimana beberapa dekad dahulu.
Perhubungan dan pengaliran manusia antara desa dengan bandar,
perkongsian maklumat yang berlaku telah mengubah wajah "kampung" yang
kita kenali dahulu.
Strategi untuk mengurung UMNO
Bagaimanapun,
Liew Chin Tong yang pernah dilantik sebagai Penasihat Strategi Pilihan
Raya kepada Lim Guan Eng ketika PRU12, menganggap parti komponen PR,
khususnya PAS dan PKR mengambil strategi "kawal dengan menyerang"
terhadap UMNO, ketika cuba menembusi kawasan kampung dan FELDA.
"Anda
sebenarnya mencelarukan langkah percaturan musuh anda, apabila
menyerang dan mengusik musuh anda di medan lawan. Pada masa yang sama,
kubu anda selamat," ulas Chin Tong.
Sebelum ini, Liew Chin Tong
antara yang menganjurkan pandangan bahawa medan pertarungan PRU 13
sebenarnya di "pertengahan", berdasarkan keputusan PRU 12. BN dan PR
masing-masing mempunyai lebih 50 kerusi parlimen yang menang dengan undi
majoriti kurang daripada 10%. Dengan kata lain, seandainya berlaku
peralihan lebih 10% pada PRU 13, gandingan politik yang meraih sokongan
itu akan menjadi kerajaan persekutuan.
Namun, pilihan raya kecil
yang berlangsung selepas PRU 12 menyaksikan bagaimana PR menghadapi
kesukaran di perkampungan, khususnya kawasan FELDA. Dalam satu
wawancara bersama MerdekaReview
pada Januari 2011, Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim tidak menyelindung
keresahannya ketika berdepan dengan kawasan pedalaman Melayu (Malay rural heartland), sambil mengakui ia sebagai "gelanggang pertarungan yang utama... dari segi angka, kerusi, dan isu".
Bagaimanapun,
Chin Tong mengakui bahawa sama ada UMNO dan PR gagal terkeluar dari
wacana yang lama, dengan mengandaikan "kampung sebegini" dan "bandar
sebegitu". Beliau mendakwa PR masih belum mengenalpasti gelanggang
baru, dan menerokainya. Malah, beliau mengingatkan bahawa mustahil UMNO
kalah sehingga sifar kerusinya dalam PRU yang akan datang. Bertitik
tolak dari situ, Chin Tong melontarkan soalan, di mana PR harus meletak
sumbernya?
UMNO memerangkap diri
Pada
masa yang sama, Chin Tong menganggap UMNO memilih untuk mengurung diri
di medan perang sendiri, dengan serangan isu dalam kategori etnik dan
agama. Beliau berkata, isu dalam kategori pendemokrasian politik dan
ekonomi adalah medan perang utama PR, dan ia tidak membawa "nilai
tambahan" seandainya PR kembali ke medan isu kaum dan agama.
Chin
Tong berkata, UMNO yang terkurung di medan Melayu gagal keluar
menerokai ruang yang baru, yang lama-kelamaan akan tersingkir dengan
sendirinya. Memainkan isu Melayu pada hakikatnya mengasingkan UMNO-BN
dari sokongan bukan Melayu, sementara strategi ini gagal menarik
sokongan Melayu di bandar yang berdepan dengan masalah yang puncanya
berasal dari pendemokrasian politik dan ekonomi. Mengapa UMNO
terperangkap dengan jerat diri? Kerana tidak memahami secara mendalam
perubahan masyarakat, demografi dan pengaliran manusia yang berlaku
sekarang, ulasnya.
Chin Tong bersetuju, bahawa sistem yang sedia
ada tidak menawarkan "insentif" agar pemimpin dan parti politik
membebaskan diri dari takuk lama. Misalnya, dengan 65% kerusi parlimen
di kawasan desa, sedangkan 70% populasi di bandar - parti politik
terpaksa akur kepada realiti untuk menawan kawasan perkampungan. Untuk
pembangkang pula, dengan struktur media yang mengekang, pemimpin PR
tidak berani untuk melontarkan pandangan yang progresif, kerana diasak
bertubi-tubi tanpa diberi ruang untuk menjawab di media arus perdana.
Chin Tong menghargai usaha PAS yang tampil dengan idea "Negara
Berkebajikan", sebagai langkah kembali mengukuhkan medan pertarungan
dalam isu pendemokrasian politik dan ekonomi.
Wartawan
membangkitkan pengamatan bahawa mungkin sesetengah di kalangan
masyarakat Melayu termakan dengan propaganda UMNO bahawa PAS khususnya
sering berganjak langkah untuk memberi laluan kepada DAP, apabila
membuat pendirian bersama dalam isu kontroversi, misalnya penggunaan
kalimah Allah - yang mana isu ini dijuarai PAS pada masa dahulu. Malah,
timbul juga keresahan sesetengah pihak yang berharap agar persepsi
tersebut dapat diperbetulkan, sehingga meminta agar DAP juga berganjak
langkah dalam sesetengah isu.
Untuk ini, Chin Tong menganggap
seandainya ketiga-tiga parti komponen PR terkurung dalam medan (etnik
dan agama) yang didominasi UMNO - maka ketiga-tiganya adalah mangsa,
kerana beliau tidak melihat PR boleh ke mana-mana seandainya hanya
bertolak-ansur dalam kerangka yang ditetapkan UMNO.
Menanti-nantikan gelombang besar
Sebelum
mengakhiri wawancara, Chin Tong meluahkan harapannya, agar pemimpin PR
bersama memikirkan sesuatu yang melangkaui "kerusi". Apa yang kurang
adalah "gelombang", atau "angin" dalam masyarakat Melayu, yang mana satu
wacana besar dilontarkan, disahut dengan sokongan massa keseluruhannya -
sebagaimana yang berlaku pada zaman Reformasi tahun 1998.
Beliau
mengakui, agak susah untuk menggembleng sokongan massa dengan
"perjuangan berlandaskan nilai", berbanding memainkan sentimen perkauman
dan agama di kalangan masyarakat Melayu. Nilai demokrasi dan kebebasan
mungkin sukar dibincangkan, namun Chin Tong menganggap nilai "keadilan"
boleh diterima di kalangan masyarakat Melayu secara keseluruhannya.
Malah,
pemimpin "generasi reformasi" DAP ini mencadangkan agar konsep
"meritokrasi" digantikan dengan "solidariti", mewujudkan peluang yang
saksama untuk semua. Menyedari keresahan sesetengah Melayu ketika
membincangkan "meritokrasi", Chin Tong mencadangkan "solidariti", iaitu
mereka yang berkemampuan membantu mereka yang lemah. Peluang yang
saksama itu penting, katanya, mengambil contoh bagaimana pemandu teksi
merungut - saya yang bekerja dari pagi sampai malam, namun anak Menteri
pula menjadi kaya, hanya kerana mereka memegang lesen teksi?
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi Bahasa Malaysia. Wawancara ini dijalankan pada 15 Disember 2011 di pejabat Liew Chin Tong.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.