KUALA LUMPUR, 30 DIS – Menteri Pertahanan Datuk Seri Zahid Hamidi
telah memalukan dirinya sendiri kerana tidak tahu dari mana datangnya
maklumat tentang enam kapal peronda pesisir pantai atau littoral combatant ships (frigate class) (LCS) yang melonjak kos daripada RM6 bilion kepada RM9 bilion.
Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Tony Pua berkata, percubaan Zahid
untuk mengalih isu itu gagal apabila beliau cuba mempersoalkan dari
mana datangnya maklumat tersebut.
Katanya, Zahid tidak sedar bahawa semua fakta datangnya daripada
Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) dalam satu kenyataan
kepada Bursa Malaysia mengenai anak syarikatnya Boustead Naval Shipyard
Sdn Bhd yang mendapat kontrak membina kapal-kapal berkenaan.
“Zahid sepatutnya lebih cekap dan berhenti dari bergantung kepada
(pencacai siber UMNO) Papagomo sebagai penasihat perisikan beliau yang
selalu memberi fakta separuh benar dan data-data mengarut,” katanya
dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Zahid
sepatutnya menjelaskan kepada rakyat kenapa kerajaan enggan menubuhkan
Jawatankuasa Pemantauan Parlimen untuk mengkaji semula dan meluluskan
perbelanjaan pertahanan.
“Jika Kementerian (Pertahanan) tidak sanggup untuk dipantau di
Parlimen, iaitu badan perundangan tertinggi negara, maka Zahid tidak
mempunyai hak untuk bercakap tentang ‘ketelusan’,” katanya merujuk
kepada kenyataan menteri itu sebelum ini yang mendakwa kementeriannya
terbuka kepada ketelusan.
Pua berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan Zahid semalam
yang menjemput para pemimpin Pakatan Rakyat untuk duduk semeja bagi
membincangkan isu pembelian enam kapal peronda LCS itu.
Katanya, beliau bersama Ahli Parlimen Pakatan Rakyat termasuk Nurul
Izzah Anwar dan Dr Dzulkefli Ahmad sentiasa bersedia untuk bertemu Zahid
bagi mendapatkan penjelasan lanjut.
“Zahid bukan sahaja patut memberikan penjelasan tentang kapal peronda
melibatkan RM9 bilion itu tetapi juga mengenai 257 kenderaan berperisai
(APV) bernilai RM7.55 bilion tahun ini.
“Dalam jawapan Parlimen beliau kepada saya berhubung APV itu, beliau
mendakwa bahawa beliau ‘tidak tahu’ berkaitan butir-butir kos itu,”
katanya.
Sebelum ini, Zahid juga telah mencabar Setiausaha Agung DAP Lim Guan
Eng untuk mencuba kapal selam Malaysia bagi membuktikan ia boleh
menyelam. Namun Guan Eng terpaksa menunggu selama 21 bulan sebelum Zahid
menunaikan janjinya sendiri. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.