KUALA LUMPUR 22 Dis: Srikandi KEADILAN mengecam kenyataan Ketua
Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang menggesa supaya
Datuk Seri Anwar Ibrahim melepaskan jawatannya dan bersara dari politik.
Ketua Srikandi, Siti Aisah Shaikh Ismail mengulas kenyataan Rosnah, yang disiarkan Utusan Malaysia semalam apabila mendakwa Anwar hanya memperjuangkan kepentingan peribadi.
“Kepada ketua puteri Umno Malaysia, Srikandi menyarankan agar kembali
kepada politik nilai, bukan terikut dengan acuan budaya politik dangkal
dan cetek milik Umno.
“Sebagai seorang timbalan menteri, beliau (Rosnah) perlu lebih faham
dan bicara soal rakyat bukan sebaliknya,” kata Aishah dalam satu
kenyataan media hari ini.
Menurut Aishah, ketika Pakatan Rakyat membicarakan soal lebih besar
seperti rasuah dan salahgunakuasa, Rosnah pula lebih gemar membicarakan
soal individu.
Sebaliknya, katanya, Puteri Umno itu mendiamkan diri terhadap
pelbagai penyelewengan dan salahgunakuasa termasuk membabitkan National
Feedlot Corporation (NFC).
“Salah laku kes penyelewengan NFC jelas menunjukkan penglibatan
pemimpin utama Umno, namun sehingga sekarang ketua puteri Umno itu
dilihat terus membisu,” kata beliau.
Katanya lagi, ia jelas menunjukkan Anwar kini menjadi beban kepada
Umno, ekoran pendedahan berterusan terhadap salahguna kuasa dan rasuah
yang dilakukan parti itu.
“Srikandi menegaskan Dato seri Anwar bukan bebanan kepada Pakatan
Rakyat mahupun Keadilan tetapi beliau merupakan bebanan kepada pemimpin
Umno yang saban hari tidak dapat bertahan dengan asakan dan pendedahan
yang dibuat oleh ketua umum itu terhadap Umno,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.