22 DISEMBER – Hakikat bahawa orang-orang Melayu telah mula memahami
perjuangan DAP tidak dapat disangkal lagi. Maksudnya Melayu tidak lagi
takut atau benci dengan DAP walau pun jentera propaganda UMNO membuat
tohmahan kononnya DAP mahu memusnahkan bangsa Melayu, mahu menghancurkan
Islam dan pelbagai fitnah lain.
Tidak dinafikan ada segelintir orang Melayu yang menjadi ahli DAP
kerana mahu kedudukan dalam parti, mahu menjadi calon pilihan raya atau
kerana kecewa kepada parti lawan (mungkin parti asalnya).
Namun ini bukan hanya berlaku kepada orang Melayu sahaja, ia meliputi
semua kaum. Masalah ini juga bukan tertumpu kepada DAP sahaja, ia turut
berlaku pada parti-parti lain.
Lumrah berpolitik seperti itu memang tidak dapat dielak, mana mungkin
kita dapat mengenal pasti insan-insan yang sekadar mahu mengambil
kesempatan. Apabila telah dapat, dia berubah, jika tidak dapat, dia
melompat.
Tiada mekanisme sempurna untuk mengelakkan keadaan ini kecuali dinamika politik kita telah berubah.
Minda parti kaum
Kewujudan minda ‘parti ini untuk kaum ini, parti itu untuk kaum itu’
masih membekas dalam semua lapisan masyarakat, tua atau muda, Muslim
atau agama lain, kaya atau miskin, yang berpelajaran atau pun tidak.
Seolah-olah semua pengetahuan yang kita miliki hari ini tidak boleh
menjamin kita untuk tidak berminda assabiyah – rasis.
Dogma yang telah ditanam di dalam benak bangsa Malaysia sejak separuh
abad yang lalu oleh UMNO, MCA dan MIC cukup dalam dan lama sekali
kesannya.
Ia bukan hanya berlaku dalam Barisan Nasional sahaja tetapi turut
menjangkiti segelintir golongan dalam Pakatan Rakyat, iaitu PKR, PAS dan
termasuk DAP sendiri. Ini kenyataan yang cukup pahit untuk ditelan.
Malah, bukan hanya Melayu dalam UMNO, PKR atau PAS sahaja yang
berfikiran ‘parti berasaskan kaum’, ada juga kaum Cina dan India dalam
MCA, MIC, GERAKAN, PKR dan DAP yang berkongsi pandangan assabiyah itu,
sama ada secara sedar atau tidak.
Malah bagi kaum-kaum etnik peribumi Sabah dan Sarawak juga wujud
mentaliti sedemikian. Ia menggambarkan seolah-olah sifat bangsa Asia
yang berkabilah menjadi asas bagaimana dimensi politik hari ini
dimanipulasi dan dicorakkan.
Jadi, demografi masyarakat apakah yang akan kita lahirkan jika Pakatan Rakyat diberi mandat mentadbir negara?
Apakah bentuk sistem pendidikan terhadap kepelbagaian, hak asasi,
peluang saksama, prinsip dan amalan demokrasi serta keadilan yang mahu
dibawakan jika usaha itu tidak tekun dilaksanakan dengan gigih pada masa
ini?
Assibiyah dalaman
Yang paling menakutkan ialah, apabila kita bercakap tentang
prinsip-prinsip di atas platform DAP misalnya (platform yang digambarkan
sebagai bukan Melayu), masih ada orang Melayu Islam yang mendakwa kita
yang bercakap tentang prinsip itu sudah menerima ajaran lain dari Islam,
menyimpang dan sesat, serta kemaruk dengan ‘agama baru’ seperti yang
didakwa oleh bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor baru-baru ini.
Lihatlah bagaimana prinsip paling asas sebegini pun mudah sekali
dipesongkan makna dan konteksnya. Mereka yang mendakwa itu seolah-olah
memahami Islam itu hanya datang dalam bahasa dan budaya Arab sahaja,
atau ilmu pengetahauan itu hanya dikembangkan oleh tamadun Islam dan
Melayu semata-mata.
Seolah-olah kaum dan bangsa dari tamadun lain tidak pernah menyumbang apa-apa pun kepada manusia dan kehidupan kita.
Contohnya, apabila DAP sebagai parti bukan kaum yang menerima
pelbagai kaum mengalu-alukan penyertaan orang Melayu ke dalam partinya,
maka reaksi orang Melayu, termasuk segelintir manusia dari PKR dan PAS
sudah mula menjeling-jeling dan berkenyit mata tanda sinis dan curiga.
Adakah mereka bimbang DAP akan jadi lebih ‘menawan’? Atau pengaruh
politik mereka akan terhakis? Atau mereka juga terperap dalam tempurung
yang dicipta kepimpinan UMNO sejak sekian lamanya?
Itu rasa hati segelintir Melayu di luar DAP. Bagaimana pula perasaan kaum Cina, sama ada di luar atau di dalam DAP sendiri?
Ada juga segelintir orang Cina dalam DAP yang dahi mereka mula
berkerut bimbang. Adakah golongan ini khuatir jika orang Melayu suatu
hari kelak menjadi dominan dalam DAP? Atau takut jika ada orang Melayu
akan mejadi Setiausaha Agung parti?
Yang pasti semua kebimbangan itu tidak berasas. Tetapi inilah realiti di luar dan di dalamnya.
Mentaliti assaabiyah ini menyepit manusia-manusia yang ingin
mempraktiskan apa yang mereka faham dan yakini. Ruang untuk membina
dinamika baru dalam mana-mana arena terlalu mudah disalahtafsirkan.
Jalan tengah jalan keluar
Jika perasaan ini tersemat dalam hati, akhirnya, slogan ‘Reformasi’,
‘Keadilan Untuk Semua’, ‘PAS Untuk Semua’, ‘Jalan Tengah Malaysia’,
‘Selamatkan Malaysia’ atau ‘Harapan Baru’ hanyalah omongan kosong yang
tidak ada beza dengan slogan 1Malaysia.
Dengan maksud lain, manusia-manusia yang demokrat, berhaluan
sederhana dan moderat wujud terpencar-pencar dalam semua parti politik.
Mereka ada dalam Pakatan, malah ada segelintir manusia seperti itu dalam
BN walau pun suara mereka disenyapkan pucuk pimpinan.
Insan-insan moderat ini terperangkap dalam dinamika dan persepsi
assaabiyah parti politik mereka. Ini akan menjadi satu tragedi demokrasi
dalam negara kita jika ia tidak ditangani segera.
Kejahilan ini ubatnya hanya satu, iaitu beristiqamah mencelikkan hati
dan akal kita serta berkongsi pandangan dengan para sahabat dan kawan.
Dalam politik, ‘kompromi’ dan ‘tolak ansur’ bukan kata-kata yang
kotor. Ia titik permulaan ke arah persaudaraan yang sebenar. Ia adalah
jalan tengah yang menwarkan jalan keluar dari kemelut perkauman. Hanya
semangat itu dapat mematikan saki-baki minda assabiyah dalam Pakatan.
Mujur majoriti ahli dan pemimpin Pakatan sudah terbuka minda dan
menerima kepelbagaian kaum. Namun yang segelintir itu masih perlu
dicerahkan minda, jiwa dan hati mereka agar Pakatan Rakyat tidak menjadi
BN 2.0. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.