BERUAS, 20 DIS – Keberkesanan pentadbiran dan dasar pro-rakyat yang
ditawarkan oleh Pakatan Rakyat telah banyak memberikan faedah yang besar
kepada rakyat tanpa mengira warna kulit dan faham politik.
Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham berkata, kecekapan dan
ketelusan pentadbiran di negeri-negeri Pakatan Rakyat seperti yang
dilaporkan oleh Jabatan Audit Negara baru-baru ini telah menyebabkan
Barisan Nasional cemas.
Katanya, rasa cemas itu menyebabkan BN terpaksa mengikut jejak
langkah Pakatan dengan mengagihkan kekayaan negara kepada rakyat dengan
lebih banyak melalui program pembangunan mahu pun skim-skim bantuan
lain.
“Dengan adanya Pakatan Rakyat, rakyat mendapat berbagai faedah. Dalam
tempoh 40 hingga 50 tahun ini, apakah kerajaan pernah memberikan RM500
kepada rakyat dan RM100 kepada murid-murid sekolah?
“Ini semua dilakukan sekarang kerana adanya perssaingan dari Pakatan
Rakyat. Dari sudut mana pun, rakyat yang untung apabila memilih Pakatan
Rakyat,” katanya dalam satu ceramah di sini baru-baru ini.
Ngeh yang juga Ahli Parlimen Beruas berkata kerajaan negeri Perak di
bawah pentadbiran BN yang merampas kuasa dari Pakatan Rakyat pada
Februari 2009 kini meniru Pakatan untuk memberi RM300 juta bagi
pembangunan negeri yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.
“Ini semua kerana pentadbiran kerajaan negeri Perak di bawah Pakatan
Rakyat pada tahun 2008 sangat baik. Secara langsung ia meletakkan
pentadbiran kewangan negeri di landasan cemerlang kerana semua sisa-sisa
dalaman yang terlibat dalam rasuah sudah berhentikan,” ujarnya.
Walau pun begitu, beliau menasihatkan pengundi di Perak supaya tidak
mudah terpengaruh dengan janji-janji manis BN kerana mereka masih
bermain politik perkauman yang akan terus memecahbelahkan perpaduan
rakyat.
Untuk mendapatkan ‘pakej’ lengkap pentadbiran bersih dan
anti-perkauman serta bersifat pro-rakyat, Ngeh berharap lebih ramai
pengundi akan memilih Pakatan dalam pilihan raya umum akan datang bagi
memastikan kemenangan yang lebih stabil.
“Kita dalam Pakatan merupakan sebuah keluarga yang besar. Saya harap
seluruh rakyat negeri ini terus memberi sokongan yang padu kepada
Pakatan Rakyat,” tambah beliau. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.