PETALING JAYA 22 Dis: Ahli Parlimen Pakatan Rakyat mendesak
pentadbiran Datuk Seri Najib Razak merunding semula Sistem Saraan Baru
Perkhidmatan Awam (SBPA), kata Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua.
Ini kerana katanya, dasar itu merugikan majoriti kakitangan awam,
selain tidak melakukan rundingan terpeinci dengan Kongres Kesatuan
Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).
“Kita desak Perdana Menteri runding semula dasar ini dan beri tempoh
lebih lama kepada Cuepacs untuk membincangkannya,” kata Tian Chua
selepas mesyuarat Sekretariat Pakatan Pakyat di Petaling Jaya hari ini.
Turut serta, Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar, Ahli
Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid dan Ahli Parlimen Kuala
Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad.
Menurut Tian Chua, 75 peratus golongan berpendapatan rendah dalam
sektor awam hanya diberi kenaikan gaji 5 hingga 7 peratus berbanding
kakitangan berpangkat Turus sebanyak 500 peratus dan Jusa 100 peratus.
Sementara itu, Abdullah Sani menempelak kenyataan Najib yang
mengatakan SBPA akan ditangguh sementara waktu dari tarikh ia
dikuatkuasakan 1 Januari ini.
“Sebab itu kita minta dasar ini dirunding semula sebab kalau tangguh,
maknanya Najib memang ada hasrat untuk tetap melaksanakannya,” katanya
merujuk kepada pindaan Akta Kerja yang dilulus pentadbiran Najib
baru-baru ini walau dibantah Kongres Kesatuan Sekerja (MTUC).
Izzah pula menegaskan, SBPA menganak tirikan kakitangan awam seperti anggota Polis dan Tentera.
“Kita akan menggerakan jentera bagi memastikan golongan ini mendapat maklumat sebenar mengenainya,’” tegasnya.
Bagi Dr Dzul, SBPA dilaksana tergesa-gesa kerana Cuepacs hanya
diberi dua minggu untuk meneliti skim itu, selain kakitangan awam
semacam diugut apabila akhirnya dipaksa menandatangani skim itu.
“Kita akan perincikan tawaran Pakatan Rakyat kepada kakitangan awam
pada konvensyen yang berlangsung di Alor Setar, Kedah 14 januari depan,”
katanya.
Ketika ini, 75 peratus dari 1.6 juta kakitangan awam berpangkat rendah manakala selebihnya berjawatan tinggi.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.