TEMERLOH 22 Dis: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) akan
memfailkan saman pemula terhadap Koperasi Permodalan Felda Malaysia
Berhad (KPF) dan Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Mahkamah
Tinggi di sini esok.
Pengerusinya, Mazlan Aliman berkata, saman pemula tersebut adalah
bagi memohon injunksi kepada Mesyuarat Khas Perwakilan KPF pada 5
Januari, penyenaraian saham FGVH dan pelupusan aset KPF dalam Felda
Holding.
“Tindakan ini dibuat bagi menyelamatkan harta Felda dan peneroka,”
katanya dalam sidang media di Pejabat Perhubungan Pas Pahang, di sini
hari ini.
Mazlan berkata, penyenaraian yang cuba dilakukan oleh pihak tertentu
adalah tidak berasas, tidak masuk akal dan hanya bakal menggali kubur
untuk peneroka.
Selain itu, Anak juga akan buat bantahan kali kedua di tribunal
Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk menentukan status Tan Sri Isa
Samad sebagai pengerusi KPF.
Kata Mazlan, pihaknya tidak berpuas hati dengan jawapan Isa yang
mengatakan beliau belum menjadi Pengerusi KPF sedangkan sudah bertindak
sebagai penjawat itu, berdasarkan surat pelantikan daripada Perdana
Menteri.
Mengenai prestasi KPF, Mazlan memberitahu, pada masa ini koperasi
terbesar dan paling berjaya itu sudah memperolehi RM5 bilion setahun
sehingga menjana keuntungan sebanyak RM800 juta dan rizab tunai sahaja
melebihi RM1.1 bilion.
“Sebab itu kita bersama 11 NGO pada masa ini minta semua pihak
menyekat penyenaraian saham FGVH ke Bursa Malaysia supaya terus
berkembang. Kami ada maklumat bahawa penyenaraian hanyalah konspirasi
tertinggi untuk dapatkan dana daripada Felda.
“Mereka ini ada agenda lain dan bukan wang semata-mata. Sebab itu
kita mahu kerajaan juga menyekat usaha ini kerana ia melibat maruah
negara dan isu keuntungan durian runtuh kepada peneroka sebenarnya tidak
berbangkit langsung.
Mengenai Isa Samad, Mazlan memberitahu Pengerusi Felda itu telah
bertindak di luar bidang kuasa beliau kerana sedang berusaha
menyingkirkan orang-orang yang dianggap tidak boleh bekerjasama
dengannya.
“Baru-baru ini Pengurus Besar Felda Datuk Dzulkifli Abd Wahab
dicutikan, Kemudian saya dengar Timbalan Pengarah Pembangunan yang juga
Setiusaha KPF diarah berpindah ke Putrajaya dan hari in Timbalan
Pengarah Besar pula dikeluarkan oleh Isa.
“Saya diberitahu ada 18 orang lagi pegawai kanan yang akan dikenakan
tindakan. Jadi kita mahu Cuepacs bertindak segera kerana tindakan oleh
Isa ini dilakukan sewenang-wenangnya hanya kerana mereka ini dianggap
tidak boleh bekerjasama,” katanya seperti dilapor harakahdaily.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.