GEORGE TOWN, 22 DIS – Timbalan Setiausaha Agung Wanita MCA Tan Cheng
Liang yang sebelum ini menuduh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng
menindas kaum Cina di negeri itu kerana membantu orang Melayu, kini
membawa satu lagi fitnah baru.
Kali ini, Tan yang juga Pengerusi Wanita MCA Pulau Pinang, cuba
melaga-lagakan DAP dengan Pakatan Rakyat melalui dakwaannya bahawa DAP
kemaruk jawatan Menteri Besar Selangor tetapi takut untuk berbuat
demikian.
Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow membidas putar-belit Tan
dengan menjelaskan bahawa tuduhan kononnya DAP mahu jawatan Menteri
Besar Selangor sama pelik dengan logik MCA mahu jawatan Menteri Besar
Johor.
“Saya meminta semua pihak, khususnya media kawalan MCA, supaya
menghentikan spekulasi kononnya DAP yang mahu menambah kepelbagaian kaum
dalam mendapatkan kerusi pilihan raya umum akan datang, dikaitkan
dengan usaha mendapatkan jawatan dan kedudukan tinggi,” katanya dalam
satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, Tan cuba menggambarkan bahawa DAP bukan rakan setara
dalam Pakatan tetapi hakikatnya kedudukan MCA dalam Barisan Nasional
jauh terkebelakang dalam gabungan yang didominasi sepenuhnya oleh UMNO.
Memetik laporan Wikileaks baru-baru ini, Chow menyatakan bahawa
seorang bekas presiden MCA telah mengakui bahawa MCA memang dipinggirkan
oleh BN dan perkara itu disedari semua orang, daripada usahawan besar
kepada penjaja, tetapi MCA tidak boleh mengakui hakikat itu secara
terbuka.
Chow yang juga Ahli Parlimen Tanjong menjelaskan bahawa DAP adalah
rakan kongsi setara dalam Pakatan yang komited untuk membawa perubahan
demokratik di Malaysia.
“Berbeza dengan MCA yang sentiasa berdiam diri dan tidak dapat
mewakili perjuangan rakyat menentang dominasi UMNO, DAP bersatu-padu
dengan PAS dan PKR dalam Pakatan.
“Di mana suara MCA apabila Kedai Rakyat 1Malaysia didedahkan sebagai
satu pembohongan? Di mana suara MCA dalam isu salah tadbir wang ternak
lembu digunakan untuk membeli kondominium mewah dalam skandal National
Feedlot Corporation? Di mana suara MCA apabila kedudukan Malaysia
merudum dalam indeks persepsi rasuah?
“Di mana suara MCA apabila hak rakyat untuk berhimpun secara aman dan
berekspresi dinafikan oleh kerajaan BN? Di mana MCA apabila rakyat
Malaysia berhimpun di jalan raya untuk menuntut pilihan raya yang bebas
dan adil?” soal beliau.
Tambahnya, rakyat tidak melihat kelibat MCA apabila ada orang tidak
bersalah mati sewaktu disoal siasat, dan rakyat tidak nampak bayang MCA
apabila Datuk Seri Najib Razak berjanji untuk mansuhkan ISA tetapi mahu
digantikan dengan dua akta zalim yang baru.
Malah, katanya, MCA membisu seribu bahasa apabila Ketua Menteri
Sarawak Tan Sri Taib Mahmud terus dilindungi kerajaan walau pun banyak
pertubuhan antarabangsa mahu membawanya ke mahkamah atas tuduhan
mengumpul kekayaan melalui cara-cara yang mencurigakan.
Menurutnya, MCA juga tidak berbuat apa-apa apabila wang haram
bernilai lebih RM1,000 bilion mengalir keluar dari negara yang boleh
mengakibatkan krisis ekonomi yang besar.
“Apabila semua gejala buruk ini berlaku, di mana MCA?” soal beliau. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.