4 Oct 2011

Utamakan khidmat pelanggan - SUK

Muhammad Yusri Amin   
KOTA BHARU, 3 Okt: Kakitangan awam di negeri ini diingatkan lebih proaktif bagi mempertingkatkan prestasi perkhidmatan di samping mengutamakan pelanggan.
Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Dato’ Dr Zainuddin Ibrahim berkata, sikap bekerja bersungguh-sungguh, berdisiplin dan melaksanakan kerja dengan ikhlas adalah sebahagian ajaran Islam.
“Bahkan pekerjaan dilakukan itu merupakan satu ibadat. Jika dilaksanakan hanya untuk mendapat gaji semata-mata, maka wang sahajalah yang diperolehi.

”Dan jika pekerjaan itu dilakukan bagi mendapat pujian maka pujian sahajalah yang kita dapat. Namun kalau dilaksana dengan jujur dan ikhlas InsyaAllah mendapat ganjaran daripada Allah swt,” katanya pada Majlis Mesra Aidilfitri di sini, baru-baru ini.
Hadir sama Timbalan Mufti Kelantan, Datuk Nik Abdul Kadir Nik Muhammad, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) Datuk Che Mohd Rahim Jusoh dan Ketua Jajahan Kota Bharu, Adnan Hussin.
Dr Zainuddin juga berkata, Islam amat mementingkan perpaduan, keamanan dan perdamaian di antara suku bangsa, ras, agama, warna kulit dan keturunan.
“Kita dituntut saling kenal mengenali antara satu dengan lain, hormat menghormati serta kasih mengasihani.
“Perbezaan anutan agama bukan menjadi penghalang terjalinnya persaudaraan sesama manusia, bahkan menimbulkan kesedaran akan tanggungjawab yang besar iaitu saling bertoleransi,” katanya.
Majlis tersebut diadakan dengan kerjasama JAHEAIK, jawatankuasa Jameiah Al-Asriah, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, PERKIM dan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam.
Turut jadir wakil-wakil badan bukan kerajaan termasuk Institut Dakwah PERKIM dan penduduk pelbagai kaum.
sumber : Harakah Daily

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.