KUALA LUMPUR: Peguam Karpal Singh berkata beliau kecewa kerana pengurusan kes saman sivil yang difailkan keluarga Altantuya Shaaribu kepada kerajaan masih tertangguh.
Permohonan tersebut, kata Karpal ditangguhkan kerana dua anggota polis dari Unit Tindakan Khas yang didapati bersalah dalam pembunuhan itu memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.
“Saya telah bangkitkan isu ini di Parlimen tetapi hanya mendapat jawapan bertulis, yang tiada gunanya.” kata Karpal yang juga Ahli Parlimen bukit Gelugor kepada Malaysiakini.
Karpal berkata beliau telah berulang kali menulis kepada mahkamah untuk pengurusan kes saman itu, tetapi masih belum menerima jawapan.
Justeru, beliau merancang menimbulkan perkara itu sekali lagi semasa persidangan Deawn Rakyat yang bermula hari ini.
“Keluarga (Altantuya) telah banyak kali menulis untuk bertanya bila kes itu akan dibicarakan tetapi saya terpaksa terus beritahu mereka bahawa ia akan mengambil masa. Malah kes rayuan daripada kedua-dua (anggota polis Azilah Hadri dan Sirul Azhar) masih tidak diselesaikan lagi,” katanya.
Pada Jun 2007, keluarga Altantuya memfailkan saman ke atas Kerajaan Malaysia dan tiga tertuduh yang didakwa dalam kes pembunuhan itu, bagi mendapatkan ganti rugi RM100 juta.
Writ saman berkenaan difailkan melalui firma Tetuan Karpal Singh & Co di Mahkamah Tinggi Sivil.
Empat anggota keluarga terdekat mangsa, termasuk dua anak kecilnya, dinamakan sebagai plaintif.
Mereka menamakan Cif Insp Azilah Hadri, Kpl Sirul Azhar Umar, Abdul Razak Abdullah Baginda dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.
Kenyataan tuntutan itu menyebut, wanita yang bekerja sebagai jurubahasa dan penterjemah sambilan itu adalah penyara tunggal kepada dua anaknya Mungunshagai Bayarjargal, 9, dan Altanshagai Munkhtulga, 4.
Plaintif mendakwa Abdul Razak adalah seorang penganalisis politik kepada Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak yang dituduh bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar dalam pembunuhan Altantuya.
Mereka mendakwa wanita berusia 28 tahun itu telah ditembak mati dan mayatnya diletupkan dengan bahan letupan C4 oleh Azilah dan Sirul Azhar.
Cebisan mayat itu ditemui di kawasan hutan di Puncak Alam, Shah Alam pada 7 Nov 2006.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.