4 Oct 2011

RUU Kg Baru: PAS anjur Konvensyen Kota 2011

Aziz Muda   
KUALA LUMPUR, 3 Okt: Seluruh penduduk di negara ini diingatkan agar tidak terpengaruh dengan sandiwara Umno yang menarik balik Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kg Baru (RUU PPKB) daripada dibentangkan di Dewan Rakyat pada persidangan bermula hari ini.
Sebaliknya, setelah menarik rang undang-undang itu daripada dibentangkan pagi tadi, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin membentangkan pula RUU PPKB yang baru petang ini.

Ketua Penerangan PAS Wilayah Persekutuan, Mohd Nasaie Ismail (gambar) berkata, penarikan rang undang-undang itu daripada dibentangkan di Dewan Rakyat dibuat oleh pihak Umno secara tiba-tiba, pada hal sebelum ini pihak Umno sendiri telah mengakui mendapat sokongan majoriti penduduk Kampung Baru untuk dibentangkan rang undang-undang tersebut.

Menurut beliau, realiti sebenarnya, penarikan rang undang-undang itu daripada dibentangkan dibuat setelah mendapat bantahan keras penduduk, Sekretariat Pembangunan Kampung Baru (SPKB) dan parti-parti dalam Pakatan Rakyat.   

Katanya, namun pada persidangan Dewan Rakyat petang ini, setelah mengumumkan penarikan RUU PPKB yang lama daripada dibentangkan pagi tadi, tiba-tiba Datuk Raja Nong Chik membentangkan pula RUU PPKB yang baru yang dibuat tanpa sebarang perbincangan dengan wakil penduduk Kampung Baru terlebih dahulu.

"Dengan itu, jelas tiada jaminan aset penting orang Melayu di segitiga emas ini akan kekal jika BN terus memerintah negara," katanya ketika ditemui Harakahdaily, di sini, hari ini.

Katanya, PAS Wilayah Persekutuan juga memberi amaran kepada Datuk Raja Nong Cik selaku menteri bertanggungjawab bahawa isu Kampung Baru bukan sekadar akan membenamkan Umno di Titiwangsa, tetapi seluruh negara akan memberikan impak yang besar dengan penolakan terhadap BN khususnya di kawasan-kawasan Melayu yang ditandingi Umno.


Konvensyen Kota 2011


Rentetan daripada beberapa isu yang berlaku, menurut beliau lagi, PAS akan menganjurkan Konvensyen Khas berkaitan Tanah dan Perumahan Kuala Lumpur (Kota 2011) pada 29 Oktober ini.

Konvensyen tersebut diadakan bagi membincangkan nasib dan masa depan warga Kuala Lumpur khususnya penduduk Kampung Baru, Kampung-Kampung tradisi dan penduduk di Program Perumahan Rakyat (PPR) yang berdepan dengan nasib malang di bawah pemerintahan BN.

Tujuan konvensyen itu diadakan, jelasnya, untuk merumuskan permasalahan yang berlaku dan menggerakkan usaha bersepadu mempertahan dan mengembalikan hak rakyat di ibu kota sebagaimana yang sepatutnya diterima.

"Kita menjemput semua pihak untuk menyertai Konvensyen ini yang akan diadakan di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru pada tarikh tersebut bermula pukul 9 pagi hingga petang," katanya.

Kepada orang ramai yang ingin mengemukakan sebarang pertanyaan berhubung penyertaan bagi program itu, katanya, bolehlah menghubungan Hafiz menerusi telefon 017-3712598.

Tindakan tidak bertanggungjawab pihak Umno untuk terus mempermainkan rakyat, tegas beliau, tidak boleh dibiarkan kerana ia telah berlaku sekian lama walaupun rakyat terus menanggung kerugian.

"PAS dan Pakatan Rakyat pasti akan terus melakukan apa sahaja tindakan untuk kepentingan rakyat dan orang ramai telah pun dapat melihat dengan jelas tindakan PAS dan Pakatan Rakyat berbanding Umno khususnya dalam hal ini," ujar beliau.


PAS kesal


Sementara itu, Harakahdaily hari ini melaporkan, PAS kesal dengan tindakan Datuk Raja Nong Chik membentangkan RUU PPKB yang baru tanpa sebarang perbincangan dengan wakil penduduk kampung terlebih dahulu.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, meskipun pihaknya menyambut baik penarikan RUU PPKB yang lama itu, namun tetap kecewa dengan pembentangan RUU PPKB baru yang disifatkan sebagai membelakangkan pandangan penduduk Kampung Baru.

"Walaupun Rang Undang-Undang yang lama  ini dimansuhkan pagi tadi tapi tetap menggambarkan sikap kerajaan yang tak mengambil kira pandangan penduduk apabila membentangkan Rang Undang-Undang baru.

"Tak sewajarnya Rang Undang-Undang ini dimasukkan tanpa menteri memanggil sekretariat bagi mendraf Rang Undang-Undang ini," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Manakala seorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar seperti yang dilaporkan Harakahdaily hari ini mahu wakil penduduk Kampung Baru, khususnya Lembaga Pentadbiran Kg Baru dipanggil untuk membincangkan RUU yang baru itu.

"Kerajaan seharusnya sebelum membentangkan Rang Undang-Undang ini, seharusnya ia dirujuk kepada penduduk Kg Baru sebab ia khusus kepada penduduk Kg Baru.

"Kalau terus bentang di Parlimen yang akan bahas bukan orang Kg Baru, mesti tak dapat gambaran sebenar," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.
sumber : Harakah Daily

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.