KOTA BHARU, 3 Okt: PAS Kelantan menyambut baik serta mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Abim yang menyokong perlaksanaan undang-undang jenayah Islam termasuk hudud.
Demikian kata Ketua Penerangan PAS Kelantan, Dr Mohamed Fadhli Hassan mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Abim semalam.
Mohamad Raimi Abdul Rahim menyatakan bahawa hasil dari wacana Hudud, Abim membuat rumusan bahawa undang-undang jenayah Islam itu wajar malah sesuai dilaksanakan di Malaysia.
"Terbukti bahawa PAS tidak keseorangan dalam memperjuangkan hudud ini. Ianya menjadi tanggung jawab semua umat Islam. Malah salah seorang ahli panel wacana tersebut, Dr Abdul Halim al-Muhammady juga telah menyimpulkan bahawa hudud adalah satu tuntutan syariat dan akidah dalam Islam," katanya.
"Kita mengharapkan agar lebih banyak lagi NGO Islam dan mana-mana individu tampil menyokong perlaksanaan hudud ini," kata Fadhli.
Sebagaimana telah ditegaskan Menteri Besar Kelantan, perlaksanaan hukuman jenayah Islam ini hanya dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Dengan itu, katanya, secara langsung orang bukan Islam tidak tertakluk kepada undang-undang ini. Justeru itu tidak ada sebab untuk orang bukan Islam menentang perlaksanaannya. |
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.