4 Oct 2011

Hudud, PPSMI dan Memali

Ahmad Lutfi Othman   
SAH, isu hudud telah dipolitikkan. Umno dan media berbahasa Melayu yang dikawalnya, melalui siri serangan sejak dikecewakan dalam pilihan raya 2008, terus menekan PAS bagi menggambarkan parti Islam itu tunduk kepada DAP. Targetnya tetap satu, ingin menjauhkan pengundi Melayu daripada PAS.

Manakala bagi parti komponen bukan Melayu BN, terutama MCA dan media berbahasa Inggeris, yang dikejarnya adalah penonjolan komitmen PAS untuk terus melaksanakan hudud, bagi menjarakkan pengundi bukan Islam dengan PAS, sekali gus memalitkan imej buruk kepada sekutunya dalam Pakatan Rakyat, DAP.Sambutan Hari Hudud di Kelantan, yang mencetuskan kembali isu ini, bukanlah program baru, tetapi kali ini Umno melihat ia boleh dimomokkan menjelang PRU13.

Untuk pilihan raya yang paling sengit dalam sejarah itu, apa sahaja isu akan dieksploit, walaupun tanpa sedar akhirnya ia memerangkap Umno sendiri.

Malah bukan mengejutkan jika selama ini Umno seperti mahu meletakkan dirinya sebagai pihak yang “begitu terkilan” jika PAS “melepaskan” prinsip perjuangan Islamnya. Perhatikanlah, bagaimana riuh-rendahnya media Umno jika melihat agenda Negara Islam tidak lagi dicatatkan dalam manifesto PAS.

Ya... sayang sungguh Umno dengan perjuangan Islam PAS rupanya! Namun, kini Umno agak gelisah selepas dijelaskan bahawa pelaksanaan Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 ke atas orang Islam (yang diluluskan sidang Dun Kelantan menurut prosedur yang betul dan menepati kehendak sistem demokrasi), terikat dengan komitmennya pula.

Pelbagai seminar, diskusi, forum, wacana dan ceramah tentang enakmen hudud diadakan setiap tahun. Lagi pun, sebelum kedatangan British, undang-undang Islam adalah undang-undang utama (law of the land) di Tanah Melayu, seperti Undang-Undang 99 Perak dan Hukum Kanun Melaka.

Ia bukan sesuatu yang asing dan ganjil de ngan masyarakat kita. Di Kelantan, dalam kerangka sistem sedia ada, tanpa perubahan total, enakmen syariah ini boleh diusahakan dengan kerjasama Umno di peringkat persekutuan.

Apa lagi daleh Umno untuk lari daripada tanggungjawab ini? Untuk membolehkah Mahkamah Syariah membicarakan keskes hudud, sekurang-kurangnya perlu memansuhkan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah), yang menyekat mahkamah ber kenaan daripada membicarakan jenis-jenis kesalahan yang bo leh dihukum dengan hukuman lebih berat. (Hukuman maksimum sekarang adalah penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan 6 kali sebatan).

Hudud memang merupakan tuntutan atau hasrat rakyat Kelantan, kata Prof Dr Abd Aziz Bari, selepas membuat tinjauan ke negeri itu dan mendengar sentimen akar umbi, di samping berbincang dengan MB Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Apabila MCA mengugut akan ke luar BN jika Umno mahu melaksanakan hudud, saya tergelak keseorangan. Bila pula Umno meletakkan hudud sebagai agenda yang dihasratkannya? Malah tiada pun kesungguhan untuk membuka seluas-luasnya pintu ke arah kebaikan dan menutup ruang kemaksiatan, iaitu situasi kondusif sebelum pelaksanaannya.

Dr Chua Soi Lek tidak perlu risau. Umno hanya mahu bermain politik dengan isu hudud. Selama ini langsung tiada inisiatif Umno bagi mewujudkan suasana selesa itu, termasuk mengadakan persiapan yang perlu. Masakan selepas 54 tahun memerintah negara, belum nampak apa pun usaha serius untuk melaksanakan undang-undang syariah.

II. Penjajah

Imperialisme linguistik Saya tertarik dengan kolum Sasterawan Negara ke-10, Dr Anwar Ridhwan, dalam Malaysiakini. Selain menyentuh isu-isu bahasa dan budaya, beliau turut menyinggung polemik bahasa, misalnya sama ada negara ini pernah dijajah Inggeris, atau hanya dinaunginya.

Saya kira pandangan bernasnya wajar dikongsi dengan audien yang lebih ramai. Dari sisi lain, kritikan berani beliau, sekurang-kurangnya tidak meletakkan A Samad Said keseorangan, sebagai Sasterawan Negara, untuk tampil menjuarai isu-isu yang menyentuh kepentingan rakyat.

Melalui tulisan terbarunya, yang menyentuh debat bahasa yang masih tidak berpenghujung, Anwar mengungkapkan: “Dalam konteks Malaysia yang kelihatan cen derung untuk tunduk kepada imperialisme linguistik bahasa Inggeris, yang patut diperkasakan ialah modul serta kurikulum subjek bahasa Inggeris itu sendiri, bukan memparasit subjek-subjek lain – agar bahasa Inggeris yang dipelajari oleh anak cucu kita berkesan sebagai bahasa bagi tujuan fungsional atau profesional.

“Jika dasar PPSMI diteruskan, lama kelamaan akan timbul desakan agar lebih banyak subjek diajar dalam bahasa Inggeris. Pada hal jika subjek bahasa Inggeris itu kuat, dan modul serta kurikulumnya dapat diarahkan kepada tujuan fungsional dan profesional, ia tidak perlu mengambil subjek-subjek yang lain.

“Penerusan PPSMI yang akan meluas dari masa ke masa akan mengancam sekolah kebangsaan, kerana jika tidak dibendung mungkin wujud sekolah-sekolah bandar dengan PPSMI, dan sekolah-sekolah luar bandar, pedalaman, kepulauan dan Felda yang tanpa PPSMI. Ini akan menimbulkan jurang sosial yang berbahaya.”

III. Memali dan bekas polis

Memali dan bekas Ketua Polis Baling Nama bekas Ketua Polis Daerah Baling, Tunku Muszaffar Shah Tunku Ibrahim,pada 29 September lalu, tiba-tiba menjadi popular.

Beliau yang terlibat dalam tragedi berdarah Memali, 19 November 1985, kini seperti mahu “membetulkan sejarah yang terpesong”. (Rupanya bukan saja sejarah penentangan terhadap penjajah dan kemerdekaan negara perlu ditafsir semula, malah peristiwa yang mengorbankan 18 nyawa, 25 tahun lalu itu juga wajar diteliti kembali).

Dalam bukunya Memali: A Policeman Remembers, beliau merumuskan bahawa pegawai atasannya di Bukit Aman untuk menangkap seorang tok guru, Ustaz Ibrahim Mahmood atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya sebagai ‘tidak bijak’ dan dibuat de ngan campur tangan politik.

Assyahid Ibrahim ditembak mati dalam percubaan kali kedua polis untuk menahannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. (Beliau kini dikenang sebagai penentang utama ISA, bukan melalui memorandum atau demonstrasi, tetapi dengan darah dan nyawanya sendiri).

Muszaffar menulis, bahawa pegawai-pegawai tertinggi di Bukit Aman, termasuk pemangku Ketua Polis Negara ketika itu, sepatutnya tidak menuruti arahan daripada pemimpin politik mereka dan menolak permintaan yang tidak selaras dengan norma-norma atau prosedur polis.

“Budi bicara dan tindakan polis tentang bagaimana mereka harus melaksanakan tanggungjawab perlu mengikut situasi pada peringkat akar umbi,” katanya, seperti dilaporkan Malaysiakini.
Saya masih belum membaca buku karya adik Tunku Aziz, bekas aktivis Transparency International itu.

Apa pun, berdasarkan pengamatan langsung terhadap peristiwa hitam itu, yang pernah saya garap melalui dua makalah ringkas, Percikan Darah Syuhada dan Memali: Selepas 3 Tahun BN Bertaubat?, termasuk beberapa kunjungan ke Memali, kali pertamanya ketika mewakili Persatuan Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia sejurus selepas kejadian, maka pendedahan Muszaffar tidaklah mengejutkan.

Memali adalah isu politik dan sepatutnya diselesaikan melalui kaedah politik. Bayangkan natijahnya apabila pihak polis yang lengkap bersenjata berat dikerahkan bagi “merongkai” masalah politik Umno, khususnya di Baling.

Menteri Dalam Negeri, yang juga pemangku Perdana Menteri ketika itu, Musa Hitam turut mengakui desakan parti mendorong beliau bertindak, seperti kenyataannya kepada media bahawa “he was criticised twice in the Umno general assembly for his seeming inaction with regard to these activities.”

Di Parlimen, sehari selepas ke jadian, Musa berkata operasi itu adalah untuk menangkap tiga “penjenayah” iaitu Ustaz Ibrahim dan dua penyokongnya, Mat Ramli Che Mid dan Yusuf Che Mid. Ramli dan Yusuf tidak ada di rumah Ustaz Ibrahim ketika polis menggempur.

Namun, dalam pertuduhan terhadap 34 orang yang ditahan ISA ekoran tragedi itu, mereka didakwa terlibat dalam aktiviti mengancam keselamatan negara dan ke giatan pelampau agama “bertujuan untuk menggulingkan kerajaan Malaysia yang sah dengan cara revolusi bersenjata.”

Lebih detailnya, KDN menyebut alasan perintah tahanan ISA sebagai “bertanggungjawab menyediakan senjata merbahaya iaitu jamur, buluh runcing, molotov cocktail, anak panah, lastik ... untuk menggulingkan kerajaan Ma laysia secara kekerasan dan revolusi bersenjata.”

Dua minggu sebelum Muszaffar melancarkan bukunya itu, sa ya sem pat berbicara dengan se orang bekas pegawai tinggi tentera, di majlis rumah terbuka Aidilfitri. Kami banyak menyentuh soal kontroversi Mat Indera dan pengiktirafan terhadap semua pejuang kemerdekaan.

Menyentuh soal banyak isu masa kini yang semuanya hendak dipolitikkan, beliau mengaitkannya dengan Memali: “Kenapa perlu serang dan tembak? Kenapa tidak mengadakan kepungan sehingga melemahkan Ibrahim Libya dan orang-orangnya. Jika dikendalikan dengan baik, tanpa sentimen politik, dan menyerahkan kepada pihak keselamatan untuk menguruskannya, mungkin tiada nyawa melayang.”
 

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.