25 Sept 2011

Pak Lah: Tiada sebab SKMM wajar sekat klip Undilah

September 24, 2011

KUALA LUMPUR, 24 Sept — Tun Abdullah Ahmad Badawi menegaskan tiada sebab bagi pengawal selia stesen penyiaran menghalang penyiaran klip video Undilah kerana pengumuman khidmat awam seumpama itu ke udara demi kepentingan umum sejak pilihan raya umum pertama.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengarahkan agar stesen penyiaran lokal tidak lagi menyiarkan klip video itu, yang dilancarkan sempena Hari Malaysia minggu lalu. Arahan itu difahamkan dikeluarkan oleh SKMM awal minggu ini.

“Saya merasakan ia (klip video) baik. Saya seronok mendengar (klip video itu),” kata bekas perdana menteri (gambar) ini.
“Saya mendapati lagu ini bukan (memihak) mana-mana kumpulan atau parti, liriknya menggalakkan, merangsang orang ramai tentang kepentingan pilihan raya,” kata beliau pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di sini hari ini, dengan merujuk kepada klip Marilah Mengundi yang lazimnya akan dimainkan ketika pilihan raya.
“Saya tidak melihat apa-apa sebab mengapa SKMM wajar ambil  tindakan ini,” katanya.
Dalam satu kenyataan awal hari ini, SKMM berkata klip video Undillah belum mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem (LPF) untuk siaran, dan oleh itu, ia tidak sepatutnya disiarkan menerusi televisyen sehingga ia telah mendapat kelulusan.
Agensi itu berkata, hasil pemantauan pematuhan secara rutin dibuat menunjukkan pengumuman khidmat awam yang dihasilkan oleh pemuzik Pete Teo belum mendapat kelulusan LPF.
SKMM menambah, di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, semua penyiar mesti menghentikan penyiaran klip video berkenaan.
Banyak pihak termasuk mereka yang menjayakan penerbitan klip itu mengkritik tindakan SKMM yang melarang stesen penyiaran lokal daripada menyiarkan bahan itu.
Selain Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dari Umno turut menjayakan klip itu ialah Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong dan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin.
Personaliti lain termasuklah Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dan Adun Seri Setia Nik  Nazmi Nik Ahmad.
Pelakon Afdlin Shauki dan penulis lirik kontroversial Namewee merupakan antara individu terpilih untuk mendendangkan lagu Undilah ciptaan komposer Pete Teo.
Video klip berdurasi 4.38 minit itu turut menampilkan 40 personaliti termasuk ahli politik Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.
Sehubungan itu, Abdullah yang melepaskan jawatan perdana menteri April 2009 bertanya sama ada lesen atau kelulusan diperlukan untuk menyiarkan klip pengumuman khidmat awam.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.