Saya tegaskan bahawa Pakatan Rakyat merupakan suatu muafakat utuh dan berlandaskan kejujuran mahukan Perubahan buat rakyat negara Malaysia. Oleh kerana itu, isu yang menyentuh kepentingan rakyat pastinya dibincangkan bersama kesemua wakil dari parti komponen serta keputusan yang dibuat merupakan pendirian bersama. Pun demikian Pakatan Rakyat berpendirian, setiap dari parti komponen sewajarnya mempunyai ruang untuk mengungkapkan keyakinan, faham serta ideologi terutamanya kepada pendokong mereka.

Berkaitan hasrat Negeri Kelantan mahu melaksanakan hudud, saya berpandangan kita sewajarnya menghormati keputusan tersebut, namun pastinya ia tertakluk kepada beberapa perkara. Pertamanya persoalan Maqasid al Syariah, Matlamat Utama Syariah, iaitu menjamin keadilan untuk semua. Malah dalam karya saya yang berjudul Gelombang Kebangkitan Asia, tuntas saya ungkapkan keutamaan Maqasid al Shariah demi menjamin keadilan untuk semua. Justeru adalah baik untuk kita merenung beberapa aspek perundangan syariah yang berjaya dilaksanakan di Kelantan, maka tidak wajar buat saya menempelak atau meremehkan langkah tersebut.

"Mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153."
Namun apa yang saya kesalkan adalah hipokrisi UMNO-BN memperalatkan isu hudud ini sebagai permainan politik. Pimpinan UMNO-BN tidak pernah berhasrat membincangkan isu ini secara tuntas dan serius. Mantan Perdana Menteri, Mahathir menolak bulat-bulat malah mempersendakan peranan undang-undang syariah serta beberapa pesan yang dianggap sebahagian dari sunnah Rasulullah SAW. Media yang dikuasai pemerintah pula mencanangkan kononnya undang-undang syariah sebagai suatu warisan zaman primitif.

*Kenyataan media oleh Anwar Ibrahim (gambar kanan) selaku Ketua Umum PKR.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.