25 Sept 2011

Habis madu sepah dibuang, begitulah nasib bekas perajurit Sarawak

PAS Sarawak sangat simpati dengan nasib dan masalah yang dihadapi oleh bekas prajurit (Sarawak Ranger Veteran Association) seperti yang dilapor oleh akhbar ‘Borneo Post’.

Sepatutnya pihak kerajaan menghargai pengorbanan yang telah dicurahkan oleh bekas-bekas renjar Sarawak yang bertugas semasa Darurat di Tanah Melayu dari 1948-1960. Mereka membantu askar tanah Melayu dari ancaman pengganas komunis dan memastikan negara ini selamat daripada peperangan.


Mereka sudah lama memohon agar diberi tanah lot dan juga kenaikan elaun bulanan yang berpatutan dengan keadaan hidup semasa bukan hanya diberi RM100 sebulan. Sepatutnya elaun mereka dinaikkan sekurang-kurangnya setanding dengan indeks kemiskinan nasional sebanyak RM700.

Pihak kerajaan kena bertindak dan mengambil perhatian dengan segera akan nasib yang menimpa bekas prajurit dan veteran ranjer ini agar mereka juga dapat menikmati kebebasan yang mereka perjuangkan selama ini dari ancaman komunis. Jangan hanya pihak komunis yang menyerah diri saja dapat pengampunan dan diberi kemudahan sedang pejuang kemerdekaan dipinggir begitu saja, adakah mungkin disebabkan mereka berlainan fahaman politik dengan parti pemerintah? Adalah tidak adil bagi bekas prajurit ini yang bermatian berperang menentang musuh negara sedangkan musuh yang menyerah diri pula diberi keistimewaan.

Jangan hanya waktu dekat pilihanraya baru sibuk nak minta para prajurit menyokong mereka (BN) sedangkan selama ini nasib mereka terabai begitu saja tanpa sebarang bantuan yang sepatutnya. Kalau pun diberi elaun bulanan sebanyak RM100 ini bukan sesuai lagi untuk hidup pada masa sekarang dimana kos kehidupan semakin meningkat dan bekas prajurit pun bukan minta banyak dan sudah tentu mereka pun bukan boleh hidup lama lagi untuk menikmati erti kemerdekaan yang mereka perjuangkan selama ini. Kita minta pihak kerajaan jangan biarkan bekas veteran prajurit dan bekas polis yang pernah berkhidmat untuk negara dipinggir begitu saja tanpa sebarang bantuan dan perhatian.

Ingat lah mereka ini juga yang patuh dan taat setia menurut perintah semasa berkhidmat dengan pemerintah tetapi apabila mereka sudah tidak berkhidmat dengan pemerintah mereka langsung tidak dihargai terutama sekali golongan atau anggota bawahan. Mungkin hanya segelintir saja yang diberi keistimewaan kerana mempunyai kepentingan tertentu.

Ramai lagi anggota-anggota bawahan yang menerima nasib yang malang cuma tidak dilaporkan mungkin disebabkan mereka takut atau tidak tahu ke mana hendak mengadu. Kita minta pihak kerajaan bersikap adil untuk semua tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.

Jofri Jaraiee
PAS Miri

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.