25 Sept 2011

KPN jangan nampak sangat bela BN

Abdul Aziz Mustafa   
KUALA LUMPUR, 25 Sept: Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar didesak agar tidak menampakkan sangat beliau berkhidmat untuk Barisan Nasional (BN) apabila begitu risau parti itu kalah pilihan raya, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

Kenyataan dan pandangan Ismail secara terbuka bahawa kerajaan BN boleh kalah dalam pilihan raya umum jika tidak menangani isu berkaitan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dengan baik, dilihat tidak septutnya dikeluarkan seorang kakitangan kerajaan.


"Apa masalah kepada pasukan polis kalau BN kalah? Mengapa Ketua Polis Negara nampak risau sangat?

"Saya harap sangat tidak ada kaitan dengan apa yang disebut oleh (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) bahawa sudah jadi parti perasuah," kata beliau.

Mahfuz mempersoalkan, mengapa Ketua Polis Negara sibuk sangat sama ada BN menang atau kalah?

"Kalau Ismail dah terlupa, rakyat perlu bangkit beramai-ramai untuk mengingatkannya bahawa tugas polis menjaga kepentingan negara dan rakyat, bukan menjadi suruhan BN dan menjadi pengawal keselamatan parti itu.

"Polis sepatutnya dilihat tidak memihak," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu yang menyifatkan Ketua Polis Negara itu memperlihatkan dirinya lebih Umno dari Umno.

Mahfuz juga mempersoalkan apa perlunya pihak polis mengadakan sesi memerah otak, diskusi dan juga forum sehingga berbulan-bulan lamanya sebelum ISA dan lain-lain undang-undang darurat dihapuskan.

"Adakah polis sudah mengambil alih tugas Jabatan Peguam Negara?

"Kerja polis bukan menggubal undang-undang, kerja polis menguatkuasakan undang-undang," katanya.

Sambil mengakui pihak polis boleh dipanggil untuk memberikan pandangan dalam penggubalan sesuatu undang-undang yang berkaitan dengan bidang kuasanya, Mahfuz berkata adalah pelik kalau Ketua Polis Negara pula yang nampak lebih sudu dari kuah.

Beliau juga berharap Ismail mengurangkan kenyataan-kenyataan yang boleh memudaratkan dirinya sendiri.

"Sekarang semakin ramai yang menuduh (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) kelihatan lebih tidak cerdik dari (Tun) Abdullah (Ahmad Badawi).

"Saya harap Ismail lebih berhati-hati agar beliau tidak popular dengan tuduhan tidak cerdik seperti Abdullah," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.