Teo Nie Ching merupakan Ahli Parlimen Serdang dan juga merupakan Penolong Setiausaha Publisiti DAP. Anak kelahiran Johor ini mempunyai Ijazah Undang-undang dari Universiti West of England. Selepas menamatkan pengajiannya, beliau mengembara sekitar Eropah dan bekerja sebagai pustakawan di universiti beliau, sebelum pulang ke Malaysia pada 2003. Setahun kemudian, beliau menerima Sijil Amalan Guaman dari Universiti Malaya.
Ikuti wawancara wartawan Roketkini, Amaluddin Zhafir, dengan Teo Nie Ching.
Boleh ceritakan sedikit latar belakang politik saudari dan kenapa memilih DAP sebagai wadah perjuangan saudari?
Saya datang dari keluarga DAP, kedua-dua ibu bapa saya adalah anggota DAP, dan sejak kecil mereka sentiasa membawa saya ke ceramah dan program anjuran DAP. Dalam politik, kedua-dua ibu bapa saya berfikiran terbuka; mereka tak kisah jika saya sertai MCA atau Gerakan, tetapi bagaimana pun di hati saya sentiasa tertanam dengan semangat DAP.
Ini kerana secara peribadi dan politiknya saya percaya kepada sistem semak dan imbang dan tertarik kepada sistem dua parti – tak mungkin MCA dan Gerakan memperjuangkan sistem ini – yang mana seharusnya diguna pakai di dalam sistem politik Malaysia.
Selain itu, hasrat saya ialah untuk memperkuatkan lagi Pakatan Rakyat walau pun saya boleh sertai parti lain, contohnya PAS, tetapi tak lah saya masuk PAS (ketawa).
Sebelum saya sertai DAP, saya telah banyak melibatkan diri dalam aktiviti dan program-program DAP, oleh kerana itu lah saya fikir saya lebih dekat dengan DAP. Itulah sebabnya saya pilih DAP sebagai wadah perjuangan saya.
Kenapa tidak meneruskan cita-cita menjadi peguam, mengapa memilih politik?
Ini kerana selepas mengamati sistem politik Malaysia, saya ternampak kepincangan dalam sistem kehakiman Malaysia tidak sempurna. Maksudnya terdapat beberapa masalah dengan sistem perundangan kita terutamanya kes-kes kontroversi yang melibatkan parti politik atau pun seseorang individu hendak saman kerajaan contohnya.
Saya rasa memang susah untuk kita menuntut keadilan di mahkamah melalui sistem kehakiman yang sedia ada sekarang. Bagi saya sistem kehakiman ini kurang berkesan walau pun sistem-sistem kehakiman kita tidak berbeza pun dengan sistem kehakiman di UK dan Amerika Syarikat. Di sana hakim-hakim dilantik oleh Perdana Menteri atau Presiden juga.
Tetapi di Malaysia, walau pun sama tetapi sistem ini tidak boleh berjalan lancar. Pendapat saya ialah kerana kita tidak ada sistem politik dua parti utama, kita tidak mengamalkan sistem dua parti.
Macam di UK atau pun Amerika. Contohnya, ketika George Bush menjadi Presiden, beliau boleh melantik hakim, dan apabila Barrack Obama menjadi Presiden, dia juga melantik hakim. Akhirnya sistem kehakiman ini menjadi seimbang dan dilihat adil.
Di Malaysia kita belum ada lagi sistem tersebut. Sebelum 8 Mac, mana ada kita ada sistem dua parti. Bila kita bercakap tentang sistem dua parti, ia bukan bermaksud mempunyai pembangkang yang kuat. Ia bermaksud kita boleh menukar giliran untuk memerintah.
Tetapi di Malaysia sepanjang 50 tahun lebih ini semuanya satu parti Barisan Nasional yang kawal. Jadi bagaimana kita boleh cakap tentang sistem dua parti? Sistem ini tak pernah wujud di Malaysia. Inilah juga salah satu sebab kenapa saya memilih melakukan perubahan melalui politik.
Bagaimana pula saudari boleh terlibat langsung sehingga menjadi Ahli Parlimen Serdang?
Ianya bermula pada 2008 dan ketika itu saya sertai DAP secara rasmi sebab aura pilihan raya umum ke-12 ketika itu dirasai sudah hampir. Tujuannya ialah untuk membantu DAP dalam kempen pilihan raya tersebut. Sebenarnya kerana Jeff Ooi, yang sepatutnya bertanding di Serdang, telah memilih untuk bertanding di Jelutong, Pulau Pinang.
Oleh kerana DAP tiada calon di Serdang, pada bulan Februari 2008, Tony Pua memujuk dan menjemput saya untuk bertanding di Parlimen Serdang.
Selepas saya pertimbangkan tawaran beliau, tanpa memikirkan yang saya akan menang, sebab masih mentah dan baru… Tetapi oleh kerana idealisme yang saya pegang selama ini, dan saya merasakan ini tanggungjawab dan hasrat saya untuk melihat Malaysia supaya ada sistem dua parti, jadi saya setuju untuk bertanding di Serdang.
Saudari juga cenderung kepada pergerakan mahasiswa dan banyak membantu mahasiswa dari segi nasihat, program atau pun pertolongan terhadap mahasiswa. Kenapa mahasiswa?
Ini sebab DAP sedar anak muda punya idealisme dan cadangan-cadangan baik dan bernas untuk masyarakat. Kita mahu anak muda berfikiran lebih luas dan terbuka, bukan hanya melihat sesuatu perkara dari satu sudut sahaja.
Bagaimana pun, kami sentiasa menawarkan ruang untuk mahasiswa dan anak muda untuk berbincang serta mengemukakan pandangan mereka.
Malah, DAP memang sentiasa mendekati mahasiswa, membantu dengan memberi nasihat kepada mereka terutamanya mereka yang terlibat dalam pilihan raya kampus.
Contohnya, kes UKM4 yang terkenal itu, saya secara langsung turun padang memberikan buah fikiran kepada mereka dan membantu mereka bagaimana hendak berhadapan dengan polis, dan Hal Ehwal Pelajar.
Bagaimana pula DAP mendekati mahasiswa secara langsung? Adakah platform untuk mereka mendengar suara dari sebuah parti supaya mereka boleh berfikiran terbuka lagi?
Berkaitan dengan ruang untuk berdiskusi, soal bentuk atau struktur platform itu boleh dibincangkan kemudian – yang penting golongan muda sendiri perlu mewujudkan platform sendiri dan berani bersuara.
Bagaimana pun, kami sentiasa menganjurkan program-program mendekati golongan muda, tidak kira sama ada mahasiswa atau pun bukan.
Ini adalah kerana kami mahu anak muda, termasuk mahasiswa berbincang sebagai bangsa Malaysia.. Maksudnya, tak sesuai kalau ada perbincangan yang hanya mengikut kaum sahaja. contohnya kaum Melayu bincang dengan Melayu saja, Cina dengan Cina saja, India dan India saja…
Ini bukan soal DAP nak pengaruhi anak muda. Yang penting DAP nak dapat tahu isi hati dan aspirasi anak muda.
Di kawasan Parlimen Serdang, bagaimana penerimaan penduduk terutamanya orang Melayu terhadap saudari?
Dalam tempoh tiga tahun Pakatan Rakyat memerintah Selangor, kami kerap bekerjasama terutamanya dengan PAS Serdang. Ini kerana di Parlimen Serdang terdapat tiga DUN iaitu Sri Kembangan dan Balakong yang majoritinya pengundi Cina, dan DUN Bangi yang kebanyakannya ialah kaum Melayu.
Melaui PAS, DAP sentiasa buat program dan aktiviti. Kita kerap adakan program di sana, turun padang dan bersama rakyat di sana. Jadi dalam tiga tahun ini, maklum balas dari pengundi-pengundi Melayu ini memuaskan dan menggembirakan hati saya.
Ini mungkin kerana kontroversi saya dahulu yang memasuki surau dan diherdik lantang oleh Utusan Malaysia, sedangkan beberapa pucuk pimpinan PAS tidak pula paranoid, malah mereka mengalu-alukan lagi saya supaya kerap turun bersama merapati golongan Melayu.
Selepas kontroversi tersebut, maklum balas yang saya terima dari kaum Melayu sangat-sangat positif dan memberangsangkan. Malah, mereka juga banyak menggalakkan saya supaya teruskan usaha saya untuk bersama masyarakat Melayu di sana. Sama ada pergi ke pasar Ramadhan – beri buah kurma contohnya, serta banyak buat program berbuka puasa bersama masyarakat Muslim dan saya rasa aktiviti-aktiviti ini kian hari menampakkan penerimaan Melayu.
Saya akui walau pun masih belum sempurna, usaha-usaha saya bersama rakan-rakan dalam Pakatan ini ibarat, sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Semakin hari ia akan membuahkan hasil yang lebih positif dari sekarang. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.