KOTA BHARU, 25 Sept: Dewan Pemuda PAS Kelantan menyokong gesaan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin agar kerajaan pusat meminda perlembagaan bagi membolehkan kerajaan Kelantan melaksanakan hudud.
Dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily hari ini, ketua penerangannya Ahmad Fadhli Shaari (gambar) berkata kenyataan Khairy tersebut mempamerkan sikap seorang jauh terbuka dan berani berbanding dengan mana-mana pemimpin yang ada di dalam Umno.
"Kita menyambut baik dan menyifatkan kenyataan Khairy itu mewakili suara Pergerakan Pemuda Umno Malaysia keseluruhannya yang mahukan agar Kelantan diberikan peluang untuk melaksanakan hudud seperti yang telah dibentangkan hampir 20 tahun yang lampau," katanya.
Kenyataan Khairy tersebut dilaporkan di dalam akhbar Mingguan Malaysia, hari ini 25 September 2011 di halaman 11.
"Sekalipun bertentangan dengan pandangan Presidennya (Datuk Seri Najib Razak) sendiri, kami mengharapkan agar Khairy dapat meneruskan desakan ini di peringkat parti dan kerajaan serta tidak tunduk dengan mudah kepada ugutan parti MCA dan Gerakan seperti yang ditunjukkan oleh Presidennya," katanya.
Selain pusat, mereka juga mahu cadangan Khairy itu disambut baik oleh pemuda dan Umno Kelantan demi melihat undang-undang yang berteraskan syariah ini dapat dilaksanakan. |
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.