25 Sept 2011

Karpal mahu mesyuarat khas Pakatan bincang isu hudud

September 24, 2011
KUALA LUMPUR, 24 Sept — DAP menggesa Pakatan Rakyat memanggil mesyuarat tergempar kepimpinan dengan segera bagi menyelesaikan kontroversi berkaitan hukum hudud yang muncul semula awal minggu ini.

Pengerusi Kebangsaan DAP Karpal Singh (gambar) yang sebelum ini secara terbuka mengkritik hasrat kerajaan negeri Kelantan menegaskan, pihaknya akan sentiasa menolak pembentukan negara Islam.
Dipetik Bernama hari ini, Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata, kelewatan menangani isu semasa ini akan menjejaskan keyakinan rakyat ke atas Pakatan Rakyat khususnya di kalangan bukan Islam.
“Mesyuarat tergempar mesti diadakan dengan segera untuk menjelaskan pendirian Pakatan dalam isu ini dan kontroversi ini mesti berakhir,” katanya.
Kelmarin, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau lebih rela jika DAP mahu keluar daripada Pakatan Rakyat jika tidak bersetuju dengan pendiriannya mahu menegakkan hukum hudud dan menubuhkan negara Islam.
Nik Aziz berkata beliau akan tetap dengan pendiriannya untuk menegakkan hukum hudud dan penubuhan negara Islam walaupun mendapat tentangan hebat daripada rakan sekutunya itu.
“Saya tetap dengan Islam kerana benda (perkara) ini wujud pada tahun 1950-an lagi dan bukannya benda baru. Berdialog beberapa kali berdialog dah,” kata beliau.
“Nak jumpa beberapa kali jumpa dah. DAP dah (pernah) keluar sekali dah, pada masa (gabungan pembangkang dalam) Angkatan Perpaduan Ummah (APU), saya kata ‘bye-bye’ tak apa.
“Sekarang dia (DAP) masuk balik... itu dia (DAP) punya pasallah (jika DAP mahu keluar),” kata beliau mengulas kenyataan Karpal bahawa parti itu tetap menolak penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud kerana ia bertentangan sama sekali dengan Perlembagaan Persekutuan.
Pada hari yang sama Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim secara peribadi menyokong pelaksanaan hukum hudud, tetapi katanya ia belum dibincangkan oleh Pakatan Rakyat.
Hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan tidak akan memberi ‘kebenaran’ kepada kerajaan negeri Kelantan melaksanakan hudud.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.