KUALA LUMPUR, 1 Dis: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menggesa agar Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengubah tempat pengundian bagi anggota polis dan tentera ke tempat awam.
Mahfuz memperlihatkan pemindahan tempat pengundian undi awal itu sangat penting kerana ia dapat mengelak berlakunya tekanan kepada anggota tentera dan polis yang mengundi.
"Saya menggesa perubahan tempat pengundian bagi undi awal diubah dari kawasan disiplin tentera atau balai polis dilakukan di kawasan sekolah seperti apa yang dilakukan oleh pengundi awam biasa.
"Perkara ini penting kerana ia dapat mengelakkan tekanan ataupun ketakutan kepada anggota tentera serta polis yang ingin membuang undi yang merasakan ada pegawai sedang memerhati mereka membuang undi.
"Kebebasan perlu diberikan kepada para undi awal dan kita mahukan keselesaan kepada mereka untuk mereka membuang undi dan cara ini dapat menjadikan mereka melaksanakan tanggungjawab dengan ikhlas," jelasnya yang juga Naib Presiden PAS.
Beliau ketika membahas laporan Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) berhubung syor penambahbaikan proses pilihanraya, berkata apa yang dicadangkan itu tidak satu pun dilihat mengikat kerajaan dalam perlaksanaannya.
"Cadangan yang baik telah dikemukakan oleh PSC tetapi bagaimana kita ingin memastikan SPR dan juga agensi terbabit mematuhi syor yang dicadangkan.
"Dalam pada itu apa yang saya lihat syor-syor yang dicadangkan itu tidak mengikat langsung kerajaan untuk melakukannya seperti tempoh masa perlaksanaan malah bila cadangan perlaksanaan.
"Saya melihat seolah-olah tiada kesungguhan dari kerajaan untuk melaksanakannya dan saya tidak mahu pembaziran berlaku seperti mana cadangan yang dibuat oleh Suruhanjaya Diraja sebelum ini, tiada perlaksanaan tetapi wang habis dibelanja dan ini satu pembaziran.
"Saya mahu pada penghujung perbahasan ini akan ada satu ikatan yang dibuat oleh Parlimen agar ia menjadi tanggungjawab kerajaan serta SPR untuk melaksanakannya," ujarnya lagi.
Dalam pada itu Mahfuz juga mahu wujud ketelusan media diwujudkan dengan mewujudkan satu stesen televisyen khas untuk setiap kali pilihanraya yang dikendalikan terus oleh SPR.
"Wujud media yang telus dengan menyediakan media khas bagi membolehkan parti-parti yang bertanding dapat menyampaikan maklumat mereka kepada rakyat dan ia secara tidak langsung mewujudkan keadilan dalam media," kata beliau lagi. |
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.