30 NOVEMBER – Secara peribadinya, penulis tidak terasa akan sakit hatinya terhadap kelulusan melaksanakan rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 (APA).
APA dilihat bakal membuka lagi lembaran baru betapa tidak demokratiknya Malaysia sebagai sebuah negara merdeka.
Beberapa pimpinan utama UMNO-Barisan Nasional yang terkenal dengan sifat takut terhadap suara rakyat telah mencipta satu lagi masalah kepada diri sendiri dengan mengambil langkah “gila” yang menghadiahkan rakyat Malaysia dengan APA.
Dalam pada itu, sudah tentu, kumpulan pertubuhan bukan kerajaan yang bersifat ultra perkauman seperti Perkasa dan sebagainya terlonjak gembira. Tersenyum puas akan perjuangan mereka menentang hak asasi manusia dan kebebasan.
Ironinya mereka juga mengambil langkah protes jalanan untuk menentang perhimpunan aman. Memang itu petanda kekeliruan minda yang ada dalam benak mereka yang bencikan demokrasi.
Ada duit, semua jalan
Ini boleh dilihat di mana-mana perhimpunan anjuran kumpulan-kumpulan anti-demokrasi sebelum ini yang mana kebanyakan peserta mereka terdiri dari orang-orang yang dibayar dan diupah.
Harganya juga tidak begitu mahal. Sekadar beberapa puluh ringgit, sehelai t-shirt dan disediakan kain rentang serta sepanduk.
Yang menjadi mangsa bagi meramaikan perhimpunan mereka ialah golongan muda yang tertekan dengan masalah pendidikan, ekonomi dan sosial.
Mungkin di lubuk hati mereka, anak-anak muda ini mengharapkan kehidupan yang lebih aman dari membuang masa menjerit memaki hamun musuh kepada tuan punya penganjur mereka.
Tidak hairanlah ketika perhimpunan aman menuju Parlimen di ibu kota semalam anjuran beberapa pertubuhan termasuk Majlis Peguam, dan beberapa aktivis muda dan rakyat Malaysia prihatin untuk menentang penggubalan APA, dilihat lebih bersemangat berbanding kumpulan ultra kaum tersebut.
Manakan tidak, tidak sampai beberapa minit selepas berarak dari Taman Tasik Perdana, kumpulan ultra kaum sudah ‘pancit,’ dan terpaksa berteduh di bawah rimbunan pokok di hadapan Parlimen.
Manakala mereka yang menentang APA terus bersemangat termasuk para peguam yang menahan kepanasan dengan pakaian rasmi guaman mereka. Itulah beza antara iltizam mempertahankan kebenaran dan hadir apabila dibayar atau sekadar menyertai kawan-kawan untuk mengisi masa yang terluang.
APA nak ke mana?
Apa-apa pun, selepas pegumuman kelulusan APA, yang pasti majoriti masyarakat Malaysia yang mempunyai rasa tanggungjawab tinggi kepada negara terpaksa meratapi APA – akan berterusan melontarkan protes terhadap undang-undang keji itu.
Mengikut rekod – semenjak Reformasi 1998 sehingga Bersih 2.0 lalu – golongan ini adalah yang terdahulu dan terkedepan, tanpa penat lelah untuk acap kali menyuarakan suara mereka, walau dibelasah teruk anggota penguasa, dihumban di bawah akta keji dan kejam ISA, dan sebagainya.
Berbanding “demonstran berbayar”, apalah sangat peluh mereka berbanding harapan yang dinantikan demonstran sukarelawan ini.
Pernahkah BN ambil yang jernih, buang yang keruh?
Ketika membahaskan tentangan terhadap akta kejam dan mencabuli hak kebebasan manusia sedunia itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menjelaskan bahawa segala Program Transformasi Politik yang diwarwarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hanyalah satu lagi penipuan semata-mata.
Jelas Guan Eng, APA hanya mengambil petikan-petikan berbunyi merdu dari undang-undang negara demokratik seperti di United Kingdom.
“Sebaliknya apa yang baik (dari undang-undang negara demokratik itu) tidak diikuti… APA telah mengambil yang keruh, dan buang yang jernih pula,” katanya.
Yang dijelaskan Ketua Menteri Pulau Pinang itu adalah salah satu dari ratusan aduan dan kutukan rakyat awam Malaysia di laman-laman maya.
Mengapa tidak sakit hati?
Alasan kenapa penulis tidak terasa dan sakit hati terhadap APA yang kejam ini ialah kerana di lubuk hati, bagaimana kejam sekali pun pemerintah, akan ada rakyat Malaysia prihatin (dan sudah tentu ia akan bercambah dan bertambah) yang akan berterusan berjuang mempertahankan Malaysia dari kerosakan yang mengikut acuan UMNO-BN.
Rakyat Malaysia yang rata-ratanya konservatif dan “tak mau buat hal’ kini semakin ditekan. Jika rakyat benar-benar bangkit, ia adalah masalah ciptaan UMNO-BN sendiri.
Yang jelas sebenarnya di sini, ia menunjukkan lagi bahawa UMNO-BN yang asal sudah terkubur, yang hidup cumalah bayang-bayang masa lampaunya.
Dalam bahasa yang lebih sesuai untuk mereka yang menghina sifat manusiawi dan hak asasi manusia sejagat – mereka yang semakin bersikap diktator ini tidak lebih daripada biawak hidup, hidup serupa tidak hidup. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.