1 December 2011
Boleh saudara ceritakan tentang bagaimana mula minat berpolitik?
Saya rasa minat dalam politik ini dari dulu sebab keluarga pun banyak berada dalam lingkungan politik. Bapa saya bersara daripada jawatan menteri tahun 1974 tapi selepas itu dia menjadi duta. Jadi dalam tahun 1970-an itu dia dah bersara masa saya lahir dan masa saya membesar dia dah tak aktif politik walau pun dia masih menjadi ahli UMNO.
Tapi pada 1987 di mana UMNO sudah berpecah menjadi Team A, Team B, bapa saya yang memang pengikut Tunku Abdul Rahman yang setia, dia ikut dengan Tunku dan Tengku Razaleigh Hamzah. Bapa saya tak pernah masuk UMNO Baru yang telah ditubuhkan oleh Dr Mahathir Mohamad. Bagi dia, UMNO yang ditubuhkan oleh Dr Mahathir bukan parti yang sama dengan UMNO yang ditubuhkan pada tahun 1946.
Saya pula, setelah menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam Informations Systems Engineering, saya berasa bosan kerana hari-hari kena menghadap komputer. Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk mempelajari perkara yang saya minat, iaitu politik. Jadi saya ambil kursus politik peringkat Sarjana di London, dan saya buat minor dalam politik Asia Tenggara.
Saya kembali ke Malaysia akhir tahun 2006 dan sebulan selepas saya balik, bapa saya meninggal. Saya sedih kerana dia tiada lagi. Minat politik saya ketepikan dahulu, saya buat bisnes. Saya mulakan bisnes membuat coklat dengan kawan-kawan saya. Yang menariknya, politik tetap datang kepada saya. Setahun selepas mulakan bisnes, banyak juga pekara yang berlaku di negara kita. Ada perhimpunan aman Bersih, perhimpunan aman Hindraf, kemudian datang pula pilihan raya umum 2008. Saya mengundi buat kali kedua selepas melaksanakan tanggungjawab saya buat kali pertama dalam PRU 2004.
Masa tu saya mengundi di Segambut dan saya ingat lagi sebab saya tengok keputusan 2004, Barisan Nasional menang dengan majoriti 17,000 undi di situ. Jadi saya ingat satu undi saya ini tidak bermakna. Tapi DAP menang dengan majoriti 7,000 lebih undi. Saya terkejut. Masa itu saya rasa semua orang di Malaysia pun terkejut.
Sebelum itu kita tahu apa yang perlu diubah di negara kita, cuma kita tak percaya ia mampu dilakukan. Kita tahu apa yang salah, kerajaan pun sudah 50 lebih tahun memerintah, dan ini memang pekara biasa, mana-mana parti pun, mana-mana pemimpin di mana-mana negara, kalau dah terlampau lama memerintah, akan jadi korup, akan jadi rasuah. Bila mereka tahu tak kan kalah, atau pun mustahil hilang kuasa, mereka akan buat sesuka hati.
Jadi keputusan PRU 2008 memberi harapan, bukan sahaja untuk saya tapi saya rasa untuk semua orang. Ini kerana sewaktu ‘Reformasi’, saya di tingkatan 3 atau pun tingkatan 4, tapi bila kita lihat keputusan PRU 1999, tidak banyak yang berubah. Jadi kita pun rasa macam nothing much., Malaysia ini tak kan ubah, sama saja sampai bila-bila. Tapi bila dah tsunami politik 2008 berlaku, kita pun rasa memang boleh, ada peluang, ada harapan perkara tersebut akan berlaku di negara kita.
Masa itu saya tengah buat bisnes tapi mula celik politik, minat pun dah lebih, lagi banyak baca, lagi banyak cakap dengan orang, tengok ini tengok itu, tengok youtube, baca berita online, apabila datang tahun 2009, saya pun mula fikirlah macam mana menceburi dalam bidang politik. Saya mula berjumpa dengan orang-orang yang saya kenal, kawan-kawan lama bapa saya yang dalam UMNO, berbincang dengan mereka. tanya pendapat mereka tentang UMNO.
Maka mereka pun kongsi pendapat dengan saya. Mereka kata sekarang banyak orang masuk UMNO sebab mahu projek, bukan nak berjuang untuk sesiapa pun, dia berjuang untuk diri sendiri dulu. Dan lagi satu yang mereka beritahu saya, anak muda memang tiada harapan dalam UMNO. Mereka tanyakan pada saya soalan yang mudah, berapa pemimpin muda yang boleh awak namakan dalam UMNO.
Jadi,mereka berkata, UMNO dulu dengan UMNO sekarang dah lain, demografik pun dah lain. Masa ibu bapa saya, asas UMNO ialah guru. Bapa saya pun bekas cikgu. Jadi bila cikgu- cikgu masuk berpolitik, dia bukan niat untuk cari duit. Tetapi asas UMNO pada hari ini ialah paling kurang, kontraktor kelas F dan bisnes. Parti dah jadi alat untuk mendapat projek, mendapat habuan. Ini telah berlaku mulai tahun 1980-an, dan apa yang telah berlaku adalah UMNO menjadi tempat untuk mengagihkan projek. Ia menjadi satu sistem yang entrenched, satu rent seeking model di mana pengagihan habuan itu dikuasai oleh ketua-ketua UMNO dalam kawasan masing masing.
Jadi kalau kita nak bandingkan, kita lihat, DAP, PKR, PAS, bila kita buat majlis, kita pula minta sumbangan dari orang awam. Fungsi UMNO pula, dia yang kena bagi duit. Kalau tak, tiada orang yang datang ke majlisnya.
Selepas PRU 2008 dan setelah berbincang dengan beberapa kawan bapa saudara yang masih dalam UMNO, bagaimanakah timbul hasrat menyertai DAP?
Salah satu pesanan dari kawan-kawan bapa saya yang diberi pada saya ialah, kalau awak mahu berpolitik, di mana awak nak aktif? Saya kata saya orang Pulau Pinang, banyak kawan di sana, saya rasa selesa di Pulau Pinang. Jadi walau pun bisnis saya di Kuala Lumpur, saya sering ke Pulau Pinang, jumpa kawan-kawan lama. Selepas itu saya dapat tahu kawan-kawan lama saya kat di sana ramai masuk DAP dan PKR. Tiada seorang pun yang masuk UMNO.
Saya pergi mendengar ceramah DAP, ceramah PKR, jumpa Datuk Seri Anwar Ibrahim, jumpa Lim Guan Eng dan selepas itu saya diperkenalkan dengan Ahli Parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong. Dan dari situ saya lihat saya boleh menjalin hubungan yang rapat dengan Chin Tong. Dan saya suka apa yang saya lihat dalam Chin Tong itu, seorang anak muda, bayanya cuma lebih beberapa tahun dari saya. Lepas tu saya lihat, wah, dia ada suara dalam parti. Walau pun dalam usia muda, dia diberi peluang berkhidmat kepada rakyat, untuk meluahkan pendapat di hadapan pemimpin yang jauh lebih dewasa dan berpengalaman, tak ada kongkongan kepada anak muda yang ada intelek, yang ada idea.
Daripada persahabatan saya dengan Chin Tong, membuatkan saya ingin memilih sama ada DAP atau PKR. Di Shah Alam, saya jumpa Rafizi Ramli, kami bincang banyak hal. Mereka ini lebih kurang sama umur dengan saya, ada idea, ada peluang untuk bersuara dalam parti. Itu yang penting.
Saya ingat apa yang dikatakan oleh kawan bapa saya dulu bahawa dalam UMNO, anak muda bukan sahaja tak ada peluang untuk berkembang dalam parti, nak bersuara pun susah. Sayap pemuda dilayan seperti anak-anak kecil. Memang betul apa dia yang dia kata. Dalam Pakatan Rakyat. Anak muda ada banyak peluang untuk mengemukakan idea. Pernah saya jumpa seorang Ahli Parlimen UMNO yang berumur awal 40-an yang memberitahu saya, walau pun dia anak seorang pemimpin UMNO yang hebat dan dia sangat aktif di bahagiannya sejak muda, dia hanya diberi peluang setelah 15 tahun. Dia kata dalam UMNO, yang penting ialah hirarki. Parti itu tak pandang kebolehan atau kemahiran.
Jadi saya rasa dalam soal menarik anak muda, parti-parti Pakatan jauh lebih berjaya. Kerana itu saya memilih DAP. Bukan sahaja kerana peluang bersuara dan menyusun organisasi tetapi juga kerana ia lebih serasi dengan pendirian politik saya. Saya rasa ia bukan keputusan yang susah atau pun sukar untuk saya masuk DAP.
Sebagai Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP, saudara juga berkampung di Pulau Pinang, selaras dengan jawatan Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri. Apakah yang perubahan yang telah dan sedang berlaku di Pulau Pinang di bawah kerajaan Pakatan Rakyat?
Memang ada banyak perubahan. Bajet Pulau Pinang 2012 telah mengumumkan bahawa selepas tiga tahun setengah mentadbir Pulau Pinang, hutang kerajaan negeri yang diwarisi dari BN, iaitu RM632 juta pada Mac 2008, sudah berjaya dikurangkan sehingga menjadi RM26 juta sahaja sekarang. Jadi ini pengurangan 95 peratus! Ini memang hebat jika dibandingkan dengan mana-mana negeri di Malaysia. Ada banyak program sosial yang kita buat di Pulau Pinang, membantu warga emas, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, pelajar-pelajar sekolah dan sebagainya yang tidak pernah dibuat oleh kerajaan terdahulu.
Ini semua yang kita nampak. Yang kita tak nampak, dan yang paling penting dalam membawa perubahan, ialah cara berkerja dan etika kerja kebanyakan pegawai dan kakitangan awam kerajaan negeri. Merekca cukup puas hari dengan pentadboiran kita yang telah memberi peluang dan penghargaan kepada orang yang benar-benar berkerja keras dan berkebolehan.
Maksudnya berdasarkan merit?
Ya, berdasarkan merit. Kerajaan Pakatan telah melantik wanita sebagai Yang Dipertua majlis perbandaran yang pertama di Malaysia, Bukan seorang, malah dua! Kedua-dua majlis perbandaran di Pulau Pinang kini diterajui oleh wanita Melayu. Kenapa mereka dilantik? Sebab memang mereka berkebolehan, mereka rajin dan berupaya. Saya sendiri sudah banyak kali melihat mereka berada di pejabat pada hari Ahad. Itulah dedikasi kaum wanita.
Kalau ikut sistem BN dulu, mungkin mereka tak kan naik pangkat. Mungkin sebab mereka tak pandai bodek atau apa. Tapi bagi kita, bodek kita tolak. Kita lihat yang siapa yang bekerja dengan baik, itu yang dinaikkan pangkat, diberi kenaikan gaji dan sebagainya. Jadi kita menginstitusikan etika kerja yang efisyen. Jadi bila kita kata kita mahu urus tadbir yang cekap, akauntabel, dan telus (CAT) memang kita mempraktikannya dalam sistem kerajaan negeri.
Sejak diperkenalkan sistem CAT, adakah terdapat rintangan daripada budaya kerja yang lama, jadi ada masalah tak?
Mula-mula memang ada. Saya difahamkan, apabila Pakatan mula mengambil alih, ramai kakitangan awam risau. Tapi setelah melihat urus tadbir yang diperkenalkan memberi banyak faedah kepada mereka, kesannya pentadbiran menjadi lancer. Kita lihat sebagai contoh, pekerja-pekerja am perbandaran seperti pencuci pencuci longkang yang sudah bertahun-tahun bekerja. Selepas tahun 2008, Pulau Pinang menjadi semakin bersih. Kenapa? Sebab kerajaan Pakatan bagi pengiktirafan, bagi ganjaran, sekarang mereka diberi elaun tambahan RM150.
Dan siapa yang bekerja dengan cemerlang, diberi pingat pula. Pencuci longkang pun dapat pingat daripada kerajaan negeri. Tak pernah terbayang! Jadi sebab itu, mereka boleh lihat sendiri, boleh rasa sendiri bahawa sesiapa yang mengamalkan budaya kerja yang bagus, etika kerja yang bagus, dia akan mendapat ganjaran dan penghargaan.
Mungkinkah model budaya kerja ini dapat dikembangkan kepada negeri-negeri lain?
Saya rasa memang itu matlamat kita, untuk membina satu model pentadbiran sebagai kerajaan contoh untuk rakyat Malaysia. Ini penting untuk meyakinkan rakyat bahawa jika Pakatan Rakyat memerintah negara, inilah cara baru, budaya baru yang akan dilaksanakan dalam sistem pentadbiran kerajaan. Saya rasa kalau kita bandingkan sekarang pun, kerajaan Pakatan Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor dalam Laporan Audit Negara yang dikeluarkan baru-baru ini, sudah terang bahawa semua kerajaan negeri Pakatan menunjukkan prestasi yang lebih baik daripada negeri-negeri BN.
Selangor contohnya telah berjaya menjimatkan perbelanjaan operasi sebanyak RM380 juta dan menaikan rizab negeri lebih RM1 bilion. Selangor memang negeri yang kaya dan patut pun ia kekayaan itu dikongsi bersama rakyat. Dulu zaman BN dibelanjawan digunakan dengan sewenang-wenangnya. Jadi di Pulau Pinang pun sama. Tiap tiap tahun kita ada lebihan belanjawan.
Baru-baru ini ada peimpin UMNO kutuk lebihan belanjawan kita, mereka kata kita tak berbelanja sebab itu terdapat lebihan. Sebenarnya bukan begitu. Memang kita berbelanja untuk kepentingan rakyat. Yang menjadi lebihan itu adalah kerana hasil telah kita tingkatkan. Hasil boleh ditingkatkan kerana tidak ada lagi kebocoran, ketirisan dan rasuah di Pulau Pinang.
Jadi sejak mengambil alih pentadbiran negeri, kita tak pernah ada defisit. Tak pernah ada hutang. Malah hutang lama RM630 juta dah dikurangkan menjadi RM29 juta. Lihat masalah ekonomi dunia, ia disebakan masalah hutang. Di Eropah, Sepanyol, Itali, Ireland, Portugal, semua macam nak bankrap kan? Greece sudah pun bankrap kerana terlalu banyak hutang.
Kalau kita tak jaga, nanti Malaysia juga akan bankrap. Sekarang ini hutang negara pun sudah RM456 billon sedangkan empat tahun dulu, hutang hanya RM207 bilion. Jadi sudah digandakan oleh kerajaan pusat BN. Urus tadbir PR pula, hutang dikurangkan. Jadi ini satu perbezaan besar untuk rakyat Malaysia. Jadi itu yang kita warwar kan. Itu menjadi tawaran kita kepada rakyat Malaysia.
Bagaimana penerimaan orang Melayu terhadap DAP sejak 2008?
Walau pun terdapat fitnah dari media seperti Utusan dan TV3 yang asyik memainkan laporan yang langsung tidak bertanggungjawab dan tidak berasas, seperti laporan baru-baru ini tentang anak Lim Guan Eng yang dituduh mencabul pelajar perempuan, ramai orang termasuk orang Melayu tahu itu cuma fitnah besar sesetengah pemimpin UMNO.
Yang sedihnya, walau pun bukti sudah dikeluarkan pelbagai pihak, guru besar, pengetua, Pengarah Pelajaran Negeri, pelajar perempuan yang terbabit sendiri, semuanya telah mengeluarkan kenyataan, telah menafikan berlakunya sesuatu kejadian tersebut, blog-blog UMNO dan akhbar mereka terus memainkan isu tersebut. Saya sedih kerana mereka ini yang mengaku juara kaum dan agama sanggup melakukan perbuatan yang terkutuk itu.
Tiap-tiap hari kerajaan Pulau Pinang menjadi sasaran fitnah. Namun, walau pun berlaku fitnah-fitnah ini, saya rasa orang Melayu Pulau Pinang boleh melihat perbezaan yang berlaku sejak kita mengambil alih dan merasa nikmat program-program yang kita buat seperti menghapuskan kemiskinan tegar di Pulau Pinang.
Bajet kita telah mengumumkan tiada satu pun keluarga di Pulau Pinang yang akan mempunyai pendapatan kurang dari RM600 sebulan. Kalau masih ada, kita akan bantu secepat, kita bagi duit dan kita cari peluang pekerjaan atau apa-apa yang patut untuk meringkankan beban mereka. Itu matlamat kita. Sebelum 2015, kita nak hapuskan sama sekali kemiskinan. Kita berharap untuk menjadikan Pulau Pinang negeri pertama di Malaysia yang mempunyai kemiskinan sifar. Dengan sokongan rakyat, kita yakin dapat mencapai cita-cita murni ini.
Bila Pakatan mengambil alih pentadbiran, kita menginstitusikan sistem tender terbuka. Kita laksanakan CAT. Bila kita buat, pemimpin UMNO kutuk kita, dia kata kalau tender terbuka, kontraktor Melayu akan hancur! Selepas tiga tahun kita melihat keputusannya, lebih 70 peratus kontrak secara open tender dimenangi orang Melayu. Malah, orang Melayu lagi suka sistem ini kerana mereka berupaya mendapat kontrak berdasarkan keupayaan mereka sendiri dan yang paling penting tidak perlu kabel atau apa-apa duit kopi. Ini dikatakan sendiri oleh presiden persatuan kontraktor Melayu Kelas F.
Sistem dulu, kalau nak projek, anda kena jumpa ketua bahagian UMNO. Kalau ada surat sokongan, memang tak kan dapat projek. Sekarang, bukan sahaja tak payah jumpa ketua bahagian UMNO, tak payah jumpa sesiapa pun sebab kita sediakan permohonan secara online. Kita buat e-procurement di laman web e-perolehan. Kalau dah pohon melalui komputer, macam mana nak rasuah? Memang orang bisnis suka, kontraktor suka sistem ini sebab tak perlu bayar orang tengah.
Dengan fitnah yang berlarutan, bagaimana boleh dicerahkan minda masyarakat tentang pembohongan yang bertalu-talu terhadap DAP dan kerajaan negeri Pulau Pinang?
Saya akui ini memang cabaran paling besar bagi kita. Hari-hari ada saja fitnah untuk menghentam DAP. Saya rasa ini memang ‘information war’ yang sukar untuk kita sebab semua media besar dikawal oleh BN. Bukan kita nak kuasai media juga. Kita cuma mahu media yang jujur dan adil sahaja. Tidak ada cara lain kecuali memilih jalan-jalan alternatif. Oleh itu kita harus mempertingkatkan kehadiran melalui media baru sebab walau pun BN mengawal media seperti akhbar, TV dan radio, kita lihat golongan muda di Malaysia, dan dalam bercakap tentang masyarakat Melayu, lebih 75 peratus adalah di bawah umur 40 dan saya rasa golongan ini ada internet. Saya rasa saluran ini kita kena akses mereka sebab tak ada cara lain.
Lagi satu yang kita kena kekalkan ialah cara yang kita laksanakan tugas, iaitu cara CAT di semua peringkat, sama ada dalam kerajaan atau dalam parti, sebab kalau orang lihat kita buat dengan betul, tak rasuah, tak buat jahat, jaga rakyat, akhirnya orang akan lihat kebenaran. Saya lihat masyarakat Malaysia sudah tahu kerajaan BN ini begitu rakus kuasa, dan penyelewengan dan rasuah berleluasa itulah yang mengakibatkan tsunami politik 2008. Dan sampai sekarang mereka belum serik untuk mempermainkan rakyat.
Contoh yang paling baru ialah perhimpunan aman Bersih 2.0. Orang ramai dah tahu dan turun ke padang. Bersih 2.0, salah satu suksesnya ialah ia berjaya menarik minat orang muda di internet, youtube, dan sebagainya. Jadi kita kena fokus kepada media baru sebab tak ada cara lain.
Pesanan saudara untuk orang muda?
Dalam konteks ini saya ingin merujuk kepada Akta Universiti dan Universiti Kolej (AUKU) di mana Mahkamah Rayuan telah mengatakan Seksyen 15 AUKU tidak sah kerana melanggar Perlembagaan. Ini bermaksud para pelajar universiti berhak aktif dalam politik. Pelajar berhak tentukan autonomi dalam kampus. Mahasiswa kita tidak patut dilayan seperti kanak-kanak sekolah rendah. Minda mereka harus bebas. Mengapa tak boleh? Apa salahnya? Saya bagi contoh, bapa saya dulu Menteri Pelajaran, masa itu tiada AUKU. Jadi setiap kali dia datang melawat kampus universiti, ada saja demonstrasi yang dianjurkan oleh mahasiswa tentah hak mereka dan hak rakyat. Yang paling kuat berdemo menentang bapa saya ialah Anwar Ibrahim! Tapi tak mengapa kerana itulah kebebasan yang harus ada kepada mahasiswa.
Tak pernah kerajaan zaman bapa saya dulu terfikir nak masukkan pemimpin pelajar ke dalam penjara, nak gubal undang undang yang menyekat para pelajar untuk akitf dalam politik, menarik kebebasan pelajar. Yang ini semua berlaku setelah bapa saya dipaksa untuk bersara. Saya harap anak muda tidak mudah putus asa untuk menuntut perubahan yang baik untuk semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.