KUALA LUMPUR, 1 Dis: Kerajaan BN didesak menubuhkan suruhanjaya bebas bagi menyiasat dengan terperinci warga negara asing turut didaftarkan sebagai pemilih dalam pilihanraya di negara ini.
Tindakan tersebut dikesan dilakukan dengan terancang oleh pihak-pihak tertentu sehingga menjadikan negara ini berada dalam bahaya apabila masa depan negara berada dalam tangan warganegara asing.
Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub berkata, tindakan tersebut amat dikesali kerana ia jelas memperlihatkan sikap tidak bertanggungjawab pihak-pihak terbabit terhadap negara.
Menurut beliau, tindakan tersebut dilakukan oleh pihak-pihak terbabit bagi mencapai kemenangan dalam pillihanraya untuk terus kekal berkuasa demi keuntungan dalam jangka masa pendek mereka.Katanya, sebagai warganegara, tindakan seperti itu tidak sepatutnya dilakukan, sebaliknya masing-masing mestilah berfikir dan bertindak secara rasional untuk jangka masa panjang demi keselamatan negara.
"Untuk mengatasi masalah itu, perlu ada satu suruhanjaya bebas bagi menyiasat sepenuhnya tentang warganegara asing yang turut didaftarkan sebagai pemilih," katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Ketika berucap membahaskan usul penambahbaikan proses pilihanraya yang dikemukakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Khas Parlimen (PSC), Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili, beliau berkata, penyata yang dikemukakan oleh jawatankuasa itu perlu diterima oleh kerajaan.
Menurutnya, dalam penyata jawatankuasa itu dicadangkan penggunaan dakwat kekal dalam pilihanraya, manakala cadangan itu pula menepati salah satu dari 8 tuntutan Bersih untuk dilaksanakan oleh SPR.
"Cadangan itu jelas menafikan kenyataan SPR dan Perdana Menteri sebelum ini yang mengatakan penggunaan dakwat kekal sebagai kolot dan tidak sesuai dilaksanakan dalam pilihanraya," katanya yang juga Naib Prtesiden PAS.
Sejajar dengan perkembangan masa, beliau turut mendesak kerajaan menerima sistem dua parti untuk dilaksanakan di negara ini.
Beliau juga mendesak kerajaan mengamalkan kebebasan media di negara ini bagi kepentingan rakyat, setelah Kerajaan BN sekian lama membelenggu pemikiran orang ramai dengan ketidakadilannya terhadap laporan-laporan media.
"Suara generasi muda mesti didengar oleh kerajaan. Kita harap media dalam pilihanraya umum ini bebas dan tidak lagi dibelenggu dengan tindakan yang tidak sepatutnya oleh kerajaan," tambahnya.
PAS dan Pakatan Rakyat, tegasnya, boleh menerima kekalahan dalam pilihanraya sekiranya itulah yang dipilih oleh rakyat, dengan syarat kerajaan tidak menyekat kebebasan media dan pilihanraya dilaksanakan dengan bersih dan adil.
Beliau menyarankan kerajaan turut mencontohi sebahagian langkah yang telah dilakukan oleh kerajaan Singapura berhubung perkara itu, sehingga menjadikan pilihanraya terbaru di republik itu lebih baik berbanding sebelumnya. |
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.