KUALA LUMPUR, 20 Sept: Datuk Seri Najib Razak dipercayai cuba menunjukkan kepada Umno dan Kabinet Malaysia bahawa dia adalah bos ketika mengumumkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) baru-baru ini.
Ini kerana, reaksi dari pihak Umno dan Kabinet mengesahkan dakwaan bahawa mereka tidak dirujuk dan perbincangan serta keputusan dibuat oleh beberapa 'inner circle'(kumpulan terdekat).
Demikian analisa yang dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS (PPP), Dr Dzulkefly Ahmad yang juga anggota Parlimen Kuala Selangor.
"Bagi saya, dia membuat pengumuman ini atas keputusan dirinya sendiri dan para penasihatnya sahaja bukan berbincang dengan rakan-rakan beliau bahkan mungkin menganggap timbalannya, Tan Sri Muhyidin dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamudin adalah liabliti dalam beberepa insiden mutakhir," kata beliau.
Menurut Dr Dzulkefly, nampak ketara sangat perbezaan itu sebaik sahaja ia dikemukakan oleh Najib ketika memberikan ucapan menjelang Hari Malaysia malam 16 September lepas.
"Timbalan beliau sendiri, Tan Sri Muhyidin hanya memberikan sokongan selepas dua hari ia dibentang Najib...nampak ada yang tak kena kerana terlalu lambat menyatakan sokongan kepada bos," kata beliau kepada Harakahdaily.
Hari ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamudin Husein mengakui, Umno terpaksa memberikan penerangan kepada semua ahli-ahlinya bagi menerangkan pemansuhan ini.
Pengumuman Najib menghapuskan ISA juga dilihat mendapat tentangan dari Umno dan juga sayap kanannya, Perkasa.
Bagi Dr Dzulkefly, apa yang dibuat oleh Najib adalah cubaan untuk pergi 'ke tengah' bagi mendapat kembali sokongan Cina dan India selepas kajian menunjukkan sokongan terhadap beliau merudum teruk dari 72 peratus kepada 59 peratus baru-baru ini.
Namun, kata beliau, dia dihalang dan tidak dipersetujui oleh timbalan beliau sendiri, Muhyidin dan 'warlords' dalam Umno.
"Ketika Najib lancarkan 1 Malaysia, Muhyidin kata, dia Melayu dahulu baru Malaysia.
"Ketika dia mahu mengenepikan Dasar Ekonomi Baru (DEB), untuk digantikan dengan dasar yang lebih liberal dan tender terbuka, dia dimarahi lagi oleh Muhyidin dan juga bekas PM, Tun Dr Mahathir...sejak itu Model Ekonomi Baru (NEM) tenggelam dan NEAC pun dah dibubarkan.
"Ketika Najib memberikan kebenaran kepada Bersih 2.0 untuk berhimpun di Stadium, ia dibantah oleh Hishamudin sendiri dan akhirnya beliau dilihat sebagai pemimpin yang flip flop.
"Semua ini menunjukkan apa yang dibuat Najib tidak disepakati dalam Umno dan Kabinet tetapi dinasihatkan oleh penasihat beliau sahaja," kata Dr Dzulkefly (gambar) yang juga AJK PAS Pusat.
Sejak kebelakangan ini, kesangsian ini semakin ketara ekoran peranan yang terlalu besar yang dimainkan oleh para penasihat dan konsultan Najib melalui Pemandu.
Pemandu pula dipimpin oleh dua Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dan Datuk Dr Koh Tsu Koon di samping nasihat dari penasihat luar termasuk Apco.
Di bawah mereka dan pegawai Tingkat 4, Jabatan Perdana Menterilah terletaknya para penasihat Oxbridge ini yang tidak sensitif dengan perjuangan Melayu yang dikepalai oleh Muhyidin dan di sokong kuat oleh Mahathir dan Perkasa.
Mereka telah mengenepikan peranan pegawai kanan kerajaan yang hampir kesemuanya berbangsa Melayu yang berperanan besar selama ini melalui Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit Perancangan dan Koordinasi (ICU) Jabatan Perdana Menteri.
"Saya yakin, merekalah yang terlibat dalam perancangan untuk memansuhkan ISA kononnya untuk bergerak ke tengah dan menyebabkan Najib mengenepikan peranan rakan-rakannya dalam Umno dan Kabinet," Dr Dzulkefly memberikan analisanya.
Akibat dari pertentangan ini, kata beliau, akan ada gangguan yang jelas dari segi pelaksanaan pemansuhan ini nanti dan jika tidak terkawal akta ganti yang bakal digubal nanti akan lebih zalim dari ISA.
"Dalam hal ini, Najib nampaknya nekad. Hishamudin sebelum itu berkata, ISA tidak akan dimansuh tetapi pinda sahaja. Muhyidin pula kata, ia tindakan yang betul selepas dua hari pengumuman. Mahathir pula kata, ISA tidaklah kejam sangat.
"Semacam kabinet pun tak tahu apa yang Najib umumkan itu," kata beliau.
Kini selepas pengumuman itu dibuat, Najib pula semacam tidak bersedia untuk menjadi negarawan apabila berkata, ia bukan kejayaan desakan rakyat tetapi kebaikan Barisan Nasional (BN) memahami rakyat sahaja.
"Beliau sebenarnya hanya mengambil kira kepentingan politik ketika membuat pengumuman ini bukannya mahu mengembangkan minda rakyat.
"Kalau dia pentingkan perkembangan minda rakyat, dia akan utamakan pemansuhan-pindaan ke atas Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Universiti dan kolej (AUKU), di samping ISA" kata Dr Dzulkefly lagi.
Beliau juga turut berkongsi kebimbangan dengan seorang pensyarah undang-undang bahawa pengumuman ini memberikan implikasi besar kepada pelaksanaan undang-undang di negara ini.
Apa pun cadangan ini mesti melepasi perbahasan di peringkat Dewan Rakyat dan Negara.
Yang penting kata beliau lagi, Najib telah mendapat habuan politik sebelum PRU ke-13.
Tidak ada jaminan bahawa dia tak akan flip-flop lagi walaupun dia berjaya membuktikan bahawa dialah bos hari ini, tegas beliau.
|
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.