Parlimen Malaysia akan kembali bersidang mulai 3 Oktober 2011 sehingga 1 Disember 2011. Seperti biasa sidang Parlimen kali ini akan menjadi tumpuan khasnya kerana Menteri Kewangan Malaysia merangkap Perdana Menteri akan membentangkan Belanjawan 2012. Dalam keasyikan rakyat ternanti-nanti dan tertunggu-tunggu apakah bentuk Belanjawan yang akan dibentangkan nanti, suatu pihak yang lain tidak boleh leka dan alpa dengan nasib mereka. Pihak yang dimaksudkan ini ialah para pemilik dan pewaris tanah Kg. Bharu Kuala Lumpur.
Sidang Parlimen kali ini merupakan sidang keempat di mana Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kg. Bharu 2010 (RUU PPKB 2010) hendak dibahaskan dan diluluskan di Dewan Rakyat. Bermula niat Kerajaan melalui Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB) membentangkan RUU PPKB 2010 untuk bacaan kali pertama pada sidang Disember 2010 hingga sidang Oktober nanti, RUU PPKB 2010 ini menjadi gunting dalam lipatan kepada para pemilik dan pewaris tanah Kg. Bharu. Mereka sentiasa dalam dilema atas status tanah mereka samada akan diambil alih oleh Kerajaan atas tujuan pembangunan semula atau sebaliknya.

Antaranya Keanggotaan Perbadanan yang semuanya dilantik oleh Menteri. Majlis Penasihat yang ditubuhkan juga tidak mempunyai sebarang kuasa kerana nasihat Majlis ini tidak mengikat Perbadanan. Malah anggota Majlis Penasihat juga adalah lantikan Menteri. Kuasa Perbadanan yang tidak terhad sehinggakan tidak boleh dicabar di mana-mana Mahkamah. Yang paling tidak dapat diterima ialah pembubaran Enakmen Tanah Pertanian Melayu atau Malay Agricultural Settlement Rules 1950
Ekoran tentangan hebat tersebut, cadangan bacaan kali kedua pada sidang Parlimen Mac 2011 telah ditangguh ke sidang Jun 2011. Dalam masa yang sama Kementerian telah cuba berlembut dengan memberikan pelbagai kata-kata dan janji manis kepada para pemilik dan pewaris tanah. RUU PPKB 2010 yang asal yang dibentangkan telah ditolak oleh para pemilik dan pewaris tanah. Mereka dengan jelas mengambil tindakan menolak RUU PPKB 2010 tersebut dengan menaikkan kain-kain rentang menyatakan hasrat hati mereka. Hasilnya Kementerian terpaksa memanggil NGO-NGO yang berkepentingan untuk mengolah semula RUU PPKB 2010 untuk disesuaikan dengan hasrat para pemilik dan pewaris tanah. Hasilnya Kementerian telah mengeluarkan suatu deraf pindaan kepada RUU PPKB 2010.

Keanggotaan Perbadanan masih atas lantikan penuh Menteri. Perbadanan juga masih bertanggungjawab kepada Menteri. Akta Pengambilan Tanah 1960 masih boleh digunapakai dalam proses pengambilan tanah. Nasihat Majlis Penasihat hanya akan diambilkira jika bersesuaian. Malah cadangan pindaan tersebut juga menimbulkan lebih banyak persoalan daripada penambahbaikan. Peruntukkan pembubaran Lembaga Pentadbiran MAS dan enakmen Mas dicadangkan ditarikbalik. Cadangan ini jelas akan menimbulkan konflik di Kg. Bharu kerana akan mewujudkan dua entiti pentadbiran yang mempunyai fungsi yang sama. Kenapa perlu Perbadanan jika Lembaga Pentadbiran MAS mempunyai kuasa yang sama malah sudah berpengalaman mentadbir Kg. Bharu selama 111 tahun?
Jun 2011 Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Lembaga MAS dan NGO-NGO telah mengadakan siri penerangan kepada para pemilik dan pewaris tanah berkaitan cadangan pindaan tersebut. Dalam program-program penerangan tersebut juga, Kementerian telah mengedarkan "borang" yang kononnya akan dijadikan "referendum rakyat" yang akan menentukan samada RUU PPKB 2010 akan diteruskan atau sebaliknya. Menteri Wilayah Persekutuan, Senator Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin juga dengan konsisten menyatakan pada 11 Jun 2011 selepas Persidangan Perwakilan UMNO Titiwangsa bahawa hasil referendum tersebut akan menjadi penanda aras samada RUU PPKB 2010 akan diteruskan atau sebaliknya. Hasil referendum akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk keputusan seterusnya. Setiausaha Lembaga Pentadbiran MAS, Shamsuri Suradi juga menyatakan hal yang sama malah memaklumkan bahawa sehingga akhir Jun 2011 hanya sekitar 30% borang referendum yang diterima daripada pemilik dan pewaris tanah. 30% tersebut tidak dinyatakan setuju atau membantah.

Kg. Bharu Kuala Lumpur merupakan satu-satunya tanah milik orang Melayu di tengah kepesatan segitiga emas Kuala Lumpur. Para pemilik dan pewaris tanah tidak menolak pembangunan tanah mereka tetapi setiap perancangan dan pembangunan hendaklah mengambilkira hak dan kepentingan mereka bukannya orang lain. Mereka mahu hak mereka sebagai pemilik dan pewaris tanah tersebut dipertahankan.
Cuba bandingkan kejadian di Jalan Sultan dengan cadangan pembangunan Kg. Bharu. Jelas terdapat dua layanan berbeza ke atas rakyat berkepentingan. Atas desakan dan bantahan segolongan di sana (Jalan Sultan) Kerajaan berlembut dan mengundur setapak tetapi atas desakan dan bantahan di sini (Kg. Bharu) Kerajaan tidak endah! DI SANA PERTAHAN DI SINI REMBAT!
*Zulhazmi Shariff ialah Penasihat Undang-Undang, Sekretariat Pembangunan Kg. Bharu, Pusat Khidmat wakil Rakyat Parlimen P119 Titiwangsa.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.