Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menganggap kenyataan Perdana Menteri bahawa pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) boleh menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi terbaik di dunia adalah sebagai kenyataan yang tidak realistik dan tidak berpijak di bumi nyata.

Jika benar Perdana Menteri berhasrat menjadikan Malaysia sebagai negara demokrasi terbaik, banyak perkara yang perlu diubah dalam negara ini. Selain ISA, Akta Rahsia Rasmi (OSA), Ordinan Darurat (EO), Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta lain-lain lagi perlu dinilai kembali keberkesanannya. Ini kerana akta-akta ini sudah tidak relevan lagi untuk dilaksanakan ketika ini.

Perdana Menteri (gambar kiri) juga perlu membebaskan kongkongan parti pemerintah terhadap media utama di negara ini. Rakyat melihat media di negara ini pada hari ini sebagai agensi yang terpenjara dengan berita dan maklumat yang bersifat berat sebelah semata-mata. Saban hari yang menjadi mangsa serangan bertali arus media adalah PAS dan Pakatan Rakyat sementara yang dipuja dan suci dari sebarang dosa adalah pemimpin UMNO-BN. Bagi mereka yang celik maklumat, berita daripada media arus perdana sangat memualkan.
Akhir sekali Perdana Menteri juga perlu memberi komitmen untuk membersihkan sistem pilihanraya dari sebarang penipuan. Dengan daftar pemilih yang semakin dicurigai, undi pos yang masih digunakan, dakwat kekal yang masih tidak dilaksanakan, pengundi bangsa asing yang semakin kerap dijumpai, kempen yang berat sebelah, dan lain-lain lagi menunjukkan Malaysia jauh ketinggalan untuk menjadi negara demokrasi terbaik di dunia. Mungkin juga Malaysia boleh menjadi negara demokrasi terbaik di dunia, tetapi dari kalangan negara yang mengamalkan kuku besi dan autokratik!
*Kenyataan media oleh Mohamad Suhaimi bin Abdul Aziz selaku Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.