21 September 2011
Dilemanya adalah, bahasa apakah yang harus saya gunakan ketika berhadapan dengan kelas saya yang seringkalinya mempunyai 55 peratus pelajar Melayu, 44 peratus bukan Melayu dan 1 peratus warga negara asing?
Dilemanya mudah sahaja: kalau digunakan Bahasa Melayu, 1 peratus pelajar terpinggir, 99 peratus mempunyai keupayaan cemerlang; kalau digunakan Bahasa Inggeris, kaum bukan Melayu mempunyai keupayaan cemerlang yang lebih manakala Melayu dan warga asing dari negara lain berkeupayaan ‘mediocre’ atau agak hambar.
Kebanyakan warga negara asing yang masuk kelas saya sehingga kini, 100 peratus dari mereka mempunyai tahap Bahasa Inggeris yang lebih lemah berbanding pelajar tempatan yang dalam kategori ‘paling lemah’.
Dari sudut statistik dan ketamadunan bangsa, saya patut bersyarah dalam Bahasa Melayu tetapi pihak pentadbiran universiti lebih suka kalau saya bersyarah dalam Bahasa Inggeris. Kenapa demikian? Kita kena imbas sedikit sejarah masalah bahasa pengantar ini.
Masalah bermula
Semasa saya mula menjadi pensyarah pada tahun 1987, saya telah diberitahu bahawa sebolehnya saya harus memberi kuliah dalam Bahasa Melayu.
Sebagai seorang yang telah 6 tahun belajar di Amerika Syarikat, saya agak kekok sebab saya lebih pandai menulis dan bertutur dalam Bahasa Inggeris dari Bahasa Melayu. Bahasa Melayu saya ketika itu adalah peringkat SPM/MCE tetapi Bahasa Inggeris saya adalah peringkat Sarjana Seni Bina.
Walau bagaimana pun, saya kommited terhadap penyebaran ilmu (bukan sebab universiti suruh) dan saya berusaha memberi kuliah dan menulis buku dalam Bahasa Melayu.
Hanya dalam seminar kebangsaan dan antarabangsa saya bersyarah dalam Bahasa Inggeris. Saya juga menghasilkan beberapa buah buku dalam Bahasa Inggeris tetapi lebih banyak dalam Bahasa Melayu.
Pada tahun 2003, Tun Mahathir Mohamad mengarahkan penggunaan Bahasa Inggeris dalam subjek Sains dan Matematik.
Saya terkejut kerana ia adalah suatu keputusan ‘peribadi’ yang mendadak tanpa perbincangan di kalangan ahli akademik dan cerdik pandai.
Walau pun Tun Mahathir menyebut bahawa tujuan ini adalah selaras untuk memajukan bangsa Melayu dalam saingan pekerjaan, tetapi saya menjangkakan bahawa ia adalah strategi mainan politik semata-mata.
Tetapi, malangnya keseluruhan jentera pentadbiran negara sibuk menyokong tindakan Mahathir dan hanya segelintir profesor yang menentang tindakan tersebut.
Di UTM, apabila perubahan PPMSI berlaku, semua pensyarah mendapat pekeliling untuk membuat syarahan dalam Bahasa Inggeris.
Mengajar dalam dua bahasa
Apabila saya menerima ‘arahan’ atau ‘cadangan’ tersebut, saya mengajar dua subjek: Sejarah, Teori dan Falsafah Seni Bina, dan Struktur Seni Bina.
Saya tidak mengikut ‘arahan’ universiti bagi subjek Sejarah, Teori dan Falsafah Seni Bina tetapi akur dalam subjek Struktur Seni Bina. Bagi subjek Struktur Seni Bina, ia bersifat matematik dan pengiraan serta kesemua jadual beban adalah dalam Bahasa Inggeris.
Saya masih berkuliah dalam Bahasa Melayu untuk subjek Sejarah, Teori dan Falsafah Seni Bina kerana subjek ini memerlukan banyak pembacaan dan juga penulisan esei panjang. Lagi pun, pendidikan sejarah dan falsafah harus ditulis semula dalam bahasa lain dari Bahasa Inggeris bagi proses kefahaman yang matang.
Sebab ketiga adalah ramai pelajar yang menulis Projek Akhir Sarjana Muda yang berbentuk format tesis banyak menggunakan ‘downloading’ dari internet. Budaya ‘downloading’ atau plagiarisme dari internet adalah suatu isu besar yang ‘jarang-jarang kedengaran’ di luar universiti.
Saya telah menegur Ketua Jabatan supaya tidak membenarkan pelajar tempatan menulis dalam Bahasa Inggeris tetapi Ketua Jabatan mengatakan bahawa arahan universiti adalah untuk membenarkannya demi pembudayaan Bahasa Inggeris dan usaha internalionalisme UTM.
Pada suatu ketika pernah salah seorang pelajar Tahun Akhir saya membentangkan ‘Graduating Project’ yang dibuat dalam Bahasa Melayu dan telah digagalkan oleh salah seorang dari panel pemeriksa walau pun empat panel pemeriksa yang lain memberi markah ‘A’ bagi projek tersebut.
Pemeriksa berbangsa asing itu enggan menukarkan grednya walau pun saya telah menjelaskan projek itu dalam Bahasa Inggeris dan lakaran pelan, keratan, aksonometrik dan perspektif jelas kelihatan terpampang. Setelah dilaporkan insiden tersebut, pihak Jabatan dan Fakulti mengambil keputusan menolak gred pemeriksa asing tersebut.
Setahun selepas insiden tersebut, saya masuk ke kelas Sejarah, Teori dan Falsafah Seni Bina dan mula memberi syarahan dalam Bahasa Melayu.
Tiba-tiba salah seorang pelajar mengangkat tangan dan mengatakan yang dia tidak faham Bahasa Melayu. Rupa-rupanya buat pertama kali selepas 18 tahun mengajar, ada seorang pelajar berbangsa asing dari Iran dalam kelas saya.
Pada tahun itu UTM telah membuka pintunya kepada pelajar asing dalam peringkat Ijazah Sarjana Muda. Saya tergamam seketika.
Yang mana satu?
Selama ini saya tidak mengendahkan arahan pentadbiran untuk berkuliah dalam Bahasa Inggeris tetapi kini apa yang harus saya buat dengan pelajar asing ini? Buku apa yang perlu saya edarkan kerana kesemua pelajar telah diarahkan membeli buku-buku saya yang dalam Bahasa Melayu?
Saya mencuba berdwi bahasa tetapi ia sesuatu yang amat sukar. Pada semester seterusnya, saya terpaksa berkuliah dalam Bahasa Inggeris kerana terdapat tiga lagi pelajar dari negara asing.
Walau bagaimana pun, saya tetap menyuruh penulisan tugasan dalam Bahasa Melayu kepada pelajar tempatan.
Universiti pada ketika itu mengarahkan hampir kesemua soalan peperiksaan dibuat dalam dwi bahasa. Namun demikian apa guna soalan dalam dwi bahasa jika pensyarahnya pula dari negara asing?
Yang peliknya apabila saya mengajar sesuatu subjek saya diarahkan membuat soalan dwibahasa tetapi pada pensyarah luar negara tidak diperlukan pula. Saya amat keliru tentang hala tuju mana yang UTM akan pergi.
Dari sudut penulisan pula terdapat beberapa pensyarah Melayu yang enggan lagi menulis dalam bahasa ibunda. Ini adalah kerana Bahasa Melayu difikirkan sama dengan ilmu ‘bertaraf rendah’.
Markah untuk kertas jurnal dan kertas seminar berbeza dengan yang antarabangsa yang diberikan kadang-kadang sehingga dua kali ganda lebih dari kertas berbahasa Melayu. Segala macam anugerah, penyeliaan dan penerbitan dilebihkan markah kepada yang antarabangsa.
Malahan kini terdapat sebuah jabatan pengajian yang sebumbung dengan jabatan bidang saya yang mewajibkan tulisan laporan subjek teras dalam Bahasa Inggeris!
Saya berasa lebih pelik dan terkilan kerana bahasa dan bangsa sendiri dipinggirkan oleh orang yang dari bangsa, kaum dan budaya yang sama.
Walau pun saya banyak juga menulis kolum akhbar atau kertas seminar dalam Bahasa Inggeris, saya juga mengimbangi jumlah tersebut dengan keluaran-keluaran dalam Bahasa Melayu.
Ke mana Bahasa Melayu?
Apa yang saya ingin sampaikan adalah ke mana nasib Bahasa Melayu di
universiti setelah dasar PPMSI diubah kembali kepada status quo. Ke mana?
Hanya beberapa tahun selepas 2012, pelajar akan memasuki UTM yang mana Matematik dan Sains SPMnya dalam Bahasa Melayu. What then, I wonder?
Masihkah perlu akademik seperti saya berkuliah dalam Bahasa inggeris? Mungkinkah strategi universiti pada waktu itu akan memberi kursus intensir Bahasa Inggeris selama 6 bulan berbanding dengan satu tahun intensif Bahasa Melayu untuk warga asing?
Jika demikian patutkah saya menulis buku dalam Bahasa Melayu lagi? Mungkinkah Dewan Bahasa dan Pustaka perlu ‘tutup kedai’ ketika itu?
Sebenarnya saya tidak ada masalah besar jika negara kita menukar dasari bahasa ilmu kepada Bahasa Inggeris. Malah saya akui, I speak and write better English than I do with Bahasa Melayu.
Tetapi adakah orang Melayu akan mengabaikan budayanya sendiri dan menjadi seperti Singapura yang telah melupakan kebudayaan aslinya dan menjadi sebuah negara “Asia pun tidak, Barat pun tak juga”.
Jika kita tidak memartabatkan Bahasa Melayu maka ‘might as well forget this language lah’ and concentrate on English’.
Amalan dua aliran
Tetapi jika kita masih hendakkan status antarabangsa dalam Bahasa Inggeris tetapi tidak mahu mengabaikan Bahasa Melayu dan pelajar Melayu, maka saya lihat kita harus membuat dua aliran berbeza dalam setiap bidang akademik; satu aliran minoriti Inggeris dan satu aliran majoriti berbahasa Melayu.
Kesemua pelajar Malaysia perlu mengikuti aliran berbahasa Melayu dan semua warga asing perlu mengikuti aliran Bahasa Inggeris.
Saya diberitahu oleh seorang rakan bahawa kaedah dwi aliran ini dibuat di Jepun dan Thailand. Kita boleh mempertimbangkan pelajar-pelajar tempatan mengikuti aliran Inggeris tetapi bayaran yuran seharusnya sama seperti warga asing.
Walau bagaimana pun, kedua-dua pelajar Malaysia dan negara asing boleh berjumpa dalam kelas-kelas elektif yang ditawarkan oleh pendidik-pendidik luar negara.
Jika kita ingin menguatkan penguasaan Inggeris di kalangan pelajar kita maka setiap bidang akademik perlu diperbanyakkan peluang mengambil subjek elektif dalam Bahasa Inggeris.
Dengan cara ini subjek teras akan berkembang dalam Bahasa Melayu tetapi subjek lain boleh berkembang dalam Bahasa Inggeris sehingga Bahasa Melayu menguasai kesemua bidang pada suatu hari nanti.
Saya berani berkata bahawa jika ditanya kepada kebanyakan ahli-ahli akademik Melayu di UTM dan IPTA-IPTA lain yang mendapat pendidikan di luar negara tentang bahasa ilmu apa yang patut digunakan di universiti tempatan, jawapannya hampir pasti kesemuanya berpihak kepada Bahasa Inggeris.
Hanya segelintir sahaja ahli akademik yang berwawasan luas serta berpandangan jauh akan merasakan bahawa kesemua ilmu harus diwacanakan dalam Bahasa Melayu demi membina kematangan ketamadunan anak bangsa sendiri.
Contohnya, hasil penulisan para ilmuan, saintis dan teknologis UKM, wujud buku penting bertajuk Sains dan Teknologi Alam Melayu.
Saya amat kagum terhadap segelintir para jurutera dan ahli-ahli sains dari UKM yang mempunyai visi menyebarkan ilmu tentang akar umbi ilmu Melayu kepada keseluruhan Nusantara.
Bagi saya mereka inilah pejuang-pejuang ilmu sejati dan bukannya sekadar professor atau pensyarah bidang khusus sahaja.
Bukan mencari kesalahan
Sebagai rumusan, saya ingin mengatakan bahawa bukan tujuan saya menulis komentar ini untuk menyalahkan sesiapa, sama ada Tun Mahathir, UTM, pihak Fakulti atau Jabatan, atau Kementerian Pengajian Tinggi.
Saya tidak berminat tentang mainan ‘siapa salah’ sebab kesemua pihak bertindak mengikut agenda masing-masing yang difikirkannya baik untuk sesuatu pihak pada ketika itu.
Apa yang penting sekarang adalah ‘where do we go from here’?
Saya bukannya seorang pejuang Bahasa Melayu dan saya juga bukan patriot Melayu. Saya hanyalah seorang akademik yang memahami bahawa kelahiran ketamadunan sesuatu bangsa adalah berteraskan kepada bahasa ilmunya yang dipertutur dalam segenap lapisan masyarakat dan oleh segenap kaum…dan di Malaysia ia adalah Bahasa Melayu.
Saya mohon agar Kementerian Pengajian Tinggi membuat satu dasar menyeluruh. Kita tahu Bahasa Melayu agak terkebelakang sedikit tetapi kita ingin menobatkannya kembali sebagai bahasa ilmu.
Di samping itu kita tidak mahu kehilangan penguasaan Bahasa Inggeris. Permasalahannya cukup jelas.
Satu jawatankuasa cerdik-pandai yang berwibawa dan bukannya ‘pak turut politikus’ boleh membuat strategi jangka panjang dan jangka pendek untuk mengurangkan kekeliruan ini bagi generasi akademik muda yang akan mengambil alih tanggungjawab mengembangkan ilmu. – Roketkini.com
Penulis adalah Profesor Jabatan Senibina, Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi Malaysia
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.