Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Anwar Ibrahim membidas musuh politiknya kerana menggunakan "cara-cara yang jahat, celaka dan sial", sebelum menyatakan semangat dan tekadnya untuk bertempur dengan UMNO-BN secara habis-habisan.
Anwar Ibrahim (gambar kanan) juga membela rakan seperjuangannya, yang diheret dengan pelbagai tuduhan ke mahkamah. Malah, beliau mendakwa bahawa tuduhan tersebut hanyalah permainan politik UMNO-BN yang tidak berani untuk berdepan dengan rakyat.
Sebelum ini, Pengerusi DAP Karpal Singh ketika menggulung perbahasan dasar oleh perwakilan, berjanji untuk membela Anwar Ibrahim sedaya upaya kerana menganggap tuduhan yang dilemparkan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri ini adalah tidak berasas.
Anwar Ibrahim yang dihadapkan ke mahkamah kerana tuduhan liwat buat kali kedua selepas tahun 1998, berkata, "kalau dia (UMNO-BN) fikir dia nak ulang kezaliman tahun 1998, dia perlu bersedia, kita akan bertempur berhabis-habisan."
Hampir 1500 orang perwakilan yang hadir ke Konvensyen Pakatan Rakyat pertama di Auditorium MBSA, Shah Alam pada hari ini. Mereka melaungkan slogan "reformasi" dan "lawan tetap lawan", sebagai sokongan terhadap Anwar Ibrahim yang terjerat dengan tuduhan liwat.
Anwar: Satu persatu didakwa
Pada masa yang sama, Anwar cuba mempertahankan rakan seperjuangannya, Karpal Singh yang ditonjol oleh media arus perdana milikan UMNO sebagai pemimpin yang sering mempertikaikan instistusi raja dan agama Islam.
"YB Karpal Singh (gambar kiri) sekarang (didakwa) seditious atas tuduhan menghina raja... siapa yang pinda undang-undang yang mengatakan raja boleh didakwa? Itu kerja UMNO dalam parlimen. Tapi beliau (Karpal Singh) yang didakwa..."
Beliau menyambung, "kemudian cari seorang tokoh seperti tokoh politik yang bekerja 20 tahun sebagai Menteri Besar. Cari di Malaysia, cari di rantau ini, orang politik yang ada kuasa masuk 20 tahun, mempunyai rekod yang bersih. Tidak ambil tanah, tidak ada kekayaan, hidup sederhana. Orang seperti ini didakwa kerana rasuah, padahal penyamun yang rasuah besar dilepaskan. Kita lawan pertahankan Nik Aziz."
Suara Anwar semakin lantang, sambil menoleh ke arah pemimpin PR yang berada di atas pentas, "Lihat, puluh di belakang ini, tanpa kecuali, satu per satu dihadap ke mahkamah. Kenapa? Nak lawan berdepan dengan rakyat, mereka tahu mereka akan tewas. Sila, nak lawan di Batu? Mana? Bagi tahu biar kita berdepan dengan mereka. Kerana dia tak mampu lakukan begitu, dia buat cara-cara jahat, celaka dan sial..."
Anwar yang sedar bahawa bahasa yang digunakan mungkin dijadikan sebagai isu, dengan lantas mempersoalkan, "Utusan Malaysia kata saya menggunakan istilah yang kasar. Saudara, aibkan orang tidak kasar? Pukul orang tidak kasar? Bunuh orang tidak kasar? Telanjangkan orang tidak kasar? Malu konek orang tidak kasar?"
"Beza kita dengan UMNO"
Sebelum ini, Anwar memulakan ucapan pergulungannya dengan mendakwa bahawa Dasar Pakatan Rakyat adalah satu dokumen yang cukup penting, dan gagal ditandingi UMNO-BN.
"Saya minta rakan-rakan hadam betul-betul, mana ada satu dokumen seperti...(sambil mencapai dokumen di mejanya) Saya sendiri lama dalam UMNO dan Barisan Nasional dulu...."
Beliau sambung, "dulu, berbanding dengan apa yang ada dalam PR, Barisan Nasional tidak mampu mengemukakan dokumen begitu," sambil dia mempersoalkan, "Mana ada dasar pendidikan (seperti) kita jelas mempertahankan bahasa ibunda. Kita jelas kedudukan sekolah Cina, dengan tegas. Saya Menteri Pendidikan, tak pernah pimpinan UMNO berani berdepan dengan orang Melayu, memartabatkan bahasa Melayu, mempertahankan bahasa Cina, bahasa Tamil dan bahasa ibunda. Ini dia dokumen penting."
Anwar Ibrahim sekali lagi menyanggah tuduhan UMNO-BN bahawa PR mengkhianati kaum Melayu, sambil menjelaskan bahawa agenda ekonomi yang dikemukakan PR akan terus membela dan menjamin kepentingan golongan terpinggir dengan affirmative action.
"Maknanya, pendekatan kita harus cukup jelas, membantu yang berhak, membantu yang miskin dan terpinggir. Beza kita dengan UMNO, dia fikir dari sudut kaum, kita fikir dari sudut keadilan bagi rakyat."
Agenda Ekonomi Baru
Kritikan terhadap dasar ekonomi yang diutarakan PR bukan sesuatu yang baru. Malah, ketika Anwar mengemukakan Agenda Ekonomi Baru, sebagai pengganti kepada Dasar Ekonomi Baru, beliau telah dilemparkan tuduhan sebagai pengkhianat bangsa.
Anwar berkata, apabila dasar ekonomi yang menekankan persaingan dan meritokrasi diketengahkan, maka PR berdepan dengan kempen yang dijana untuk menuduh bahawa Melayu akan ketinggalan.
"Melayu mana yang akan ketinggalan? Melayu yang rasuah, Melayu yang malas, Melayu yang kroni, Melayu yang dapat kontrak tanpa kerja. Kita nak Melayu yang sanggup bekerja dan mampu bersaing dengan semua di negara kita," tegasnya.
Malah, beliau mengimbas pengalamannya apabila mula menyerang DEB apabila kembali ke gelanggang politik setelah dibebaskan dari penjara enam tahun. Beliau dinasihatkan bahawa orang Melayu tidak bersedia untuk menolak DEB kerana bimbang tiada jaminan masa depan.
"Saya jawab, kalau kita tidak ada keberanian untuk menyatakan bahawa diskriminasi kaum tidak boleh dipertahankan dengan agama, bahawa membiarkan rasuah dan penyelewengan mengaut kekayaan untuk segelintir pemimpin Melayu itu adalah kesalahan dan dosa. Maka kita layak memimpin satu pakatan yang boleh menggarap dan menggembleng kekuatan rakyat semua."
1Malaysia: Pekong busuk yang memukau
Anwar turut mempersoalkan mainan isu agama Islam daripada pihak UMNO-BN, dengan menampilkan contoh keterbukaan dan kesediaan Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sanggup bertemu dan ditemui Sami Hindu untuk berbincang.
"Mengapa Tuan Guru (Nik Aziz, gambar kanan) boleh buat begitu? Kerana dia yakin dengan fahaman Islamnya. Saudara tahu mengapa orang yang angkat kepala lembu tidak dapat buat begitu? Kerana tidak faham agama mereka," ujarnya.
Beliau mempertikaikan selanjutnya, "Agama Islam mana yang mengajar kita menanam dendam kepada kaum-kaum lain. Budaya Melayu apa yang mereka bicarakan?"
Anwar sempat menyindir musuh politiknya, PM Najib Abdul Razak, apabila berkata, "Tapi jangan bicara heboh bukan main Islam, Islam Hadhari, Islam 1Malaysia, tapi rasuah menjala, merebak? Apa erti bicara soal Islam, kezaliman (dilakukan) kepada Islam dan bukan Islam? Apa erti bicara Islam apabila badan kehakiman kita rosak dan musnahkan? Islam apa yang kita ketengahkan bila kezaliman yang ditegakkan, (tapi) bukan keadilan?"
"Sebab itu jangan kita terpedaya dengan slogan. Satu malaysia sekarang mempunyai 20 consultant, terutamanya syarikat Yahudi, APCO. Anwar berkata, 20 consultant tersebut akan memberi pandangan dalam bidang kehakiman, media, memacu pertumbuhan, liberalisasi dan penswastaan. Beliau berkata,"...memang kenyataan itu memukau. Bunyinya memukau, isinya pekong busuk rasuah yang sama."
Beliau menyimpul, "kita lawan bukan kerana pertimbangan politik. Kita lawan atas keyakinan kita bahawa apa yang kita menentang itu ialah kemungkaran politik yang dahsyat yang dibawanya."
Zaid Ibrahim: UMNO-BN gagal menidakkan kehendak rakyat
Sementara itu, wakil dari PKR, Zaid Ibrahim ketika berucap dalam sesi perbahasan, menyatakan kebanggan dan keyakinan dirinya terhadap masa depan PR. Beliau menyanggah tuduhan yang dilemparkan terhadap PR, bahawa pakatan politik ini "tidur di satu tilam tapi mimpi berlainan" dengan dokumen Dasar Pakatan Rakyat.
"Malah, mahaguru Barisan Nasional UMNO, Dr. Mahathir Mohamad, dia kata kalaulah pembangkang memerintah negara ini, hancur," sebelum menyambung, "Memang hancur, hancur UMNO, bukan (hancur) negara."
Zaid Ibrahim, bekas Menteri Jabatan Perdana Menteri yang meletak jawatan sebagai protes kepada penangkapan blogger, wartawan dan ahli politik dengan ISA oleh kerajaan BN. Beliau menyertai PKR pada Jun 2009.
"Sudah sampai masanya kita merdekakan rakyat kita dari penjajah UMNO dan Barisan Nasional," sambil beliau menyeru, "Biarlah kita memberi erti yang baru kepada perkataan muafakat negara kita. Biar kita beri makna baru kepada kerjasama antara kaum, di Sabah, di Sarawak."
Zaid Ibrahin yakin bahawa 50 tahun yang akan datang merupakan era Pakatan, berkata, "Rakyat sudah bosan dengan politik perkauman, politik yang menipu. Kita harus dan wajar untuk kita semua teruskan perjuangan kerana selepas ini kita akan buat konvensyen ini di Putrajaya."
Zaid sempat mengkritik pimpinan Najib apabila berkata, "Dia kata 1Malaysia hari ini, esok dia masuk balik Ahmad Ismail di Pulau Pinang. Ahmad Ismail menuduh kawan-kawan Cina dan India kita pendatang. Dia masuk balik. Dia kata negara kita aman, tetapi Raja Petra mesti lari ke England, dan Bala di India," hujahnya menggelakkan satu dewan.
Walau bagaimanapun, Zaid Ibrahim mengingatkan bahawa kekuatan PAS, DAP dan PKR tidak boleh lagi diukur dengan kayu ukur zaman dahulu. "Kekuatan PAS hanya akan menjadi benar, teguh dan kuat, bila rakan-rakan kita Keadilan (PKR) dan DAP kuat," kata-katanya disahut dengan tepukan.
Beliau memberi contoh bahawa adalah tanggungjawab PAS untuk menghulurkan bantuan seandainya PKR dan DAP lemah di Kelantan, begitu juga dengan keadaan di sebaliknya, "jangan kita fikirkan kerusi, kita fikirkan kekuatan dahulu."
Zaid Ibrahim dengan sinis memperlekehkan Najib, "sedikit pun saya tak bimbang (terhadap Najib). Yang saya bimbang hanyalah, persatuan kita, kekuatan kita, tidak dapat kita lonjak ke satu tahap yang baik. Hanya kelemahan diri yang akan menggagalkan kita."
Beliau menyambung, "Barisan (Nasional) dengan FRUnya, dengan SPRMnya, dengan polisnya, dengan akhbarnya tidak dapat menidakkan kehendak rakyat!"
Angin Pendamai, lagu yang dimainkan ketika majlis perasmian dan penutupan Konvensyen Pakatan Rakyat pertama telah menayangkan adegan-adegan sepanjang zaman reformasi hinggalah kini, menyaksikan bagaimana gerakan reformasi politik memberi impak kepada lanskap politik tanahari Malaysia.
Baca: Dasar Pakatan Rakyat
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Melayu. Laporan dari Konvensyen Pakatan Rakyat pertama di Auditorium MBSA, Shah Alam, Selangor.
sumber : Merdeka Review
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.