21 September 2011
21 SEPTEMBER – Pada akhir dekad 1980-an, pemimpin Parti Komunis Soviet Union Mikhail Gorbachev melancarkan reformasi politik dan ekonomi untuk membaharui azam dan iltizam pemerintahan kuku besi yang semakin tidak disukai rakyat Rusia.
Pada akhir dekad 1990-an, menjelang alaf baru, B.J. Habibie menggantikan Suharto yang meletak jawatan sebagai Presiden Indonesia berikutan kebangkitan reformasi rakyat Indonesia, khususnya para pelajar, akibat krisis ekonomi dan sistem pemerintahan yang zalim.
Kedua-dua pemimpin dari dekad yang berbeza itu terpaksa membuka pintu untuk kebebasan demokrasi dan ekonomi yang selama itu telah dikuasai kelompok dan kroni yang rapat dengan pemerintah.
Perubahan yang mereka lakukan juga dianggap radikal.
Bagi Rusia yang tidak pernah mengecap kebebasan sejak zaman pemerintah Tsar hingga kepada rampasan kuasa oleh komunis Bolshevik pada 1917, tiba-tiba mereka ditawarkan kebebasan akhbar dan hak bersuara serta berekspresi.
Bagi Indonesia yang telah hilang kebebasan sejak Sukarno melaksanakan amalan “demokrasi terpimpin” pada 1950 hingga dipinggirkan oleh Suharto dan para jeneral pada akhir 1965, mereka juga tiba-tiba ditawarkan kebebasan yang selama itu dikongkong oleh rejim sebelumnya.
Bagi Gorbachev dan Habibie, mereka sepatutnya dijulang sebagai tokoh reformis yang hebat. Namun sejarah mencatatkan yang sebaliknya. Kedua-dua mereka menjadi mangsa reformasi ciptaan mereka sendiri.
Mengapa terjadi begitu
Adakah kerana mereka bodoh? Adakah kerana rakyat kejam? Atau mereka hanya menjadi mangsa keadaan?
Di Rusia, setelah lebih 70 tahun menderita di bawah pemerintahan zalim komunis, rakyat sudah tidak tahan lagi. Tambahan pula kongkongan kebebasan sudah ditembusi pada masa itu melalui teknologi mesin faks dan mesin fotostat. Apatah pula siaran TV satelit dapat dipasang secara haram yang membolehkan sesetengah rakyat Rusia melihat sendiri apa yang berlaku di dunia luar.
Di Indonesia, krisis ekonomi Asia pada 1997 telah memecahkan buih yang selama ini dijaja oleh negara-negara Asia Tenggara sebagai suatu keajaiban. Terserlah kelemahan pentadbiran ekonomi dan politik yang digambarkan melalui slogan reformasi yang menentang “korupsi, kronisme dan nepotisme”.
Tekanan yang hebat terhadap rejim Suharto menyebabkan para penyokongnya dalam Partai Golkar juga berpaling tadah untuk memaksanya meletak jawatan. Walau pun digantikan dengan Habibie yang banyak program pembaharuannya, kebencian rakyat yang meluap sudah tidak dapat disejukkan lagi.
Rakyat Indonesia menuntut perubahan yang lebih total, yang bebas daripada hegemoni tentera serta kroni-kroni Suharto yang dilihat sebagai penindas rakyat pada era sebelumnya. Malah teknologi telefon bimbit dan internet yang diperkuatkan dengan tekonologi lama mesin faks dan fotostat telah mempercepatkan lagi kejatuhan rejim lama.
Di Rusia, hampir sama keadaannya. Kebencian terhadap Parti Komunis sudah memuncak. Malah kegelojohan beberapa pemimpin komunis yang cuba merampas kuasa dengan menculik Gorbachev telah memarakkan lagi kemarahan rakyat.
Walau pun percubaan itu digagalkan dan Gorbachev diselamatkan, ia tidak memberi apa-apa nilai saham kepada pemimpin komunis itu yang telah cuba sejak dua, tiga tahun sebelum itu untuk melembutkan imej kuku besi komunisme.
Kedua-dua pemimpin itu tersungkur bukan kerana niat baik dan usaha murni mereka. Jatuhnya mereka kerana sudah terlambat – rakyat sudah tidak mahu sistem bobrok yang ditampal-tampal lagi. Rakyat mahu reformasi tulen tanpa penyertaan rejim lama yang menjadi lambang penindasan dan kuku besi.
Sememangnya rakyat di kedua-dua negara sedar bahawa sesuatu yang baru tidak mungkin menjadi sempurna, namun rasa hati pada masa itu telah bertekad bahawa apa sahaja melainkan rejim yang ada sekarang akan berupaya menjadi lebih baik.
Pengajaran untuk Malaysia
Di Malaysia, sejarah yang benar dan tepat tanpa perlu ditulis semula sebagai propaganda patut menjadi peringatan kepada mereka yang berada di puncak kuasa.
Reformasi perlu dilaksanakan kerana adalah ia tuntutan fitrah dan bersifat sejagat. Jika mahu dilaksanakan hanya kerana takut hilang kuasa serta mula sedar kepimpinan sudah tidak relevan, ia menandakan detik kejatuhan pemerintah.
Memang mudah untuk memperdayakan rakyat tetapi helah, tipu muslihat serta tekanan itu ada tarikh luputnya. Apabila sampai ke saat itu, nasi sudah menjadi bubur buat pemerintah.
Bagi rakyat, apabila nasi pemerintah sudah menjadi bubur, ia bukanlah sesuatu yang buruk. Malah ia adalah titik permulaan untuk kehidupan yang lebih bebas, adil, bersih, demokratik, sejahtera dan selesa.
Reformasi tulen yang membebaskan rakyat daripada cengkaman politik sempit perkauman, undang-undang zalim serta pemerintahan yang korup adalah idaman setiap insan yang prihatin dan bermaruah. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.