Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah bertitah dan meminta
rakyat negeri sentiasa berwaspada dan menolak percubaan pihak tertentu
yang mahu melibatkan baginda dalam sebarang isu politik.
Baginda sebaliknya mengingatkan rakyat negeri itu supaya terus
memelihara keharmonian dan menumpukan usaha untuk meningkatkan taraf
hidup mereka, lapor Bernama hari ini.
“Peristiwa yang berlaku di beberapa tempat lain akan menyebabkan
timbulnya perpecahan di kalangan rakyat kerana kadangkala permainan
politik tidak mengambil kira ketenteraman awam dan kecetusan huru-hara.
“Beta yakin ikatan perpaduan yang erat di kalangan penduduk berbilang
kaum dapat menjadi benteng untuk memelihara keamanan dan usaha kerajaan
beta untuk terus mengeratkan perpaduan hendaklah disokong sepenuhnya,”
titah baginda pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan
Darjah-darjah serta Bintang-bintang Kebesaran sempena ulang tahun ke-83
keputeraan baginda di Istana Anak Bukit, di sini.
Dalam perkembangan lain, Tuanku Abdul Halim bertitah keyakinan
pelabur ke Kedah terus kukuh dengan kemasukan pelabur asing dan
tempatan terutama bagi memajukan sektor pembuatan di negeri itu.
“Kerajaan beta telah memberi perhatian khas bagi mempercepat dan
membantu para pelabur menjayakan projek masing-masing dan beta berharap
inisiatif seperti ini dapat mempercepatkan kelulusan dan melancarkan
segala urusan berkaitan pelaksanaan projek pembangunan,” titah baginda.
Baginda dalam titahnya turut menasihati kerajaan negeri supaya
mengurangkan kerenah birokrasi bagi mengelak berlaku kelewatan
menyiapkan sesuatu projek pembangunan yang akhirnya akan memberi faedah
kepada rakyat di negeri itu.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.