Seandainya dibandingkan dengan media arus perdana Melayu, akhbar Cina
sememangnya lebih bersikap terbuka dan bebas dalam memuatkan
berita-berita politik, malangnya orang Melayu tidak dapat menikmati
ciri-ciri ini dalam suratkhabar arus perdana seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian.
Keadaan malang ini bagi suratkhabar Melayu diburukkan dengan kata-kata
sinis secara sindiran oleh mereka yang kecewa sikap pengaruh politik
yang begitu jelas dalam UM dan BH sehingga mendapat jolokan Utusan
Meloya dan Berita Hairan.
Saya
difahamkan, secara tradisinya masyarakat Cina amat mendahagakan dan
menghargai ruang kebebasan bersuara. Maka tidak hairanlah apabila satu
ketika dahulu apabila syarikat besar Huaren, satu sayap perniagaan parti
MCA cuba ambil alih penguasaan syarikat Nanyang, tindakan itu dikecam
hebat oleh masyarakat Cina, malah edaran Nanyang menurun kerana
bantahan pembaca yang mula hilang kepercayaan dengan hilangnya
kebebasan akhbar yang cuba diragut oleh cengkaman politik MCA. Budaya
ini telah memberikan tamparan di pipi yang kuat kepada UM dan BH yang
sebaliknya berbudayakan penguasaan politik untuk hidup. Akibatnya,
penafian mendapat pemberitaan yang adil dan bebas dalam masyarakat
Melayu, telah menelurkan satu aliran pemikiran satu hala dan sukar
membuat penilaian yang adil dalam situasi politik tertentu.
Manakala
masyarakat Cina dengan pembudayaan kebebasan pemberitaan menikmati
kadar daya pilih yang lebih selesa menilai sesuatu keadaan politik. Ia
dapat diperlihatkan apabila media internet seperti MerdekaReview, Malaysiakini
(edisi bahasa Cina) diwujudkan, setelah menyedari keterbatasan dalam
ruang media arus perdana bahasa Cina itu sendiri. Itulah jurang kesan
pemberitaan dalam kedua-kedua kelompok masyarakat di negara kita.
Namun
ini bukan bermakna tidak ada masalah dalam komuniti akhbar berbahasa
Cina dari sudut lain pula. Masalah ini berlaku apabila setiap kaum di
negara ini telah terhubung antara satu sama lain. Maksudnya, apa yang
diberikan kepada masyarakat Cina dari maklumat dan berita bukan bermakna
orang Melayu tidak boleh akses maklumat daripadanya dan sebaliknya
lebih-lebih lagi terkesan. Para sidang pengarang perlu meletakkan dalam
perkiraan mereka bahawa setiap baris yang tertulis dalam bahasa Cina
akan terbaca atau disampaikan maklumatnya kepada segmen pembaca Melayu.
Kerana perkembangan ini, walaupun pembaca akhbar Cina adalah dari
kalangan masyarakat Tiong Hua, kini orang Melayu pun sudah mula sensitif
bahan yang dimuatkan. Khususnya PAS, kewujudan DHPP (Dewan Himpunan
Penyokong PAS) adalah jambatan untuk mendapat akses dari perspektif PAS
tentang apa yang dibicarakan dalam artikel-artikel bahasa Mandarin.
Perjuangan
Islam tidak dapat dipisahkan dari PAS sejak dulu hinggalah hari ini.
Usaha PAS meroboh tembok yang terhalang selama ini antara dirinya dan
masyarakat bukan Islam telah menampakkan perkembangan yang positif.
Fobia tentang retorik Islam PAS kini sudah mula berkurangan di kalangan
masyarakat Cina apabila PAS dilihat lebih versatile dalam
pendekatannya, apatah lagi kesungguhan PAS melahirkan sayap bukan Islam
adalah sebenarnya satu pengiktirafan kepada bukan Islam untuk turut
serta dalam cita-cita dan hasrat PAS.
Tonggak
utama kebimbangan bukan Islam khusunya masyarakat Cina ialah isu negara
Islam yang pada hemat mereka adalah amat menakutkan apatah lagi konsep
negara Islam itu disudutkan kepada perlaksanaan undang-undang hudud yang
amat "mengerikan" itu. Parti MCA dan Gerakan banyak menyumbang kepada
menyempitkan Islam yang diperjuangkan oleh PAS di kalangan masyarakat
mereka. Malah isu negara Islam=Hudud terus menjadi bahan sensasi untuk
melarikan pengundi Cina dari menyokong PAS. Media cetak perdana
bebahasa Cina tidak kurang memainkan peranan isu ini samada secara jujur
untuk memahamkan pembacanya atau sebaliknya. Kalau sebelum ini apa
yang diberitakan tentang fobia negara Islam dan ketakutan mereka kepada
Hudud tidak diendahkan oleh PAS, tetapi kini PAS turut memantau segala
isu ini dan cuba untuk membawa pemikiran yang tepat di dada-dada akhbar
surat khabar Cina atau sekurang-kurangnya membuka akses yang terus bagi
menjelaskan kekeliruan yang berlaku.
Baru-baru ini tersiar artikel tentang perlaksanaan undang-undang Islam dalam Nanyang Siang Pau
bertarikh 27,28 dan 29 Disember 2011. Tidak keterlaluan kalau saya
mengatakan artikel bersiri itu dalam beberapa hal tidak mewakili
pandangan Islam sebenarnya tentang perlaksanaan Hudud apatah lagi imej
yang dipaparkan boleh menimbulkan pertikaian tentang motifnya dan
hubungkaitnya dengan keadilan Islam. Terganggu dengan artikel ini saya
berasa terpanggil untuk menjelaskan keadaan, apatah lagi isu ini berkait
rapat dengan perjuangan PAS. Saya khuatir salah tafsir dan paparan
akan memantulkan imej negatif tentang Islam dan apa yang PAS lakukan
dalam konteks Islam yang lebih dinamik dan progresif serta demokratik.
Dalam pertemuan 5 Januari tempoh hari, saya bersama Taufiq dari Negeri Sembilan telah membuat kunjungan muhibbah ke pejabat Nanyang Siang Pau dan
telah membuka saluran dialog dengan harapan berbagai kekeliruan dan
fobia negara Islam=Hudud dapat diatasi bersama. Pertemuan itu penting
dan membawa petunjuk kepada hubungan PAS dan akhbar Cina dalam bentuk
penglibatan positif yang selama ini terpisah atas sebab-sebab bahasa dan
budaya.
Amat
menarik untuk diamati bahawa bahasa dan budaya turut memainkan peranan
dalam memahami bagaimana Islam dan isu-isunya digambarkan dalam alam
lingua bahasa Mandarin. Karakter tulisan yang digunakan dan istilah
yang cuba diterjemahkan kadang-kadang boleh membawa makna yang
berlainan. Sebab itulah akses PAS dan akhbar Cina hari ini amat penting
untuk PAS memahamkan kepada komuniti editorial mereka supaya memahami
istilah Islam dan yang berkaitan dengannya dari ruh asal bahasanya dan
bukan dari ruh bahasa yang menterjemahkannya. Saya akur bahawa tidak
semua bahasa dapat menterjemahkan secara tepatnya sesuatu istilah tetapi
mungkin dengan hubungan baru ini editorial akhbar Cina dapat memunggah
lagi khazanah bahasa Mandarin dan menggali istilah yang lebih dinamik
dalam memahamkan pembacanya tentang Islam dan secara tidak langsung
membentuk frasa dan perbendaharaan kata yang unik dalam konteks Malaysia
yang Islam merupakan raison detere yang diterima oleh semua rakyat
Malaysia hari ini.
*Dr.Mujahid Yusof Rawa (gambar kiri) adalah ahli parlimen Parit Buntar, merangkap Pengerusi Perpaduan Nasional PAS.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.