Gelagat Perdana Menteri, Najib Razak ketika melawat Shah Alam semalam
mengingatkan saya kepada hero filem Tamil tahun 1960-an yang masuk ke
sebuah kampung untuk menyelamatkan gadis dalam kesusahan.
Gadis
di sini merujuk kepada segelintir penyewa-penyewa di Kompleks PKNS yang
keresahan susulan keputusan PKNS untuk menaikkan kadar sewa.
Tidakkah
Najib (gambar kanan) tahu bahawa 70% penyewa terbabit setuju dengan
kenaikan ini? Tidakkah beliau tahu bahawa penyewa-penyewa ini telah
menikmati kadar sewa 70% lebih murah berbanding pasaran semasa di
ShahAlam?
Adakah Najib tahu bahawa mereka yang menentang kenaikan
kadar sewa ini adalah golongan rentir bukannya penyewa lot-lot kedai di
komplek situ? Ini jelas menunjukkan golongan rentir inilah yang dalam
kesusahan. Sedarkah Najib bahawa di rumah mereka berderetan kereta
mewah hasil dari aktiviti sebegini?
Saya tidak fikir hanya saya
yang beranggapan tindakan lagak hero Najib ini sebagai pelik. Tambah
pula, lakonan beliau sehingga kononnya akan mengeluarkan air mata telah
memualkan banyak pihak. Kerajaan BN telah merompak kekayaan Selangor
sejak 50 tahun lalu dan perbuataan ini terhenti apabila hero sebenar
iaitu Pakatan Rakyat mengambil alih Selangor.
Najib berkata
beliau mahu menitis air mata mendengar keluhan peniaga-peniaga di
Kompleks PKNS tetapi saya berkata Najib tidak ada hak untuk menangis.
Sebaliknya, Najib sepatutnya menitiskan air mata apabila bekas Menteri
Besar, Khir Toyo menggunakan hampir RM2 juta duit rakyat untuk lawatan
ke Disneyland.
Najib
sepatutnya menitiskan air mata apabila melihat pemimpin UMNO yang tamak
haloba dengan tersenarainya nama mereka dalam senarai pemiliki tanah
Felda dan Felcra yang sepatutnya menjadi milik peneroka. Najib juga
sepatutnya menangis apabila seorang wakil rakyat Melayu menjual tanah
rezab Melayu kepada tauke Cina dan tanah yang diwartakan untuk pembinaan
surau dijual bagi memberi laluan kepada projek pembangunan.
Najib seharusnya melihat tangisan kegembiraan pakcik dan makcik UMNO menerima baucer RM100 untuk menyertai program Jom Shopping dan
melihat seorang pakcik Cina menerima geran tanah bagi pihak isterinya
yang meninggal dunia yang telah memohon geran tanah sejak 10 tahun lalu.
Apa-apapun kita tiada halangan jika Najib mahu terus menangis …
*Kenyataan media oleh Faekah Husin (gambar kiri) selaku Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.