KUALA LUMPUR, 1 Nov: Wakil Pakatan Rakyat dalam Jawatankuasa Pilihan Khas untuk memperbaharui proses pilihan raya (PSC) akan memanggil Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai saksi pertama dalam mesyuarat ketiganya esok.
Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali berkata, perkara itu akan dikemukakan dalam mesyuarat kedua hari ini.
"Esok kami akan panggil SPR sebagai saksi pertama untuk beri keterangan dan memohon SPR buat ketetapan kepada tuntutan Bersih.
"Seperti yang kita sedia maklum sebahagian besar masalah tak perlu kepada pindaan perlembagaan kalau SPR serius untuk melakukan reformasi pilihan raya," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR turut berkata, Pakatan Rakyat akan menuntut PSC mengemukakan saranan kepada kerajaan agar tidak mengadakan pilihan raya sebelum mereka selesai melakukan siasatan dalam temph enam bulan yang diperuntukkan.
"Kita mahu jawatankuasa kemuka saranan kepada kerajaan supaya tak ada pilihan raya sehingga jawatankuasa memberikan maklum balas dan cadangan bertujuan menambah baik proses pilihan raya.
Selain itu ujar Azmin, mereka juga meminta PSC memberikan peluang yang sepenuhnya kepada Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan mengemukakan hujahnya mengenai lapan tuntutan Bersih.
"Kami membawa lapan tuntutan Bersih dan berharap jawatankuasa memberi ruang yang luas kepada Ambiga untuk kemukakan hujah menyokong lapan tuntutan mewakili 60 NGO.
"Kita harap jawatankuasa ini bebas dari tangan-tangan politik," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke akan mengemukakan bukti berhubung pertindihan daftar pemilih dalam semakan daftar pemilih.
Ia mengenai nama yang sama terdapat dalam rekod sebagai pengundi pos di Parlimen Rasah dan pengundi biasa di Parlimen Tampin.
"Kalau SPR kata ini adalah nama yang sama, takkan tarikh lahir pun sama.
"Jadi kami mengesyaki ini ialah orang yang sama," katanya yang juga Ketua Pemuda DAP.
Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Hatta Ramli pula berkata, mereka tidak boleh menerima sekiranya PSC dijadikan helah kerajaan untuk melengah-lengahkan pembaharuan proses pilihan raya.
"PSC ini satu-satunya cara untuk memastikan pembaharuan pilihan raya dilakukan tapi kalau PSC pun tak bersikap tegas dan digunakan untuk melambatkan pembaharuan pilihan raya, kita memang tak boleh terima," katanya yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat.
Katanya juga, Pakatan juga akan mengemukakan proposal kepada PSC mengenai penggunaan dakwat kekal dan pemansuhan undi pos.
"Kita rasa penggunaan dakwat kekal perlu dilaksanakan segera.
"Ada yang akan timbulkan undi pos 3 hari sebelum pilihan raya, semuanya ini perlu diselesaikan dan kita akan bawa proposal ke dalam mesyuarat," katanya.
Selain tiga wakil Pakatan Rakyat, PSC turut dianggotai lima wakil BN dan seorang wakil bebas.
sumber : Harakah Daily |
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.