KUALA LUMPUR, 1 Nov: PKR meminta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar menyemak keseluruhan dasar dan sasaran kementeriannya sebelum mengeluarkan kenyataan yang dianggap memperbodoh rakyat.
Pengarah Strategi Keadilan, Rafizi Ramli berkata, jawapan Noh mempertahankan prestasi National Feedlot Corporation Sdn Bhd yang diterajui keluarga Datuk Seri Sharizat Jalil menimbulkan banyak persoalan.
Ini kerana katanya, beberapa jawapan yang diberikan Noh ternyata berbeza dengan sasaran rasmi yang ditetapkan kementerian dari segi jumlah ternakan lembu, jumlah daging yang perlu dibekalkan dan sembelihan, konsep pelaksanaan projek fidlot kebangsaan, serta dana kewangan projek tersebut.
"Sasaran ini dipaparkan secara jelas untuk diteliti oleh orang ramai di laman Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
"Oleh itu prestasi Pusat Fidlot Kebangsaan untuk menentukan sama ada projek berimpak ini gagal atau berjaya perlu dikur dengan sasaran-sasaran rasmi kementerian," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Menurutnya, Pusat Fidlot Kebangsaan perlu menyediakan sekurang-kurangnya 60,000 lembu fidlot setahun yang diternak di Gemas.
Namun angka yang dicapai hanyalah 8,016 ekor antara tahun 2009 dan 2010, kurang dari 3,000 lembu setahun.
Dari segi dana kewangan pula, Rafizi berkata Noh menyebut bahawa tidak ada sebarang percanggahan kepentingan dalam projek ini dan dana masih belum dibayar sepenuhnya kepada Pusat Fidlot Kebangsaan.
Namun katanya setakat ini sebanyak RM6 juta geran peruntukan dan RM135 juta pinjaman berkadar rendah telah diberikan kepada Pusat Fidlot Kebangsaan.
"Jumlah ini satu jumlah yang besar dan membazir memandangkan Kementerian sendiri menggariskan anggaran kos sebanyak RM6.37 juta untuk mengusahakan ladang ternakan 9,000 ekor setahun dengan pulangan keuntungan 27.59 peratus setahun," katanya.
Tambahnya, kos yang dibelanjakan sebanyak RM141 juta untuk menternak 8,000 ekor lembu selama tiga tahun adalah 22 kali ganda lebih mahal berbanding anggaran kos yang dibuat kementerian.
Sehubungan itu, beliau berkata PKR akan mengadakan rombongan melawat Pusat Fidlot Kebangsaan di Gemas, Khamis ini untuk meninjau sendiri prestasinya.
Rombongan tersebut akan diketuai Adun Sikamat, Aminuddin Harun.
sumber : Harakah Daily |
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.