1 Nov 2011

Pemuda KLSCAH minta kerajaan terima keputusan Mahkamah Rayuan dan mansuhkan AUKU

Pemuda Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) meminta Kementerian Pengajian Tinggi menerima keputusan Mahkamah Rayuan, bahawa Seksyen 15(5) Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang membenarkan universiti mengambil tindakan disiplin terhadap pelajarnya adalah tidak sah dan mencabul kebebasan bersuara.  Pemuda KLSCAH juga meminta agar Menteri Pengajian Tinggi Mohamed Khaled Nordin, dan Timbalannya Hou Kok Chung untuk memansuhkan AUKU dengan serta-merta.
Tiada gunanya jika kerajaan BN sekadar mengulangi slogan "1 Malaysia" dan "Program Transformasi Kerajaan" tanpa disusuli tindakan.  Jikalau kerajaan BN benar ikhlas, mereka harus segera memansuhkan AUKU.  Pemuda KLSCAH menegaskan bahawa bagaimana AUKU diubahsuai sekalipun, ia tetap satu undang-undang zalim yang menyekat kebebasan dan mendiskriminasi terhadap pelajar IPT.

Pemuda KLSCAH menyokong pandangan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Prof Abdul Aziz Bari bahawa rakyat perlu lebih cerdik melalui cara politik, memilih kerajaan yang mempunyai keinginan kuat untuk memansuhkan undang-undang zalim.

Untuk memastikan pensyarah dan pelajar IPT mempunyai kebebasan akademik, kebebasan berpersatuan dan kebebasan bersuara, pemuda KLSCAH menyeru pelajar dan rakyat teruskan usaha memberi tekanan kepada kerajaan, malah juga menggunakan undi untuk menukar kerajaan bagi menghapuskan undang-undang yang zalim.

*Kenyataan media oleh Ng Chong Soon (gambar kanan) selaku Ketua Pemuda KLSCAH.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.