1 Nov 2011

Beri bantuan banjir tanpa pilih kasih

Muhammad Faizal   
KUALA LUMPUR, 1 Nov: "Setiap kementerian yang terlibat dengan memberi bantuan banjir kepada setiap negeri tidak kira negeri di bawah Pakatan Rakyat mahupun Barisan Nasional perlu bersikap adil tanpa ada pilih kasih dalam aktiviti menyalur bantuan tersebut," jelas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.
Beliau bertindak mencelah sewaktu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil pada sesi penggulungan peringkat kementerian.
Tambah Mahfuz lagi setiap kali berlakunya banjir sentiasa ada masalah yang timbul terutamanya pada usaha menyampaikan bantuan yang mana pihak kementerian menyalurkan bantuan kepada wakil rakyat mereka tanpa melalui majlis daerah lebih-lebih lagi negeri di bawah Pakatan Rakyat.
"Saya tidak pasti kenapa perkara menyalurkan bantuan juga perlu melalui wakil-wakil dari kerajaan sedangkan diperingkat negeri juga telah mempunyai badan-badan yang bertanggungjawab dalam usaha membantu mangsa-mangsa banjir.

"Adakah kerajaan tidak yakin dengan agensi yang berada di bawah kerajaan negeri menyebabkan kerajaan bertindak sedemikian?
"Perkara ini perlu dinilai kembali oleh pihak kementerian kerana niat kita sama iaitu menyelamatkan mangsa banjir dan juga memberi bantuan makanan serta pakaian," jelasnya lagi.
Dalam pada itu sikap tidak bertoleransi pihak kementerian akan mewujudkan masalah komunikasi yang selaras dan secara tidak langsung menimbulkan kesukaran dalam usaha murni kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat.
"Saya berharap Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dapat mengambil berat perkara tersebut serta mengeluarkan arahan secara jelas bentuk bantuan banjir kepada siapa ia akan disalurkan memandangkan kita sekarang sudah hampir kepada musim bajir," tambahnya lagi.
Sementara itu, Sharizat dalam penjelasannya berjanji akan bertindak bagi memastikan semua proses menghantar bantuan berjalan lancar dan menyarankan agar Mahfuz terus menghubunginya jika perkara tersebut tetap berlaku.
Mahfuz menyambut baik saranan Sharizat dan sebarang perkara yang timbul beliau akan memaklum terus kepada kementerian.
"Terima kasih menteri, kalau mahu saya melaporkan kepada menteri jangan lupa berikan nombor telefon menteri kepada saya agar senang saya hubungi," jelasnya secara bergurau.
sumber : Harakah Daily
 

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.