| Jika tidak kerana keegoan Umno yang terlampau mengutamakan sentimen  politik, pada adatnya negara kita sudah pun memiliki undang-undang  khusus menangani gejala murtad. Paling lewat pun pada sekitar awal 90-an  dulu, sudah ada usaha secara serius dan bersaluran oleh PAS untuk  membuka jalan perbahasan secara positif dan signifikan ke arah  penggubalan suatu undang-undang berkaitan murtad. 
 Ahli Parlimen  PAS dari Marang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, ketika itu  sebagai Timbalan Presiden PAS telah memohon membawa usul yang dinamakan  Rang Undang-Undang Persendirian (Murtad) di Dewan Rakyat. Malangnya,  usaha sebegitu baik gagal disempurnakan. Ia ditolak sedari awal dan  tidak diberi laluan untuk dibahaskan.
 
 Punca utama ialah apabila  ia tidak mendapat sokongan daripada walau seorang pun menteri, khususnya  menteri dari Umno yang berbangsa Melayu dan beragama Islam. Sedangkan  menurut aturan dan peraturan diterimapakai Parlimen, sesuatu rang  undang-undang yang hendak diterima untuk dibahaskan mestilah dikemukakan  oleh seorang menteri dan disokong oleh seorang menteri lain.Kes  itu membuktikan betapa Umno sanggup mengenepikan kepentingan agama  semata-mata demi menjaga imej dan maruah politiknya. Ia tidak bersedia  untuk menerimapakai sebarang idea dan cadangan pihak pembangkang,  lebih-lebih lagi sekiranya ia datang daripada PAS yang disifatkan  sebagai ‘musuh tradisi’nya dalam meraih sokongan masyarakat  Melayu-Islam.
 
 Keegoan politik itu telah menyebabkan Umno buta  mata hati dan gagal membuat pertimbangan yang sewajarnya, walau pun apa  yang dikemukakan PAS itu membabitkan soal menjaga kesucian aqidah dan  kepercayaan umat Islam.
 
 Sebab itu jika ada pemimpin Umno  mendakwa mereka memperjuangkan kedaulatan Islam, rakyat jangan sesekali  percaya. Malah jika dalam keadaan tertentu apabila dilihat mampu meraih  markah politik, kerap juga pemimpin Umno mengatakan mereka tidak  mementingkan soal fahaman politik.
 
 Lebih-lebih lagi apabila  keadaan memerlukan sokongan dan kerjasama semua pihak, Umno akan cuba  melupakan rakyat tentang sikap dan pendiriannya selama ini yang amat  berpilih kasih dalam melayan pihak yang tidak sealiran dengannya.
 
 Seruan  agar tidak mengutamakan sentimen atau fahaman politik hanya  dikumandangkan Umno sebagai usaha mewujudkan persepsi kononnya parti  lawan yang berperangai sedemikian. Sedangkan yang sebenarnya paling kuat  beramal dengan sikap dan pendirian tidak demokratik itu adalah tidak  lain daripada Umno sendiri.
 
 Hari ini wajah dan suara hipokrasi  itu menjelma semula di celah-celah kehangatan perbahasan mengenai isu  murtad. Kesedaran masyarakat umum mengenai bahaya gejala kemurtadan umat  Islam diulangsuara pelbagai pihak.
 
 Media-media arus perdana  yang diketahui menjadi talibarut Umno juga tidak melepaskan peluang. Ia  bukan setakat menyuarakan sokongan terhadap harapan dan desakan khalayak  yang cintakan kesucian agama Islam, malah secara terancang cuba  menggambarkan betapa kerajaan dipimpin Umno juga mendukung hasrat  serupa.
 
 Justeru, suara-suara agar umat Islam bersatu  mempertahankan kesucian aqidah dan mendepani pihak-pihak yang cuba  menceroboh kepercayaan mereka kembali berkumandang. Sepertimana  lazimnya, ia turut diiringi desakan dan cabaran keras kepada para  pemimpin politik agar mengenepikan sentimen kepartian dan mengutamakan  kepentingan agama.
 
 Bahawa dalam menangani isu sebesar dan  sepenting gejala murtad ini, para pemimpin Islam tidak sepatutnya terus  bertelagah. Sebaliknya, mereka diseru meninggalkan perbalahan politik  buat seketika untuk sama-sama mendukung agenda menyelamatkan agama.
 
 Oleh  kerana suara itu datang daripada pihak-pihak yang ada kecenderungan  sangat jelas kepada parti pemerintah, walau atas apa jua nama pertubuhan  yang mereka wakili, maka ia turut diiringi persepsi bahawa pihak yang  paling dimaksudkan dalam seruan itu ialah para pemimpin politik beragama  Islam dari pihak pembangkang.
 
 Kononnya yang paling kuat  berpegang kepada sentimen parti ialah pemimpin dan pengikut pembangkang.  Sedangkan yang terbukti tidak simpatetik terhadap perjuangan pihak  ketiga mempertahankan Islam selama ini ialah parti yang menunjangi  pemerintahan negara ini sendiri.
 
 Masakan tidak jika pengalaman  lepas diambil kira. Usah disebut soal kelemahan pentadbiran agama yang  acapkali dipertuturkan masyarakat. Tidak payah diperkatakan soal  kegagalan kerajaan mengurustadbir wang zakat yang sebegitu banyak untuk  menjamin kebajikan golongan kurang berkemampuan sebagai usaha  membentengi mereka daripada dakyah agama lain.
 
 Keadaan yang  berlaku malah jauh lebih mendukacitakan. Umno bukan sahaja tidak  bersedia mengakui kelemahan dan ketidakupayaannya menjaga kedaulatan  Islam menerusi kuasa dimilikinya dalam pemerintahan, ia malah tidak  bersedia memberi laluan kepada penambahbaikan pentadbiran agama. Ambil  saja contoh bagaimana Umno menolak mentah-mentah sebarang usaha  menggubal undang-undang berkaitan murtad tadi, hanya semata-mata kerana  ia dikemukakan pemimpin pembangkang.
 
 Usaha serupa bukan sekali,  bukan dua kali dilakukan PAS. Tuan Guru Abdul Hadi mengulangi cubaan  serupa pada penghujung 1999 setelah gagal lebih enam tahun sebelumnya.  Malangnya cubaan beliau kali kedua itu juga tidak diberikan layanan  lebih baik.
 
 Ia kemudiannya diikuti Ahli Parlimen Kubang Kerian,  Salahuddin Ayub pada 2006. Ketika itu perbahasan isu murtad sangat  hangat, terutama apabila ia dikaitkan dengan kebebasan beragama  diperuntukkan Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan.
 
 Usaha-usaha  pihak tertentu mewujudkan justifikasi tindakan mereka mengembangkan  agama mereka di kalangan umat Islam, beserta beberapa kes melibatkan  wanita Islam menukar agama secara terbuka kepada agama lain, meletakkan  negara dalam polemik agama agak panas ketika itu.
 
 Ada konvensyen  dianjurkan pihak berkuasa agama negara khusus membincangkan tajuk  kebebasan beragama dan isu murtad. Para ilmuan Islam dan ahli akademik  masing-masing membentangkan kebimbangan mengenai isu diperbahaskan. Para  mufti turut bersuara agar diwujudkan undang-undang menangani gejala  merosakkan aqidah umat Islam itu.
 
 Pada tahun itu juga Front  Bertindak Anti Murtad (Forkad) ditubuhkan. Di tahun sama, Himpunan  Sejuta Umat Islam Mempertahankan Aqidah dan Kesucian Islam  dilangsungkan. Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang menjadi  lokasi himpunan itu menyaksikan kehadiran amat membanggakan.
 
 Suasana  sebegitu tegang dengan kemarahan umat Islam berada di kemuncak ketika  itu sepatutnya sudah lebih dari cukup untuk negara kita menghasilkan  suatu undang-undang menjamin aqidah umat Islam. Sepatutnya segala  desakan para ulama, mufti, pertubuhan bukan kerajaan berkepentingan  Islam dan khalayak umum agar kerajaan berbuat sesuatu bagi membendung  gejala itu berterusan sudah memadai untuk kita melihat wujudnya kini  undang-undang dimaksudkan itu.
 
 Namun segala harapan itu bagikan  fatamorgana. Dari jauh ia dilihat amat meyakinkan, tetapi apabila tiba  semakin hampir kepada realiti, ia sebenarnya hanyalah khayalan.
 
 Kini  isu murtad kembali mendapat perhatian umum. Himpunan Sejuta Umat Islam  juga bakal diadakan buat kali kedua. Sepertimana siri pertama, ia juga  dilaungkan sebagai himpunan tanpa sentimen politik. Ia untuk semua jiwa  dan insan beragama Islam. Ia semata-mata di atas agenda mempertahankan  aqidah dan melawan pencerobohan kepercayaan umat Islam.
 
 Betul,  ia tidak perlu melibatkan politik untuk memaut sokongan dan kehadiran  semua pihak. Namun apakah kita hanya mahu kehadiran yang ramai sebagai  penghujung agenda perjuangan? Apakah kita tidak mahu mengambil  pengajaran daripada pengalaman lalu, bahawa sebarang usaha sebegitu  keras tidak akan mencapai hasil maksud tanpa campurtangan politik?
 
 Di  atas permis ia perhimpunan tanpa sentimen politik, himpunan itu nanti  mungkin boleh memaut kehadiran yang besar. Tetapi tempik sorak, laungan  takbir menyerakkan anak tekak dan gulungan resolusi menyendatkan fail  tidak membuahkan hasil maksud apabila ia sewenang-wenangnya ditolak atau  disepikan begitu sahaja oleh penguasa politik.
 
 Pengalaman lalu  sepatutnya mengajar umat Islam negara ini bahawa hanya dengan dokongan  politik sesuatu usaha itu mudah direalisasikan. Untuk itu rakyat yang  cintakan kesucian aqidah dan sayangkan kedaulatan Islam perlu tahu  kepada siapa wajar mereka serahkan sokongan dan kuasa pemerintahan.
 
 Begitu  juga, setiap jiwa yang lantang memperjuangkan wujudnya undnag-undang  berkaitan murtad ini, terutama dari kalangan penyokong tegar Umno  seharusnya berhenti daripada terus memberikan kepercayaan kepada parti  itu. Akuilah hakikat bahawa Umno bukannya pihak terbaik untuk diharap  menyelesaikan permasalahan dihadapi umat Islam.
 
 Bahkan,  mengambilkira pengalaman lalu, rasanya para pemimpin Umno pun tersangat  malu untuk menyokong sebarang usaha mewujudkan akta berkenaan. Jika  tidak kerana keegoan politiknya yang terlampau mengutamakan sentiment  kepartian, sudah lama akta tersebut menjadi realiti.
 
 Justeru, mujur benarlah jika kali ini pemimpin Umno menyokong wujudnya undang-undang murtad!
 | 
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.