|  KUALA LUMPUR, 15 Okt:  Penggunaan kad kredit di kalangan masyarakat umum ketika ini bukan lagi  dilihat sebagai satu kebanggaan atau satu gaya hidup akan tetapi sudah  menjadi suatu kemestian dalam mengharungi zaman kenaikan harga barang  dan taraf hidup yang semakin tinggi. Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar Dewan Pemuda PAS Malaysia,  Mohd Firdaus Jaafar berkata, rakyat dilihat seolah-olah tidak mempunyai  jalan lain di dalam mengharungi hidup terutama di kota-kota besar  seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru.
 “Namun adakah ini jalan penyelesaian yang terbaik dalam hendak  memastikan diri dan keluarga ‘berdaya saing’ demi untuk meneruskan  kehidupan,” soalnya kepada Harakahdaily.
 Sebelum ini, katanya media pernah melaporkan bahawa 449 muflis kerana kad kredit.
 
 Beliau berkata, berdasarkan kajian yang dikumpulkan oleh pengeluar  kad kredit bagi 2007 hingga 2009, tiada kes muflis dilaporkan bagi  pemegang kad kredit berusia 25 tahun ke bawah, manakala bagi pemegang  kad kredit berusia 26 hingga 30 tahun, kes muflis akibat hutang itu  secara puratanya adalah dua orang setahun.
 Ini, ujarnya satu angka yang mesti diberikan perhatian oleh pihak kerajaan.
 Tambahnya, walaupun jumlah muflis akibat gagal membayar hutang kad  kredit hanya mencatatkan 4,417 kes dalam tempoh lima tahun hingga Mei  2010 yang lalu, situasi penggunaan serta pengeluaran kad yang dilihat  tidak terkawal dianggap membimbangkan serta boleh memusnahkan masa depan  generasi muda.
 Beliau menambah, statistik Bank Negara Malaysia (BNM) sehingga Mac  2009 juga menunjukkan bahawa pinjaman melalui kad kredit menguasai 6.1  peratus daripada jumlah pembiayaan institusi perbankan.
 Katanya, pengiraan secara statistik menunjukkan sekiranya seseorang  itu berhutang RM1,000 melalui kad kredit dan cuma membuat bayaran  minimum lima peratus setiap bulan, dia mengambil masa lima tahun lapan  bulan untuk melangsaikan hutangnya termasuk kadar faedah.
 Kajian juga, katanya menunjukkan pengguna kad kredit cenderung untuk  berbelanja 17 peratus lebih daripada individu yang berurusan menggunakan  wang tunai.
 Menurutnya, antara sebab-sebab yang membawa kepada ‘maslahah’ ini  adalah faktor kadar faedah yang tinggi, kawalan kelulusan pengeluaran  kad kredit terlalu longgar, sikap institusi kewangan yang hanya  memikirkan keuntungan tanpa melihat kepada kesan sosioekonomi dalam  jangka masa yang panjang.
 “Ditambah dengan sikap segelintir pengguna yang tidak berhemah  dikenal pasti punca kenapa ramai yang jatuh muflis kerana gagal membayar  hutang kad kredit,” katanya yang juga ahli Parlimen Jerai.
 Pihak kerajaan, tambah beliau perlu melihat kepada isu dengan lebih  mendalam dan perlu mengambil tanggungjawab dan bukannya dengan mudah  menyalahkan rakyat serta menuduh rakyat tidak pandai mengurus kewangan  dan boros di dalam berbelanja.
 Ianya, kata beliau perlu dilihat juga dari segi harga kereta dan harga rumah di negara ini.
 “Seperti yang kita ketahui, harga kereta di Malaysia adalah antara  yang tertinggi di dunia. Begitu juga dengan hartanah yang mana harganya  semakin hari semakin meningkat yang mana menyebabkan harga rumah juga  terus meningkat.
 “Di dalam keadaan begini menyebabkan ramai rakyat terpaksa berhutang dan akhirnya menjadi muflis,” katanya.
 Beliau berkata, bebanan yang ditanggung oleh rakyat perlu diambil  kira sekiranya slogan ‘Rakyat Didahulukan’ dilaksanakan dan bukan  sekadar retorik semata-mata.
 Kalau dilihat secara teliti, katanya Bajet 2012 yang baru  dibentangkan oleh Datuk Seri Najib baru-baru ini juga tidak banyak  membantu rakyat dalam menyelesaikan masalah bebanan kenaikan harga  barang.
 Malah, katanya faktor inflasi dan kenaikan harga barang  juga turut  menyebabkan  ramai rakyat yang tertekan, yang mana akhirnya terpaksa  menggunakan duit peruntukan yang sepatutnya dibayar untuk hutang,  digunakan untuk perbelanjaan hidup.
 “Maka tidak pelik kalau satu hari nanti Malaysia akan dipenuhi oleh  anak-anak muda yang umur belum mencecah 25 tahun tetapi sudah berstatus  muflis,” katanya.
 | 
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.