|  KUALA LUMPUR, 15 Okt: PAS Wilayah Persekutuan akan  mengadakan Konvensyen Sempena 60 Tahun PAS esok, 16 Oktober di Dewan  Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad (KUIZM), Taman Melewar, Gombak.
 Pengarah program, Salbiah Abd Wahab berkata, seminar yang bermula jam  8.00 pagi hingga 2.00 petang itu diisi dengan pembentangan kertas kerja  sebagai persiapan dan pengukuhan organisasi menghadapi pilihan raya.
 “Kita serius untuk memacu kemenangan menuju ke Putrajaya.
 
 “Oleh itu, kita harap ahli akan hadir dengan semangat dan membawa  balik intipati untuk dilaksanakan dalam konteks amal jama'ie selepas  program ini nanti,” ujarnya kepada Harakahdaily.
 Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya II PAS Wilayah berkata, apa  yang penting di akhir program ialah mahu mengukuhkan ukhuwah sesama  ahli, memperkasa tarbiyah dan mengukuh tahap organisasi sebagai  persiapan menghadapi PRU ke-13.
 Katanya, program itu juga bertujuan mempamer kekuatan PAS kepada  masyarakat umum bahawa PAS mampu mengambil posisi yang diperlukan di  kotaraya Kuala Lumpur.
 Menurutnya lagi, sempena sambutan 60 Tahun PAS itu juga, pihaknya  juga ingin melebarkan jaringan persaudaraan di kalangan ahli dan  masyarakat kota metropolitan, mengenali dan menyedari kewujudan PAS dan  sejarah perjalanannya serta mengakui kewujudan PAS menjadi mercu-tanda  di kota metropolitan ini.
 Pada sebelah malam pula diadakan ceramah yang akan membariskan Naib  Presiden PAS dan PKR, Salahuddin Ayub dan Tian Chua dan Pesuruhjaya PAS  Wilayah, Mohamad Noor Mohamad.
 “Warga kota dan Lembah Klang akan berpeluang mendengar penjelasan  Bajet morfin BN yang melegakan rakyat seketika dan selepas itu rakyat  akan kembali perit  kerana kenaikan harga barang,” ujarnya.
 | 
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.