| PETALING JAYA, 15 Okt: Keluarga Ahmad Sarbaini Mohamed  sekali lagi menggesa agar Suruhanjaya Diraja diadakan untuk menyiasat  kematian bekas pegawai Kastam Diraja Malaysia itu di bangunan  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) April lalu. Naib Presiden PKR, N Surendran berkata keluarga Allahyarham Sarbaini  sehingga kini tidak boleh menerima keputusan koroner, lapor The Malaysian Insider. Surendran berkata keluarga Sarbaini tidak dapat menerima keputusan  memandangkan koroner didakwa telah mengetepikan keterangan pakar bahawa  rakaman CCTV yang diambil ketika kunjungan ke pejabat SPRM Wilayah  Persekutuan telah dipadamkan dengan sengaja.
 
 “Ini sesuatu yang sangat luar biasa. Koroner mengatakan bahawa ia  kesilapan manusia dan tidak memberi perhatian yang sebenar ke atas isu  ini,” kata beliau kepada pemberita pada sidang media di ibu pejabat PKR.  Turut hadir ibu Sarbaini dan adik-beradiknya.
 “Tetapi apa yang penting ialah ada keterangan pakar polis dari makmal  forensik polis di Cheras... yang dengan jelas mengatakan bahawa  (rakaman) CCTV telah diusik oleh seseorang yang mahir,” katanya lagi.
 Surendran berkata sukar untuk diterima apabila koroner menerima  keterangan bahawa wujud elemen kesilapan manusia, yang disampaikan oleh  pengarah SPRM Wilayah Persekutuan tetapi menolak pandangan pakar  forensik yang layak.
 “Siapa yang mengusik dan mengapa koroner tidak memberi tumpuan ke  atas butiran ini? Mengapa beliau mengetepikannya? Sehingga kini, tiada  penjelasan mengapa atau bagaimana rakaman CCTV diambil ketika Sarbaini  mati dipadamkan,” kata beliau.
 Dalam keputusannya akhir bulan lalu, Mahkamah Koroner memutuskan  bahawa kematian Sarbaini tiada unsur bunuh diri, homisid ataupun  penglibatan pihak ketiga.
 Koroner Aizatul Akmal Maharani dalam penghakimannya berkata, pihaknya  bersetuju dengan pandangan pakar terutama mengenai kecederaan yang  dialami Sarbaini.
 Kecederaan itu lebih membuktikan Sarbaini terjatuh dari tingkat tiga  bangunan SPRM Wilayah Persekutuan tanpa disengajakan dan kematian  disebabkan nahas, kata koroner.
 Sarbaini, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang,  ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu pejabat SPRM di  Jalan Cochrane, Kuala Lumpur 6 April lalu.
 Beliau dilaporkan ke pejabat itu secara sukarela untuk bertemu  pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah membabitkan 62  pegawai Kastam.
 | 
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.