19 Oct 2011

Pakatan tubuh jawatankua​sa kaji laporan audit

Hazayani Zakaria   
KUALA LUMPUR, 19 Okt: Ahli Parlimen Pakatan Rakyat sudah membentuk  jawatankuasa untuk mengkaji isi kandungan Laporan Audit Negara yang belum diterima oleh Dewan Rakyat sehingga hari ini.
Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail berkata, jawatankuasa tersebut melibatkan lima wakil Pakatan Rakyat, bagaimanapun belum menamakan invidu-individu tersebut.
"Buat pertama kali kita tubuhkan jawatankuasa bagi mengkaji segala aspek dalam laporan audit yang sudah hampir dua minggu lewat daripada waktu sepatutnya ia dikeluarkan," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata, jawatankuasa itu juga akan mengemukakan pandangan Pakatan Rakyat tentang laporan audit yang akan dikeluarkan dan mencari sebab kenapa ia lambat dikeluarkan.
"Jawatankuasa ini bukan sahaja untuk mengkaji isi kandungan semata-mata  tapi kita nak kemukakan pandangan kita sebagai satu pandangan daripada pembangkang untuk lihat kenapa berlaku kelewatan yang sangat ketara ini," katanya.
Menurut beiau juga, jawatankuasa tersebut akan mengkaji dan membuat perbandingan Laporan Audit Negara dengan laporan-laporan lain termasuk laporan Bank Negara Malaysia (BNM) dan laporan GLC.
"Kita akan maklumkan penemuan daripada jawatankuasa ini walaupun penemuan itu baik kepada kerajaan atau sebaliknya, kita akan maklumkan," katanya yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
Isnin lalu, Ahli Parlimen Salahuddin Ayub mengemukakan usul di Dewan Rakyat meminta Speaker menjelaskan tentang kedudukan laporan audit tersebut.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee menjelaskan pihak Parlimen sehingga waktu itu masih belum menerima Laporan Audit Negara dan menyifatkan parlimen juga senasib dengan Ahli Parlimen yang lain.
sumber : Harakah Daily

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.