KUALA LUMPUR, 18 OKT – Tahun ini merupakan tahun ke-15 berturut-turut Malaysia mengalami defisit apabila hutang kerajaan meningkat dengan mendadak kepada RM455.75 bilion.
Ini bermakna rakyat Malaysia secara automatik “berhutang” sebanyak RM16,000 setiap seorang kerana hutang kerajaan yang besar, kata Pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng.
Justeru, beban hutang itu akan ditanggung oleh generasi sekarang dan masa depan, tidak kira sama ada individu tersebut penyokong Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat, atau tidak berparti sekali pun.
Wong yang juga Ahli Parlimen Sibu berkata Bajet 2012 Barisan Nasional telah meneruskan masalah defisit dengan menjadikannya RM51.2 bilion untuk tahun depan kerana kerajaan akan membelanjakan lebih daripada pendapatan.
“Rakyat Malaysia dan generasi akan datang perlu membayar hutan ini. Selepas pilihan raya umum, jika BN masih lagi dalam kuasa, GST (cukai barangan dan perkhidmatan) akan diperkenalkan dan kerajaan akan mengutip lebih banyak cukai daripada rakyat.
“(Kerajaan) memberikan sedikit kepada sesetengah golongan rakyat, terutama kepada kakitangan kerajaan, tetapi (kerajaan) mengambil daripada semua rakyat melalui GST. Ini adalah tidak adil,” katanya.
Wong yang menyatakan pandangannya sebagaimana yang dibawakan dalam perbahasan sidang Dewan Rakyat baru-baru ini memberi contoh dua negara bermasalah apabila deficit terlalu besar manakala pentadbiran yang diamalkan tidak bersih dan lemah.
Katanya, Argentina bankrap apabila hutang negara mencatat RM285 bilion manakala Greece mengalami kesusahan kerana pengurusan kewangan yang tidak mantap dan berhemah, dengan kakitangan kerajaan yang terlalu banyak seperti di Malaysia.
“Sewaktu rakyat berusasah payah untuk mencari nafkah, dalam masa tiga tahun, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah membelanjakan RM17 juta untuk lawatan ke luar negara manakala Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin membelanjakan RM8 juta untuk tujuan yang sama.
“Sewaktu rakyat dihimpit masalah kewangan dan kenaikan harga barang, kerajaan BN membelanjakan RM2 juta untuk mengerahkan 11,000 orang anggota polis dan menembak 262 peluru gas pemedih mata untuk mengawal perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, Bajet 2012 BN telah “mengalahkan” kesemua 53 bajet yang dibentangkan sejak 1957 dengan memberikan paling banyak gula-gula politik demi meraih undi dalam PRU ke-13.
“Ia merupakan usaha bajet yang paling tidak malu dan sinis, menimbunkan hutang kerajaan persekutuan yang paling tinggi dalam sejarah kita – yang akan memecah tanda RM500 bilion tahun depan,” katanya.
Menurutnya, hutang kerajaan persekutuan telah bertambah berlipat kali ganda – lebih empat kali ganda dari RM103.1 bilion tahun 1998 yang merupakan 38.3 peratus KDNK menjadi RM455.7 bilion dalam 2011 atau 53.8 peratus KDNK.
Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, bajet BN memberi satu gambaran masa depan ekonomi negara yang sengaja dimeriahkan tanpa mengambil kira penghitungan realistik tentang keadaan ekonomi antarabangsa.
“Institut Penyelidian RHB member amaran bahawa pertumbuhan ekonomi Malaysia mungkin hanya mencapai kadar 3.6 peratus tahun depan, lebih rendah dari anggaran pertumbuhan 4.3 peratus untuk tahun ini, berikutan risiko akan berlakunya kemelesetan ekonomi global dua kali ganda (double dip global recession),” katanya, merujuk kepada ramalan Najib kononnya ekonomi akan berkembang pada kadar 6 peratus.
Menurutnya, Bank of American Global Research menganggarkan KDNK Malaysia pada kadar 4.2 peratus dalam tahun depan, Maybank Investment Bank meramalkan KDNK di antara 3.5 peratus dan 4 peratus, dan CIMB Investment Bank dengan KDNK 3.8 peratus. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.