19 Oct 2011

KEADILAN, Pas tidak sertai Himpunan Sejuta Umat

KUALA LUMPUR 19 Okt : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan KEADILAN bersama-sama Pas tidak akan menyertai Himpunan Sejuta Umat  (Himpun) yang bakal diadakan di Shah Alam, 22 Oktober ini.
Menurut Anwar, Pas semalam membuat ketetapan  tidak menyertai himpunan berkenaan, malah beliau juga difahamkan terdapat beberapa NGO Islam yang telah menarik diri dari terlibat dengan program itu.
“(Justeru), Keadilan mengambil sikap dan pendirian yang sama (iaitu) tidak bersama dan menyertai perhimpunan tersebut. Apa yang lebih penting, kedudukan Islam yang perlu dipertingkatkan,” kata Anwar pada sidang media di parlimen hari ini.

Anwar yang juga Ketua Umum KEADILAN berkata, Pakatan mengambil pendirian tidak mahu perhimpunan anjuran beberapa NGO Islam itu diperalatkan untuk menimbulkan keresahan antara agama dan kaum di negara ini.
Menurutnya, isu akidah memerlukan pendekatan dakwah secara berhemah di kalangan umat Islam, dan bukan dengan menganjurkan perhimpunan yang boleh mencetuskan polemik antara agama.
Tambah beliau, isu seperti perjudian dan arak yang ditimbulkan juga tidak mempunyai kaitan dengan kegiatan kristianisasi kerana ia merupakan masalah umat Islam yang harus ditangani dengan baik.
“Itu (soal moral) masalah umat. Masalah kepincangan sosial, rasuah yang berleluasa, kezaliman, itu juga isu yang dekat dengan akhlak.
“Jadi, kalau (masalah) itu tidak ditangani, (perhimpunan) bukan cara dan pendekatan dakwah yang baik,” kata Anwar.
PAS semalam memutuskan untuk tidak menyertai Himpun yang berlangsung Sabtu ini kerana ia tidak melibatkan parti-parti politik.
“PAS dimaklumkan bahawa majlis ini tidak melibatkan parti-parti politik, maka PAS mengambil pendirian untuk tidak terlibat dalam himpunan tersebut sebagai menghormati kehendak penganjur program,” kata Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyaatan dikeluarkan tengah malam tadi.
Serentak itu, PAS Selangor juga mengambil pendirian tidak akan menyertai perhimpunan itu yang akan berlangsung di Stadium Shah Alam, Selangor bagi membincangkan isu murtad.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.