KOTA BHARU, 19 Okt: Belum pun Terminal Agribisnes Negara (Teman) di Tunjung yang baru beroperasi dirasmikan, tiba-tiba Umno Kelantan menjadi pusat perniagaan itu seperti markas politik pula.
Sedangkan kerjasama kerajaan negeri meluluskan tanah untuk membangunkan pusat pemasaran pertanian itu digunakan bagi mempertingkatkan pemasaran hasil pertanian di kalangan petani tempatan.
Namun baru-baru ini Umno menganjurkan program penerangan perdana yang dihadiri Naib Presidennya, Datuk Seri Zahid Hamidi di Teman.
Isu penyalahgunaan premis kerajaan yang dikendalikan di bawah Fama hari ini dibawa ke persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteklogi, Che Abdullah Mat Nawi meluah rasa kesal di atas tindakan Umno menggunakan premis terbabit bagi agenda politik.
“Kita amat kesal kerana Umno menganjurkan program parti di tempat tersebut, sedangkan tujuan asal kewujudan Teman bagi memajukan pemasaran hasil pertanian di Kelantan.
“Cukup malang sekali dengan apa yang berlaku itu. Kita tidak mahu Teman di sini tidak membuahkan kejayaannya seperti berlaku terhadap Teman di Ipoh. Teman di Ipoh yang pertama di negara ini dikatakan tidak menunjukkan kejayaan,” katanya menjawab soalan tambahan Abdul Latif Abdul Rahman (PAS-Mengkebang).
Menurutnya membiarkan Teman yang diwujudkan kerajaan bagi memasarkan hasil pertanian dijadikan markas politik boleh menggugatkan peranan sebenar kewujudannya.
”Saya cukup kesal dengan apa yang berlaku itu,” ujarnya.
Sebelum itu Abdul Latif yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan mendedahkan Teman yang baru disiapkan sudah dijadikan markas Umno apabila mengadakan program parti di tempat tersebut.
Operasi Teman dilancar Ketua Pengarah Fama pada 30 Julai lalu mendapat sambutan menggalakkan petani dan peniaga tempatan sehingga urusniaga dijalankan mencapai matlamat ditetapkan.
Che Abdullah berkata, kompleks Teman sebenarnya belum siap sepenuhnya dan dijangka dapat disiapkan bulan hadapan.
Menurutnya juga biar pun Teman sudah beroperasi hampir tiga bulan, namun ia tidak menjejaskan peniaga di Pasar Borong Wakaf Che Yeh.
sumber : Harakah Daily |
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.