27 Sept 2011

Keadilan tuntut Suruhanjaya Diraja siasat kematian Sarbaini

KUALA LUMPUR: KEADILAN menuntut Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI)  bagi menyiasat kematian Pegawai Kastam, Ahmad Sarbaini yang mati ketika dalam tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Naib Presidennya, N Surendran.
“Kami menggesa Kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja menyiasat hakikat sebenar di sebalik kematian Ahmad Sarbaini.
“Skop RCI mestilah termasuk prosedur operasi, pengambilan dan kaedah latihan SPRM dan membuat cadangan supaya reformasi diadakan segera,” katanya dalam satu kenyataan lewat petang semalam.

Menurutnya, keputusan mahkamah koroner menyatakan kematian Ahmad Sarbaini secara tidak sengaja, adalah luar biasa, tidak boleh diterima dan tidak selari dengan fakta kes.
Tambahnya, tiada siapa percaya Sarbaini datang ke SPRM secara sukarela dan kemudian meninggalkan bangunan itu, dengan merangkak keluar dari tingkat tiga bangunan berkenaan.
“Juga tiada penjelasan tentang bagaimana dan mengapa 22 jam rakaman genting CCTV telah dipadamkan, yang meliputi tempoh ketika Sarbaini meninggal dunia,” katanya.
Menurut Surendran, sebagai institusi awam, keutamaan SPRM ialah menjelaskan kebenaran, memastikan hukuman kepada pesalah dan melakukan pembaharuan untuk memastikan keyakinan dan keselamatan awam.
“Ia patut diberi perhatian bahawa SPRM berkelakuan dengan cara yang sama semasa siasatan dan inkuiri  kematian pembantu politik Teoh Beng Hock, yang juga mati ketika siasatan SPRM pada 16 Julai 2009,” ujarnya.
Justeru, kerajaan mesti mengambil tanggungjawab terhadap kegagalan besar memberikan jawapan punca sebenar kematian Sairbaini kepada keluarga allahyarham dan orang ramai.
“Keenganan kerajaan melakukan pembaharuan badan penguatkuasa seperti SPRM dan Polis di Raja Malaysia ialah punca utama keadaan bahaya sekarang ini,” ujarnya.
sumber : Keadilan Daily

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.