KUALA LUMPUR, 27 Sept: Sekretariat Pembangunan Kg Bharu (SPKB) mencabar Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (gambar) mengeluarkan senarai nama penduduk Kg. Bharu yang menyokong penubuhan Perbadanan Pembangunan Kg. Bharu (PPKB).
Ia ekoran belum ada perkembangan mengenai borang referendum yang diedar kepada pemilik dan pewaris tanah bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai cadangan penubuhan PPKB Jun lalu.
Setiausaha Lembaga Pentadbiran Petempatan Pertanian Melayu (MAS), Shamsuri Suradi memaklumkan hanya sekitar 30 peratus sahaja borang dikembalikan dan tidak dapat dipastikan berapa ramai yang menyokong dan membantah.
Namun Raja Nong Chik mendakwa 30 peratus itu bersetuju dengan PPKB dan membuat keputusan untuk membacakan Rang Undang-Undang (RUU) PPKB untuk kali kedua pada sesi Parlimen Oktober depan.
"Kita minta menteri buktikanlah 30 peratus ini semuanya menyokong RUU PPKB," kata peguam yang mewakili SPKB, Zulhazmi Sharif pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, dekat sini, hari ini.
Beliau turut mempertikai tindakan kerajaan yang melantik beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dalam PPKB sedangkan Kg. Bharu sudah ditadbir MAS ejak 111 tahun lalu.
"Kenapa nak libatkan lima NGO ini dalam PPKB? Apa kena mengena NGO ini dengan Kg. Bharu? Saya yakin mereka ada kepentingan masing-masing. Belum apa-apa lagi dah dengar nak projek sana sini," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi SPKB, Mohd Nor Hassan mempertikai RUU PPKB yang dilihat banyak membelakangkan mereka sebagai pemilik dan pewaris tanah.
Beliau berkata, majoriti pemilik dan pewaris tanah termasuk dirinya menolak RUU PPKB kerana ia tidak memberi jaminan bahawa hak mereka akan dipertahankan sekiranya bersetuju dengan cadangan itu.
"Perkara yang asal tidak diubah malah dimasukkan semula dalam rang undang-undang...maaf cakap ini satu penipuan oleh menteri yang kata untuk bentangkan kepada kami dulu tapi akhirnya pada 17 Disember dia bentangkan dulu di Parlimen kemudian pada sebelah malam baru kepada kami.
"Malah ada beberapa perkara yang dibantah keras oleh kami termasuk kuasa mutlak di bawah kuas menteri, imuniti kepada perbadanan, jumlah keanggotaan dan MAS (Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu) tidak dibubarkan maknanya kalau kesemua perkara ini tidak dipinda perbadanan boleh mengambil tanah kami secara paksa rela dan perbadanan boleh rampas tanah kami," katanya yang merupakan generasi kedua Kg. Bharu.
Justeru beliau mahu kerajaan menarik balik balik RUU PPKB dan berbincang dengan mereka secara serius.
Raja Nong Chik Ahad lalu berkata, RUU PPKB akan dibacakan untuk kali ke-2 setelah beberapa kali mendapat bantahan hebat daripada penduduk.
sumber : Harakah Daily |
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.