27 Sept 2011

AMK buat tinjauan kesan inflasi termasuk PTPTN

Oleh: Nabihah Hamid)
 
PETALING JAYA: KEADILAN akan melancarkan tinjauan kesan inflasi di seluruh negara bagi mengenalpasti isu ekonomi yang mendesak golongan muda, kata Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mat Akin.
Antara isu yang diberi tumpuan adalah pendapat anak muda mengenai peluang pekerjaan serta kesan tanggungan pembiayaan pendidikan tinggi melalui pinjaman Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) dan swasta.
“Kita perlu tahu apa yang sebenarnya kesan kepada orang muda lebih-lebih lagi yang baru menamatkan pengajian,” ujar Shamsul ketika mengadakan sidang media di Ibu pejabat KEADILAN tengahari tadi.

Kadar inflasi tahunan mencatatkan paras tertinggi iaitu sekitar 3.5 peratus dan memberi kesan terhadap rakyat termasuk golongan muda dan berpendapatan rendah.
“Selain itu, kita juga akan membuat tinjauan sejauh mana Dasar Automotif Nasional yang mengenakan cukai yang tinggi meninggalkan kesan kepada kewangan orang muda,” kata Shamsul.
Tambahnya, tinjauan ini juga bertujuan untuk mengesahkan pandangan KEADILAN mengenai isu-isu yang mempengaruhi keputusan pengundi di dalam PRU-13 akan datang.
Hasil awal tinjauan merupakan panduan kepada Belanjawan Alternatif Pakatan Rakyat dan akan dibuat serentak pada 1 dan 2 oktober ini di tempat-tempat awam termasuk perhentian bas, Stesen KTM dan LRT.
Seramai 50 sukarelawan akan ditempatkan di sekitar Kuala Lumpur untuk membuat tinjauan terhadap golongan berumur 18 – 35 tahun dan hasil kajiannya akan turut dibentangkan di dalam forum-forum yang akan diaturkan AMK kelak dalam bulan Oktober ini.
Tinjauan juga turut dibuat di laman-laman internet mulai 3 Oktober 2011, katanya.
sumber : Keadilan Daily

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.