Kalau saya boleh cadangkan satu judul buku untuk siri penerbitan Buku Fixi yang diterajui saudara Amir Muhammad, saya ingin supaya "Ilusi" menjadi terbitan seterusnya. "Ilusi" akan mengisahkan misteri kematian Ahmad, seorang pegawai kastam yang dituduh terima rasuah dan disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ringkasannya pada kulit belakang akan berbunyi:
Realiti hidup Ahmad sebagai seorang suami dan bapa yang bertanggungjawab tiba-tiba menjadi ilusi. Realiti kejadian semasa Ahmad berada di SPRM pada hari malang itu akan dipadamkan dari rekod kamera litar tertutup buat selama-lamanya. Realiti kematian Ahmad akan terpendam, sekali gus diputuskan sebagai suatu nahas akibat cubaan untuk melarikan diri. Pergelutan berlaku antara ilusi dengan realiti, antara yang benar dengan yang palsu, dan antara keadilan dengan kezaliman."

Mengapakah Ahmad Sarbaini keluar dari tingkap tingkat tiga? Kata koroner selepas mendengar keterangan saksi dan meneliti bukti, Allahyarham mungkin sedang melarikan diri daripada ditahan semula oleh SPRM dan dalam proses itu tersilap menganggar jarak antara tingkap dengan bumbung yang menjadi destinasi dirancang. Kesilapan Ahmad Sarbaini itu dikatakan hasil suatu fenomena ilusi optik, ataupun keadaan di mana imej visual pada mata kasar berbeza dengan realiti objektif.

Perkara ini merupakan realiti yang tidak akan hilang, tanpa mengira ilusi yang cuba digunakan untuk mendaifkan mereka yang masih mencari kebenaran.
Kematian Teoh Beng Hock dan Ahmad Sarbaini tidak harus dilihat berasingan. Keputusan inkues Ahmad Sarbaini yang diselesaikan kelmarin sebenarnya mirip dengan keputusan inkues Teoh Beng Hock. Dalam keputusan inkues itu, koroner tolak bahawa mendiang Teoh Beng Hock mati akibat dibunuh tetapi juga menyingkirkan kemungkinan dia membunuh diri. Namun, selepas penyiasatan oleh satu Suruhanjaya DiRaja, kematian Teoh Beng Hock dikatakan kes bunuh diri yang terpaksa.

Koroner dalam kedua-dua inkues Teoh Beng Hock dan Ahmad Sarbaini gagal memberi pertimbangan yang sewajarnya kepada kelakuan pegawai SPRM dan keadaan di mana bukti fizikal boleh dihilangkan dengan begitu mudah sekali. Bukankah sesuatu yang perlu disyaki apabila 22 jam rakaman pada hari kejadian itu hilang begitu sahaja? Teoh Beng Hock sudah mati berjam-jam semasa masih dalam jagaan SPRM, barang peribadinya seperti telefon bimbit dan dompet masih dipegang SPRM apabila tragedi itu terjadi, tetapi SPRM menipu dan bertegas bahawa mendiang Teoh sudah dilepaskan dan sendiri mahu berlegar di premis mereka.
Persoalan di atas tidak diberi pertimbangan yang setimpal, tetapi teori yang melepaskan SPRM daripada sebarang tanggungjawab diterima dengan mudah, lantas diulangi hampir kata demi kata. Ingat, teori hanyalah pandangan yang tidak atau belum dibuktikan dengan kukuhnya. Maka, jika sesuatu teori itu dijadikan keputusan sesuatu kajian atau siasatan tanpa disokong bukti dan hukum logik, perkara itu hanya suatu ilusi.

Mengapa begitu sukar untuk perkara yang benar menang dalam pergelutan ini? Sukar sangatkah sistem pengadilan kita mencari dan menafsir realiti suatu peristiwa? Sebaliknya, kita lebih cenderung bergantung kepada penjelasan yang berasaskan ilusi, imaginasi, dan konspirasi.

Apakah SPRM juga ilusi optik semata-mata? Apakah harapan rakyat supaya suatu badan yang bebas, bersih, dan professional untuk membanteras gejala rasuah tidak kesampaian, lantas jatuh berkecai atas lantai? Ahmad Sarbaini dan Teoh Beng Hock sudah tiada. Jadikanlah tragedi mereka tragedi kita bersama. Jangan biar ilusi terus mengaburi mata kita.
*Ng Eng Kiat, aktivis sosial dan hak asasi manusia, kini berkhidmat dengan kerajaan negeri Pulau Pinang.
sumber : Merdeka Review
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.